Sunday, November 27, 2016

Date Me - Bab 7 (versi manuskrip)


Kehabisan barang keperluan harian membuatkan Kaysa Adara membawa dirinya ke pasaraya setelah pulang dari kerja. Troli gadis itu sudah separuh penuh. Macam-macam yang dia sumbat dalam troli itu. Maklumlah. Baru dapat gaji. Itu yang dia berani letak aje dalam troli tanpa membuat kira-kira.

Setelah memastikan semua barang keperluan sudah dimasukkan ke dalam troli, Kaysa Adara menolak troli ke kaunter. Sedia untuk membuat pembayaran. Barang-barang dikeluarkan dan diletakkan ke atas kaunter. Kemudian, dia membuka beg tangannya, mencari purse.

Alamak! Mana pula purse aku? Kenapa tak ada?

Gadis itu mula gelabah. Panik. Beg tangan digeledah.

Dengusan kecil terbit dari bibir Kaysa Adara saat teringat pursenya tertinggal dekat ofis. Dalam laci meja. Dia terlupa nak letak dalam beg tangan semula dek kerana kalut nak jawab panggilan daripada klien.

Sekarang ni, macam mana? Apa yang dia nak buat? Dekat belakang dia, dah ramai yang beratur. Budak kat kaunter pun dah pandang pelik dekat Kaysa Adara. Barangkali sudah bisa menebak kesulitan yang melanda gadis itu.

Kaysa Adara menebalkan muka, memandang budak perempuan yang jaga kaunter. Wajahnya dimaniskan.

“Dik… kalau akak tak jadi beli barang-barang ni, boleh tak?”

Tersekat-sekat Kaysa Adara menuturkan bicara.

Budak perempuan tu dah buat muka. Mungkin letih bekerja. Tak mampu nak hadap kes Kaysa Adara ni. Sudahlah barang yang dia ambil banyak, tiba-tiba tak jadi beli. Menyusahkan betul!

“Sorrylah dik. Purse akak tertinggal.”

Si penjaga kaunter senyum hambar. Kemudian, dia mengarahkan orang-orang di belakang Kaysa Adara untuk beratur di kaunter lain. Tinggallah Kaysa Adara seorang sahaja di kaunter yang sudah ditutup itu. Ditutup gara-gara Kaysa Adara. Hanya Tuhan sahaja yang tahu rasa bersalah dia pada budak perempuan itu. Bukan dia sengaja nak menyusahkan orang.

“Maaf encik. Kaunter tutup. Encik boleh beratur dekat kaunter sebelah,” kata budak perempuan itu apabila seorang lelaki beratur di belakang Kaysa Adara bersama tiga bungkus mi segera berlainan perisa. 

Kaysa Adara hanya menundukkan pandangan. Malu nak pandang orang sekeliling. Seolah-olah dia baru sahaja ditangkap mencuri di pasaraya itu.

“Bayar sekali.”

“Encik nak bayar sekali dengan barang-barang ni semua ke?” tanya budak perempuan itu sambil menuding jari ke arah barang-barang Kaysa Adara.

Kaysa Adara terkejut. Terus, dia mengangkat wajah dan menoleh ke sisi. Matanya membesar. Oh, nasib baik dia dah tak dengar lagu yang sama macam sebelum ni. Cuma jantungnya sahaja yang berdegup laju. Barangkali disebabkan terkejut. Kalau tidak, memang sah Kaysa Adara kena jumpa doktor pakar sakit jiwa.

Ed menganggukkan kepalanya. Sedikit pun dia tidak pandang Kaysa Adara. Dia tahu gadis itu terkejut melihatnya.

Sepatah bicara pun tidak keluar daripada bibir Kaysa Adara. Lidahnya kelu. Dia hanya mampu memandang Ed membayarkan barang-barangnya.

Gadis itu melepaskan keluhan di dalam hati. Keluhan berat.

Kenapa dia perlu jumpa mamat ni lagi? Dia baru je tanamkan niat untuk lupakan Ed selepas lelaki itu tidak membalas kiriman WhatsAppnya beberapa hari yang lepas. Ini merupakan kali kedua niatnya terbantut. Asal dia nak lupakan Ed aje, lelaki itu muncul depan mata. Apakah makna semua ini?

Selepas pertemuan dengan Ed di Sabah, Kaysa Adara cuba melupakan lelaki itu tetapi mereka dipertemukan semula di majlis perkahwinan abangnya. Kemudian, dia cuba lagi untuk lupakan Ed tetapi sekali lagi Ed muncul. Ini kes mamat ni tak bagi aku lupakan dia ke macam mana?

Kaysa Adara mencapai beg-beg plastik yang berisi barang-barangnya setelah Ed selesai membuat pembayaran. Kemudian, dia mengekori langkah Ed yang sudah berlalu pergi tanpa sebarang bicara. 

“Terima kasih,” ucap Kaysa Adara bersama senyuman nipis.

Gadis itu mematikan langkahnya di hadapan Ed, membuatkan Ed terpaksa berhenti melangkah.

“Nanti I bayar you balik.”

“Okay.”

Erk!

Kaysa Adara tidak membayangkan respons sebegitu.

Sebenarnya, dia bayangkan respons macam dalam drama di mana hero akan membalas, ‘It’s okay’ atau mungkin ‘Tak apa. I belanja.’ Kemudian, Kaysa Adara akan berkeras untuk bayar barang-barang dia.

Yelah. Dia tak adalah kejam nak suruh Ed halalkan barang-barang dia yang beratus itu. Padahal mi segera yang Ed beli tak sampai dua puluh ringgit.

Mi segera? Mata Kaysa Adara terus dihalakan ke arah plastik di tangan Ed.

“Banyaknya you beli maggi,” komen Kaysa Adara.

“Tak baik untuk kesihatan tau,” tambah gadis itu.

Terus Ed teringatkan bebelan Yusri kepadanya. Lelaki itu sudah pun penuhkan peti ais rumahnya dengan makanan yang berkhasiat tetapi dia tetap membeli mi segera. Mungkin kerana sudah menjadi habit. Lagipun, dia nak cepat tadi. Bila Ed nampak Kaysa Adara teraba-raba mencari purse, dia terus capai timbunan mi segera yang tidak jauh daripadanya dan melangkah ke kaunter.

Oh, hakikatnya pertemuan pada hari ini bukanlah satu satu kebetulan seperti sebelum ini. Ed sengaja mengekori Kaysa Adara, mencari peluang untuk mendekatkan dirinya dengan gadis itu.

Aroma ayam goreng KFC menusuk-nusuk ke lubang hidung Kaysa Adara. Matanya dilirikkan ke arah Restoran KFC tidak jauh daripada mereka. Perut terus terasa lapar.

“Jom, I belanja you makan KFC,” ajak Kaysa Adara. Bersahaja.

“You lupa yang you tak ada duit?”

“Err… pembetulan! I bukan tak ada duit tapi purse I tertinggal. Ada bezanya tau.”

“Oh, okay. You lupa yang purse you tertinggal?”

Kaysa Adara mengoyak senyum. Sengaja dia buat wajah comel depan Ed. 

“Pinjam duit you dulu,” ucap Kaysa Adara tersengih-sengih.

 Ed senyum senget. Seakan mengejek.

“Cakap jelah yang you nak I belanja you makan KFC…,” ucap Ed. Datar.

Laju Kaysa Adara menggelengkan kepala. Menafikan bicara Ed.

“Tak! Serius I nak belanja you. Tanda terima kasih sebab dah bayarkan barang-barang I. Tapi sekarang ni, I tak ada cash, I tak ada debit card. Credit card memang I tak ada. So, I kena pinjam duit you dulu,” balas Kaysa Adara bersungguh-sungguh.

“Oh, tak pun… you bagi nombor akaun you. I boleh transfer sekarang.”

“I nak cash. I tak nak you transfer.”

“You tak percaya kat I ke? I boleh transfer depan you.”

“I tetap nak cash.”

Hesy, banyak songeh! Kutuk Kaysa Adara dalam hati.

“Okeylah. Kalau macam tu, esok I jumpa you. I bagi cash. Tapi sekarang ni I lapar. Jomlah makan. Sedapnya bau KFC…”

Nada suara Kaysa Adara yang pada mulanya serius sudah bertukar lunak di hujung bicara. Seakan merengek.

Tanpa sebarang bicara, Ed mengatur langkah ke KFC. Kaysa Adara tersenyum gembira. Terus dia ekori langkah Ed.

Yes, dapat makan KFC. Hati Kaysa Adara menyanyi riang.


Dulang berisi dua hidangan snack plate diletakkan di atas meja dengan wajah yang masam. Hampeh! Ingatkan Ed akan beratur dan belikan untuknya tetapi boleh pula Ed bagi dia duit dan suruh dia beli sendiri. Hesy, tak sama langsung macam hero dalam drama yang dia tengok.

“Ini total yang you perlu bayar pada I. KFC ni you belanja, kan?”

Belum sempat Kaysa Adara melabuhkan punggungnya ke kerusi, Ed sudah menunjukkan hasil kira-kira di skrin telefon pintar.

Terjatuh rahang Kaysa Adara. Tubuhnya melurut jatuh ke kerusi. Oh Tuhan, macam mana aku boleh suka dekat lelaki macam ni? Oh, tidak!

Tolong, tolong… tolong saya. Saya perlukan pertolongan. Saya tak boleh bernafas.

Kaysa Adara mematikan imaginasi di mindanya. Kembali ke alam nyata. Duduknya dibetulkan. Senyuman manis dilemparkan buat Ed yang sudah merata ayam tanpa menunggunya.

“Okey. Esok I bayar pada you. Jemputlah makan,” ucap Kaysa Adara kedengaran sinis.

Suasana menjadi sepi. Masing-masing tidak berbicara.

Kaysa Adara makan dengan tidak berselera. Sebentar tadi memang dia teruja nak makan KFC tapi lepas menghadap sikap menjengkelkan Ed, hilang terus seleranya. Dia paksa diri menelan ayam gorengnya. Tak mahu membazir. Duit dia. Bukan duit lelaki tu.

“You ada tak puas hati dengan I ke?”

Tiba-tiba Ed soal macam tu. Hampir tersedak Kaysa Adara. Mujur dia sempat kawal diri.

“Tak. Tak ada.”

Ed masih selamba merata ayam. Sedikit pun tak pandang Kaysa Adara. Nampak berselera sungguh. Huh! Memanglah berselera. Orang belanja. Bila orang belanja, benda yang tak sedap pun boleh jadi sedap tau. Inikan pula ayam goreng KFC yang tidak dinafikan kelazatannya. Sedap sehingga menjilat jari.

“Dah tu, kenapa tak makan? Tadi beria kata lapar.”

“Siapa cakap I tak makan. I tengah makanlah ni.”

Ed senyum. Sinis.

Menyampah betul Kaysa Adara tengok senyuman itu. Hatinya terus mengutuk.

“Tak baik mengata orang…”

Ed jeda. Menyedut minumannya.

“… walaupun dalam hati,” sambung Ed.

Kaysa Adara terus mengecilkan matanya ke arah Ed. Dia boleh baca hati orang ke?

“Tak. I tak ada sixth sense. I can’t read your mind.”

Hah? Kaysa Adara tersandar ke belakang. Serius dia rasa nak pitam sekarang ni. Rasa sesak nafas. Kenapa dengan mamat ni? Berdiri bulu roma Kaysa Adara.

Ed tidak mampu menahan diri. Dia melepaskan tawa kecil. Reaksi Kaysa Adara sangat melucukan hatinya. Pandangan matanya dihalakan ke arah Kaysa Adara.

“Kenapa dengan you ni? Terkejut tengok I? Terkejut tengok sikap I?” soal Ed bersama tawa yang bersisa.

Bibir dilap dengan tisu. Dia pamer wajah simpati. Simpati pada Kaysa Adara.

“Please don’t be surprised. This is me! I’m not gentleman at all… and… I’m not a good guy.”

“Memang pun!” Balas Kaysa Adara selamba.

“Kenapa you WhatsApp I?”

“Kenapa you tak reply?”

“I tak rasa I perlu reply.”

Kereknya mamat ni! Geram pula Kaysa Adara.

Namun, dia cuba pamerkan riak wajah yang tenang. Tidak mahu dijadikan bahan gelak oleh lelaki itu lagi.

“Oh, okay,” ucap Kaysa Adara bersama senyuman yang dibuat-buat.

“You suka I kan? Sebab tu you WhatsApp I. You cakap you nak call parents you tapi sebenarnya you call phone you sebab you nak dapatkan nombor I,” tebak Ed dengan wajah yang penuh keyakinan.

“Tak. I tak suka you.”

Ed mengangguk-anggukkan kepalanya.

“I izinkan you untuk menafikan perasaan you pada I.”

Kaysa Adara terkesima. Sungguh, dia terkejut dengan keselambaan Ed. Macam mana lelaki itu boleh seselamba itu? Sepanjang umur Kaysa Adara, dia belum pernah jumpa manusia macam Ed.

Nafas ditarik dalam lalu dihela kuat.

“Okey! I mengaku I pernah suka you. Tapi sekarang tak.”

“Kenapa? Sebab I didn’t live up to your standard?”

Kaysa Adara tiba-tiba berdebar apabila Ed merenung tajam ke arahnya dengan wajah yang serius. Namun, dia cuba berlagak biasa. Tidak mahu kalah pada Ed. Kepala diangguk pasti.

Ed koyak senyum. Senyuman penuh makna.

“Okey. I akan cuba to meet your standard.”

“Hah? Kenapa?”

“Sebab I nak buat you suka I balik.”

Ternganga luas mulut Kaysa Adara dibuatnya. Dia bermimpi ke apa ni? Oh, tolonglah kata yang dia mimpi. Dia tak boleh hadam apa yang berlaku sekarang ni. Adakah dia perlu berjumpa pakar sakit jiwa? Atau Ed yang perlu jumpa pakar?


Tiba sahaja di rumah sewa, Kaysa Adara terus cari Syaz dengan Yara. Diceritakan kepada dua orang kawan baiknya tentang apa yang terjadi. Semuanya dia cerita. Tidak tertinggal satu pun. Siap dengan mimik muka lagi.

Kaysa Adara fikir Syaz dengan Yara akan beri respons yang sama dengannya. Namun, anggapannya salah. Boleh pula Syaz dengan Yara kata Ed tu sweet. Sweet celah mananya? Apa kejadah? Dia orang berdua ni dah terkena sihir Ed ke?

Lelaki itu sangat menjengkelkan! Tak tahulah macam mana Kaysa Adara boleh tersuka pada Ed. Jangan-jangan dia pun dah terkena sihir. Tapi mujur dia cepat tersedar.

“Aku speechless tahu tak? Aku rasa tak boleh bernafas bila dengan dia.”

Syaz tergelak besar. Bicara Kaysa Adara mengingatkan dia pada sebuah movie Filipina yang mereka tengok tahun lepas.

“Kau ingat tak cerita She’s Dating the Gangster?”

“Mestilah ingat. One of my favourite. Kenapa dengan movie tu pula?”

“I can’t breathe. Itu ayat yang paling win dalam cerita tu kan? Ayat yang hero cakap masa heroin confess pada dia.”

“So?”

Syaz tepuk dahi. Bibirnya melepaskan keluhan berat.

“Yara, kau tolong explain. Lambat pick up pula si Kaysa ni. Geram aku.”

“Kenapa hero tu tak boleh bernafas? Sebab dia berdebar bila heroin confess pada dia. Dia pun ada hati pada heroin. Kenapa kau tak boleh bernafas? Sebab kau berdebar bila dengan Ed. Kau ada hati pada Ed,” terang Yara. Dia tanya, dia juga yang jawab.

Kaysa Adara mengangguk-angguk faham. Kemudian anggukkannya bertukar gelengan.

“Tak. Aku tak boleh bernafas bukan sebab aku suka dia. Tapi sebab aku speechless dengan dia. Dengan sikap selamba badak dia tu,” nafi Kaysa Adara.

“Apa salahnya dengan sikap selamba badak dia? Okeylah tu. Takkan kau nak lelaki nerd yang acah-acah baik, acah-acah sopan tu? Tak thrill langsung.”

Yara terus jeling Syaz.

“Kau ni perli Paan ke?”

Syaz terus menutup mulut.

“Opps, sorry! Tak ada niat nak kutuk ex-boyfriend kau,” ucap Syaz tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Yara menyeringai. Tak ambil hati pun dengan Syaz. Dah selalu sangat bekas teman lelakinya kena kutuk dengan gadis itu. Sudah lali.

“Esok kau nak jumpa dia dekat mana?” tanya Yara.

“Entah. Tak tahu. Malas betul aku nak jumpa dia. Mengada-ngada nak cash,” rungut Kaysa Adara.

“Macam ni kau cakap pada orang yang dah tolong kau?”

Sarkastik sungguh bicara Syaz. Kaysa Adara buat muka.

“Entah-entah dia sengaja nak cash… so that dia ada reason untuk jumpa kau. So sweet!”

Syaz sudah tersenyum-senyum.

Kaysa Adara bangkit dari duduk.

“Dahlah. Aku masuk bilik dulu. Malas aku nak dengar. Apa yang sweet pun aku tak faham,” omel Kaysa Adara seraya melangkah ke bilik.

“Good luck untuk esok!”

Laung Syaz. Kemudian dia dengan Yara terkekek-kekek ketawa.




No comments: