Saturday, November 26, 2016

Date Me - Bab 6 (versi manuskrip)

Pulang sahaja dari kenduri, Kaysa Adara terus memandu keretanya ke Subang Parade. Semata-mata nak beritahu Syaz dengan Yara apa yang terjadi di majlis perkahwinan abangnya. Kebetulan Syaz memang ada di booth Yara. Menolong gadis itu berniaga.

Yara memang berniaga di Subang Parade setiap hari Sabtu. Berniaga barang-barang yang dia jual secara atas talian. Dari zaman universiti lagi, Yara dah mula berniaga atas talian dan gadis itu memang rajin buka booth pada hujung minggu. Mula-mula gadis itu jual tudung aje tetapi sekarang, Yara ada jual produk kecantikan dan alat kosmetik juga. Mengembangkan lagi sayap perniagaannya. 

“Ya Allah, aku ingatkan awek cun mana tadi. Rupanya bff aku sendiri,” tutur Syaz, memuji Kaysa Adara yang masih berbaju kurung moden.

Kaysa Adara tersenyum lebar.

“Cantik tak aku hari ni?” soal gadis itu bersama kening yang sengaja dinaikkan dua kali.

Syaz dengan Yara sudah tertawa halus.

Kaysa Adara menghampiri kawan baiknya lalu melabuhkan punggung pada kerusi yang kosong.

“So, apa yang kau gelabah sangat nak cerita dekat kita orang sampai kau sanggup drive ke sini lepas wedding abang kau?” tanya Syaz.

Giliran Kaysa Adara pula yang ketawa. Tawa yang kedengaran nakal. Sebelum memulakan cerita, Kaysa Adara memastikan keadaan sekeliling. Memastikan tiada pelanggan yang akan datang ke booth Yara. Nanti terbantut cerita dia. Tak syok.

“Okey, line clear,” ucap Kaysa Adara seraya memandang kedua-dua kawan baiknya.

“Kejap. Macam mana aku nak mulakan cerita aku eh?”

Bibir Kaysa Adara diketap.

Syaz dengan Yara dah buat muka. Mereka tak sabar nak tahu cerita panas daripada Kaysa Adara.

Kaysa Adara menarik nafas lalu dihela perlahan.

“Aku jumpa mamat dekat Sabah tu lagi. Dekat wedding abang aku.”

Mata Syaz dengan Yara membulat. Terkejut.

“Serius?”

“Apa jadi lepas tu?”

Serentak, Syaz dengan Yara melontarkan soalan.

“Aku rasa aku kena jumpa psychiatrist lah.”

“Dah kenapa pula?” tanya Yara.

“Aku dengar lagu DOTS lagi. Lepas tu, jantung aku berdegup laju sangat. Aku tak tahu apa kena dengan aku.”

Terhambur tawa Syaz dan Yara.

“Serius kau tak tahu?” soal Syaz dengan nada yang sedikit sarkastik.

Kaysa Adara menganggukkan kepalanya.

“Wey… kau tak perlu jumpa psychiatrist. Kau perlu jumpa doktor cinta. Dan kita orang berdua ni, doktor cinta kau. Aku faham yang kau tak pernah bercinta sebelum ni, tapi tak payahlah blur sangat. Tak tahu apa jadi dengan kau konon!” Selar Syaz.

“So, kau nak cakap yang aku suka dia?”

Syaz angguk.

Yara pun angguk. Anggukkan yang kelihatan yakin. Tidak teragak-agak.

“Tapi dia cakap, dia tak interested untuk bercinta.”

“Ha? Dia cakap dengan kau? Kenapa dia cakap macam tu?” tanya Yara ingin tahu.

“Cerita dia sebenarnya macam ni. Aku syak yang lelaki kakak ipar aku suka tu, Ed. Mamat yang kita jumpa dekat Sabah tu. Sebabnya… masa dekat wedding along aku, aku nampak muka kakak ipar aku berubah bila nampak Ed dan dia orang berbalas renungan.”

“Kau yakin ke?” soal Syaz.

“Aku yakin 100% sebab Ed tak nafikan masa aku tanya. Aku jumpa Ed lepas tu. Aku tanya dia apa hubungan dia dengan Kak Elly. Dia cakap kawan aje. Aku cakaplah pasal renungan dia pada Elly. Dia cakap aku salah faham. Dia pandang aku macam dia pandang Elly. Tapi jarak kita orang lebih dekat. Sumpah, aku nervous time tu. Masa tulah aku dengar lagu DOTS.”

“Kakak ipar kau suka dia. Kau pun suka dia. Tapi dia tak suka siapa-siapa sebab dia lelaki tanpa cinta. Macam tu?” Yara membuat ulasan.

Kaysa Adara mengangguk lemah. Bibir terjuih ke depan.

“Kalau dia lelaki tanpa cinta, kau buatlah dia lelaki dengan cinta. Buat dia jatuh cinta dekat kau,” cadang Syaz.

“Hah?”

“Apa hah-hah? Tak betul ke apa yang aku cakap Yara?”

Laju Yara menganggukkan kepalanya.

“Tak cuba, tak tahu. Kau cuba jelah Kaysa. Cuma… aku tak tahu macam mana kau nak buat dia jatuh cinta pada kau. Kau bukannya kenal dia sangat. Macam mana kau nak tackle dia?”

Kaysa Adara tayang sengih.

“Aku ada phone number dia.”

“Macam mana kau dapat?” soal Yara.

Kaysa Adara sudah tersenyum nakal.

“Nampaknya kau lebih advance,” komen Syaz.

“Tapi aku tak tahu apa yang aku perlu buat dengan phone number dia tu.”

“Call lah dia. Kalau kau tak berani, mesej je.”

“Boleh pakai ke idea kau orang ni?” tanya Kaysa Adara, teragak-agak.

“Terpulang pada kau lah Kaysa. Kita orang bagi cadangan aje.”

Yara bangkit dari duduk bersama helaan nafas yang sedikit kuat.

“Kau teman Syaz jaga booth kejap. Aku nak ambil stok,” beritahu Yara sebelum mengorak langkah.

Kaysa Adara hanya menganggukkan kepalanya. Pandangan matanya dihalakan ke arah Syaz. Lengan gadis itu dicuit.

“Dia dah okey ke?”

“Kau rasa?”

“Nampak macam okey. Tapi aku rasa tak okey.”

Syaz senyum senget.

“Dia tu, cakap je tak heartbroken. Tapi dari gaya memang heartbroken. Kau tahu, semalam dia ajak aku karaoke. Semua lagu putus cinta dia nyanyi.”

“Dia dengan Paan memang betul-betul dah break lah ea?”

Syaz mengangguk.

“Kenapa? Yara ada bagitahu kau tak?”

“Tak. Dia just cakap dia orang dah break. Itu je. Tak ada kesefahaman kut. Paan tu kan macam possessive sikit. Aku pun rimas kalau dapat boyfriend macam tu.”

“Kejap! Siapa yang minta break? Paan, kan? Bukan Yara.”

“Haah. Adalah tu kes. Mungkin Paan dah tak boleh percayakan Yara. Aku tak tahu sangat sebab Yara tak cerita pun dengan aku. Aku pun malas nak tanya lebih-lebih.”

“Tulah… Yara bukannya suka sangat cerita pasal dia dengan Paan.”

“Tahu tak apa.”


Tubuh Yara tiba-tiba dirempuh dari belakang. Membuatkan kotak besar di tangannya, jatuh menyembah lantai. Gadis itu terkejut. Pandangan mata terhala ke arah barang-barang yang sudah terkeluar dari kotak. Keluhan berat terlepas dari bibir.

Hesy, siapa yang langgar aku ni? Tak nampak ke?

Terus Yara menoleh ke arah orang yang melanggarnya.

Huh! Dia boleh blah aje.

Yara menggumam. Geram. Memanglah Yara ada dengar lelaki tu cakap ‘sorry’ tapi takkan itu sahaja?

Gadis itu sudah bercekak pinggang. Tidak puas hati. Kaki terus dihayun pantas mengejar lelaki yang melanggarnya. Berdiri di hadapan lelaki itu.

Langkah lelaki itu terhenti apabila Yara tiba-tiba berdiri di depannya. Telefon pintar masih melekap di telinga. Suara di hujung talian masih kedengaran.

“Eh, aku call kau balik. Ada perempuan cantik nak cakap dengan aku.”

Jatuh rahang Yara. Eh, mamat ni…

Lelaki itu matikan talian. Pandangan mata dihalakan ke arah Yara.

“Iya, cik. Apa yang boleh I bantu?” Lembut sahaja nada suara lelaki itu.

Senyuman nipis yang terukir di bibir lelaki itu dibalas dengan senyuman sinis oleh Yara. Yara peluk tubuh.

“You langgar I.”

“Oh… tapi kan I dah minta maaf,” balas lelaki itu dengan wajah blur.

Yara hembus nafas kuat. Sehingga tajam tudung bawal bahagian atasnya. Jari telunjuknya kemudian dituding ke arah kotak yang jatuh tadi.

“Barang I jatuh bersepah sebab you. You boleh cakap sorry dan blah macam tu aje? Macam tak ada apa-apa yang berlaku?”

Lelaki itu menoleh ke belakang, memandang ke arah yang dimaksudkan oleh Yara. Sungguh, dia tidak perasan. Mungkin terlalu fokus pada perbualannya di telefon.

“Oh, jadi you nak I tolong angkatkan barang-barang you?”

Tanpa menunggu respons daripada Yara, lelaki itu mengatur langkah ke arah barang-barang yang berterabur di lantai. Barang-barang tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan dia mula mengangkat kotak tersebut.

Yara terpempan. Lelaki itu didekati.

“I tak suruh pun you angkat kotak ni,” ucap Yara. Cuba mengambil kotaknya dari tangan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Lelaki itu berkeras. Tidak mahu menyerahkan kotak itu pada Yara.

“Habis tu, you nak I buat apa?”

Adoi, mamat ni… Yara sudah mengeluh kuat. Kepalanya digaru perlahan. Macam mana aku nak cakap kat mamat ni eh?

“You berniaga ke? Kat mana kedai you?”

Yara mendengus kuat.

“I bukannya nak suruh you tolong angkatkan kotak ni. Cuma tadi kan you langgar I. You cakap sorry dan   blah aje. Tak ada manners langsung. Sebab tu I panggil you. Bukannya I mengharapkan you tolong I angkat kotak ni. Tapi at least awak ikhlaslah sikit minta maaf tu, tolong I masukkan semula barang-barang yang dah terkeluar tu ke… ini tak. Lepas minta maaf, terus blah.”

“Oh… sorrylah. I tengah cakap dekat phone tadi. Serius tak perasan barang you jatuh.”

“Sebab tu I cakap you tak ikhlas minta maaf.”

Lelaki itu melemparkan senyuman.

“So, untuk minta maaf, biar I tolong bawa kotak ni ke kedai.”

“Eh, tak payah! I boleh angkat sendiri.”

Yara masih cuba mengambil kotaknya tetapi lelaki itu lebih pantas. Kotak yang berada di tangan lelaki itu terus dijauhkan dari Yara.

“Berat ni. Biar jelah I tolong.”

Lelaki itu mula melangkah ke arah yang tidak pasti. Beberapa tapak melangkah, lelaki itu menoleh ke belakang, memandang Yara.

“Apa tunggu lagi? Jomlah. Kedai kat mana?”

Yara mendengus. Menyesal pula pergi tegur mamat tu. Dengan muka sebal, Yara berjalan ke arah kedainya. Dibiarkan sahaja lelaki itu mengekori dia dari belakang.

“Comelnya kedai. Ingatkan ada butik sendiri tadi.”

Syaz dengan Kaysa Adara berpandangan sesama sendiri. Berbicara melalui pandangan mata. Terkejut melihat Yara dengan seorang lelaki yang mereka tidak pernah kenal. Takkan teman lelaki baru Yara? Gadis tu baru je putus cinta.

“Letak jelah kat situ. Terima kasih,” ucap Yara tanpa nada.

Lelaki itu meletakkan kotak ke tempat yang ditunjukkan oleh Yara. Senyuman dilemparkan kepada Syaz dan Kaysa Adara. Kemudian, dia kembali menumpukan perhatian kepada Yara.

“You memang berniaga kat sini ke?”

Yara diam. Buat bodoh. Malas nak layan. Berharap lelaki itu cepat pergi.

Syaz berdeham. Senyuman dilemparkan kepada lelaki di hadapannya.

“Hai. Kawan Yara ke?” soal Syaz ingin tahu.

Jelingan Yara tidak diendahkan oleh Syaz.

“Oh… nama perempuan garang ni Yara. I, Yusri. I terlanggar dia tadi,” jelas Yusri.

“Syaz. Yang tu Kaysa.”

Syaz memperkenalkan dirinya dengan Kaysa Adara.

“Syaz. Kaysa. Yara.”

Yusri menuturkan nama gadis di depannya satu per satu.

Syaz mengangguk. “SKY.”

“Oh, SKY… nice! So, you all berniaga kat sini?”

“Sebenarnya, Yara yang berniaga dekat sini. Kita orang teman je,” jelas Syaz.

Kaysa Adara yang sedari tadi memerhati, mula mendekati Yusri. Berdiri di sebelah Syaz yang sedang melayan lelaki itu.

“You pergi wedding Khalil dengan Elly kan tadi?” tanya Kaysa Adara, inginkan kepastian.

Yusri sedikit terkejut. Kepalanya dianggukkan.

“You nampak I ke?”

“Haah. You datang dengan Ed kan?”

“You kenal Ed?”

Soalan berbalas soalan.

“Boleh dikatakan macam tulah. Actually, tadi tu wedding abang I. Elly tu kakak ipar I. You kawan Elly juga ke?”

Yusri menganggukkan kepala.

“Macam mana kenal Ed?” tanya Yusri ingin tahu.

“Kenal dia masa kita orang kat Sabah.”

“Oh… tak sangka pula you kenal Ed.”

Kaysa Adara hanya senyum.

“Ini business card I. Mungkin kita boleh lepak sama-sama. Dengan Ed,” ucap Yusri bersama jelingan mata ke arah Yara.

Syaz tersenyum simpul. Faham dengan jelingan Yusri itu.

“Yeah. Boleh juga,” balas Syaz.

Gadis itu terus capai sehelai kertas kosong lalu menulis nombor telefonnya. Kemudian, dia menghulurkan kertas itu kepada Yusri.

“Ini nombor I. Kalau nak ajak lepak, mesej jelah. Pastikan Ed ada juga,” pesan Syaz penuh makna.

Kaysa Adara sudah tersenyum-senyum. Dia faham apa yang Syaz cuba lakukan.

“Oh, okay…,” balas Yusri.

Hati lelaki itu dijentik rasa pelik dengan bicara terakhir Syaz tetapi tidak pula dia meminta penjelasan. Fokusnya kini hanya pada Yara. Mula tertarik pada gadis itu.

“Kawan you memang macam tu ke? Garang. Masam. Atau dengan I je dia macam tu?”

“Dengan you je kut.”

“Oh, baguslah…”

“Kenapa pula?” tanya Kaysa Adara. Sedikit pelik dengan respons Yusri..

“Nampaklah sikit yang I ni special. Sebab mampu buat dia jadi garang dan masam macam tu,” balas Yusri cukup bersahaja bersama kenyitan mata.

Syaz dengan Kaysa Adara melepaskan tawa. Hati mereka dicuit rasa lucu dengan jawapan Yusri. Yara yang sedari tadi mendiamkan diri, mula berdeham.

“Kalau you dah tak ada apa-apa urusan, you boleh pergi dari sini. Terima kasih,” ucap Yara. Tegas.

“I memang nak pergi pun. Bye sweetheart!”

Yara terus buat muka menyampah. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Yusri dan Yusri gelak sahaja.

“Seronok?” soal Yara sarkastik kepada Syaz dengan Kaysa Adara bila Yusri sudah hilang dari pandangan mata.

“Kenapa kau tiba-tiba emo ni?”

Syaz balas dengan soalan.

“Mana ada aku emo?”

Syaz cebik bibir.

“Relaxlah. Dia terlanggar kau je. Tapi dia dah tolong kau angkat barang ke sini kan. Okeylah tu,” kata Syaz, cuba menenangkan Yara.

“Aku tak suruh pun.”

“Dia kawan Ed,” kata Syaz lagi.

“So?”

“Nampak tak Allah temukan kau dengan kawan Ed, untuk kau bantu Kaysa dapatkan Ed.”

Kaysa Adara tergelak. Terus dia menampar lengan Syaz.

“Apa yang kau merepek ni Syaz?”

“Aku cakap yang betul.”

“Okeylah. Aku balik dulu.”

Yara menoleh ke arah Kaysa Adara.

“Kau datang sini semata-mata nak cerita pasal Ed je?” tanya Yara.

Kaysa Adara mengangguk bersama sengihan.

“Yelah. Tu je motif aku. Bye! Jumpa kat rumah malam esok.”

Syaz dengan Yara menghantar pemergian kawan mereka dengan pandangan mata. Gigih sungguh gadis itu bertemu dengan mereka di sini semata-mata nak bercerita tentang lelaki yang bernama Ed. Padahal malam esok Kaysa Adara akan pulang ke rumah sewa mereka.


Kaysa Adara meminta diri untuk naik ke bilik setelah membantu ibunya mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk yang kotor di sinki. Dirinya terus dibawa ke tengah tilam. Duduk bersila sambil memegang telefon pintar.

Lama Kaysa Adara merenung skrin telefon yang memaparkan nombor telefon Ed. Gadis itu teragak-agak untuk menelefon Ed. Mindanya berperang hebat. Tak tahu sama ada nak menelefon lelaki itu ataupun tidak. Separuh hatinya ingin menghubungi Ed, separuh lagi tidak. Tak berani. Takut. Memikirkan ini sahaja sudah buat Kaysa Adara berdebar.

‘Kalau kau tak berani, mesej je.’

Kata-kata Syaz berlegar di ruang fikiran. Oh, ya. Mesej ajelah. Laju jari-jemarinya gadis itu menaip. Menghantar mesej yang ringkas kepada Ed melalui WhatsApp.

Hi.
It’s me.
Kaysa.
Ingat tak?

Kaysa Adara masih lagi merenung skrin telefon pintar. Mengharapkan balasan daripada Ed dengan penuh debar. Macam-macam bermain di fikirannya.

Ketika itu, Ed sedang fokus pada manuskrip yang perlu dialih bahasa kepada bahasa Inggeris. Tidak sedar langsung ada WhatsApp yang masuk sementelah telefon pintarnya diletakkan dalam mod senyap. Matanya tidak beralih dari skrin komputer. Jari-jemari laju menaip.

Dua jam kemudian baru Ed capai telefon pintarnya. Baru dia baca WhatsApp daripada Kaysa Adara. Itu pun sebab lelaki itu ingin berehat seketika.

Tahu tak perasaan Kaysa Adara yang menanti respons daripada lelaki itu? Tak senang duduk! Kejap dia berdiri, kejap dia duduk, kejap dia jalan ulang alik dekat bilik. Telefon pintar pula tidak lepas dari tangan. Merenung skrin telefon bagai nak tembus.

Apabila terlalu lama menantikan respons daripada Ed, Kaysa Adara mula pasrah. Telefon pintar dicampak ke tepi. Dia cuba mengalihkan perhatiannya dengan menonton Running Man. Bergelak tawa dengan ragam tujuh orang ahli rancangan itu.

Mesej daripada Kaysa Adara membuatkan Ed teringat akan kejadian di majlis perkahwinan Elly. Teringat kembali bagaimana dia bertemu dengan lelaki yang telah menganiaya keluarganya, yang menjadi punca dia bergelar anak yatim piatu.

Ed membuat panggilan telefon. Menghubungi seseorang tetapi bukan Kaysa Adara.

“Aku nak maklumat pasal Kaysa Adara,” kata Ed sebaik sahaja pangilannya disambungkan.

“Anak perempuan Khairul Anuar? Aku dah bagi pada kau kan?”

“Tak cukup. Aku nak tahu rutin harian dia.”

“Oh, okay.”

Talian dimatikan. Ed kembali merenung skrin telefon yang memaparkan WhatsApp daripada Kaysa Adara. Dia tidak pernah terfikir untuk menggunakan gadis itu tetapi gadis itu seolah-olah menyerah diri kepadanya, membuka jalan untuk capai matlamatnya.




No comments: