Thursday, November 24, 2016

Date Me - Bab 4 (versi manuskrip)


Berakhir sudah percutian Kaysa Adara dan kawan-kawannya di Sabah. Tiba sahaja di rumah sewa, masing-masing menghilangkan diri ke dalam bilik. Mereka sudah tidak bermaya. Keletihan menggembara bumi Sabah. Sudah tiada tenaga lagi. Kaysa Adara menghempaskan tubuh ke tilam empuknya dan tanpa sedar, dia mula diulit mimpi.

Jam menunjukkan pukul 5.40 petang sewaktu gadis itu terjaga dari tidur. Dalam keadaan yang masih mamai, Kaysa Adara menuju ke bilik air. Ingin menyegarkan diri sebelum menunaikan solat. Gadis itu ada bilik air sendiri memandangkan dia duduk di bilik master. Tidak berkongsi bilik air dengan Syaz dan Yara.

Tiba-tiba Kaysa Adara teringatkan mimpinya sebentar tadi sewaktu dia sedang melipat kain telekung. Berkerut dahinya.

Dah kenapa aku mimpikan dia?

Kepala digeleng perlahan. Cuba mengusir jauh mimpinya. Entah macam mana dia boleh mimpikan Ed. Selepas pertemuan di Hounun Ridge Farmstay, mereka tidak lagi bersua. Buat haluan sendiri.

Sayup-sayup lagu Always menyapa gegendang telinga Kaysa Adara. Gadis itu melepaskan keluhan kecil. Kenapa aku dengar lagu tu lagi? Takkan tak habis-habis demam drama Korea tu? Dah lama drama Descendants of the Sun tamat. Kaysa Adara pun dah move on. Beralih ke drama lain pula. 

Telefon pintar dicapai. Hmm, tak ada pula dia pasang lagu tu. Musykil betul.

Kain telekung disimpan di tempat biasa. Begitu juga dengan sejadah. Dia mula melangkah keluar. Ingin menyiasat dari mana datangnya lagu itu. Mana tahu Syaz atau Yara sedang pasang lagu tu atau mungkin sedang menonton entah buat kali ke berapa drama Korea itu.

Sangkaannya meleset.

Bila dia keluar, tiada siapa di ruang tamu. Dia menjengah ke belakang rumah. Syaz sedang menyidai pakaian.

“Kau ada dengar tak apa yang aku dengar tadi?” soal Kaysa Adara sambil menyandarkan tubuhnya ke pintu.

“Dengar apa?” soal Syaz, menoleh ke arah Kaysa Adara sekilas.

Kaysa Adara mengetap bibirnya. Dia diam seketika.

“Err… kau nak tahu tak, dah tiga kali aku terdengar OST DOTS. Yang peliknya, tak ada siapa-siapa pasang lagu tu. Kenapa aku tiba-tiba terdengar eh?”

Syaz menghamburkan tawa. Telefon pintar yang diletakkan di atas meja berhampiran dengan ampaian dicapai.

“Lagu yang ni?”

Lagu Always mula berkumandang. Laju Kaysa Adara menganggukkan kepalanya. Syaz sambung gelak.

“Akulah yang pasang lagu ni tadi.”

“Oh…”

Kaysa Adara menghela nafas lega.

“Eh, tapi yang lagi dua kali tu… kau dengar kat mana?” tanya Syaz.

Kaysa Adara terdiam. Tidak semena-mena, gadis itu teringatkan saat Ed menyarungkan jaket ke tubuhnya dan membetulkan ikatan tali kasutnya. Kemudian, dia teringat pula saat dia dan Ed saling bertentang mata di atas bukit.

“Syaz…”

“Hmm…”

Syaz berhenti menyidai pakaian. Pandangannya dihalakan ke arah Kaysa Adara. Mula mengesan sesuatu yang aneh dengan kawannya itu.

Kaysa Adara turut memandang Syaz. Bibirnya bergerak-gerak, seakan ingin berbicara tetapi teragak-agak.

“Err... kau pernah tak… hmm… macam mana nak cakap eh…”

Kaysa Adara garu kepala.

“Jantung kau pernah tak tiba-tiba berdegup sampai rasa nak meletup? Eh, macam over pula ayat aku. Maksud aku, berdegup dengan laju. Tak macam selalu.”

Syaz berfikir seketika.

“Nak kata kau ada anxiety, tak pula.”

Mata Syaz mula mengecil, merenung Kaysa Adara.

“Oh my God…”

“Apa dia?”

Cemas pula Kaysa Adara bila tengok riak muka Syaz.

“Are you falling in love with someone?” soal Syaz dengan nada yang sedikit kuat.

Kaysa Adara terpempan.

“Hah?”

Syaz terus berlari ke arah Kaysa Adara. Gadis itu tampak teruja.

“Kau dah jatuh cinta dengan siapa Kaysa? Mamat dekat Kundasang hari tu ke?” tebak Syaz.

Membulat mata Kaysa Adara. Benarkah? Benarkah dia sudah jatuh cinta dengan Ed?

Telefon pintar yang berada dalam genggamannya berdering. Gadis itu menghalakan pandangan ke arah skrin telefon.

“Mama aku call,” beritahu Kaysa Adara sebelum menghilangkan diri ke ruang tamu.

Panggilan daripada Puan Saafia menyelamatkan Kaysa Adara daripada soalan yang tiada jawapan daripada Syaz. Dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya pada Ed. Gadis itu tidak pernah bercinta sebelum ini. Tiada pengalaman. Tapi… orang kata, kita akan berdebar bila jumpa dengan orang yang kita suka. Betul ke?

Gadis itu menekan suis kipas sebelum menghempaskan punggung ke sofa. Telefon pintar sudah melekap di telinga.

“Kaysa kat mana tu? Dah balik dari Sabah kan?”

“Haah. Ada kat rumah.”

“Esok kerja ke?”

“Tak. Kaysa ambil cuti sampai esok.”

“Baguslah tu. Mama nak Kaysa balik rumah. Sekarang.”

“Esok jelah ma...,” kata Kaysa Adara, kedengaran malas.

“Papa yang nak Kaysa balik rumah kita hari ni. Balik awal sikit. Boleh dinner sekali.”

“Mama suka guna nama papa kan? Sengaja nak takutkan Kaysa…”

“Eh, budak ni… kalau tak percaya, pergi telefon papa.”

“Yelah, yelah…”

“Bawa sekali baju. Tidur sini.”

“Lah… kena tidur ke ma?”

“Susah sangat ke nak tidur kat rumah kita? Kalau Kaysa tak nak bawa baju pun tak apa. Baju lama-lama Kaysa kan ada.”

Kaysa Adara melepaskan keluhan perlahan. Malasnya dia nak balik rumah keluarganya. Rumah keluarga Kaysa Adara tidaklah jauh dari rumah sewanya. Subang Jaya dengan Putrajaya. Dalam 35 hingga 40 minit sahaja kalau gadis itu memandu keretanya. Tapi… perasaan malas nak balik rumah tu macam dia terpaksa memandu berjam-jam.

“Baiklah ma. Kaysa tidur rumah kita malam ni,” putus Kaysa Adara. Mengalah. Tak balik nanti, dikatakan derhaka pula.

“Kan bagus macam ni. Dengar kata. Tak degil.”

“Iya ma… Jumpa nanti. Assalamualaikum.”

Kaysa Adara mematikan talian setelah Puan Saafia menjawab salamnya. Telefon pintar dicampakkan ke sebelah. Kepala disandarkan ke belakang.

“Mama kau suruh balik ke?” soal Syaz yang sudah menghempaskan punggung di sebelah kirinya.

Kepala Kaysa Adara diangguk-anggukkan.

“Balik jelah. Esok kau cuti lagi. Rumah kau bukan jauh pun. Lainlah rumah aku. Kalau dekat, dah lama aku balik.”

Kaysa Adara memilih untuk mendiamkan diri. Malas dia nak memberikan hujah kenapa dia malas nak balik rumah. Kalau dia suka sangat duduk dekat rumahnya, tak adalah dia menyewa. Dia boleh aje berulang-alik dari tempat kerja ke rumah walaupun agak jauh. Itu pun kalau rumahnya boleh dianggap ‘Rumahku, Syurgaku’.

Tiba-tiba Syaz cuit bahunya. Senyuman nakal tertampal di wajah gadis itu.

“Apa dia?”

“Kau dah jatuh hati dengan mamat kat Kundasang tu ke? Apa nama dia? Ed?”
Kaysa Adara menjeling Syaz. Gadis itu tak akan puas hati selagi Kaysa Adara tak berikan jawapan. Nafas dihela sedikit kuat. Tubuhnya disengetkan ke arah Syaz.

“Aku tak tahu. Kalau aku jatuh hati dekat dia sekalipun… so what? Bukannya aku akan jumpa dia lagi kan?”

“Betullah yang kau dah jatuh hati pada mamat tu,” ucap Yara yang tiba-tiba sahaja muncul, menyampuk perbualan Syaz dengan Kaysa Adara.

Yara menghempaskan punggungnya di sofa yang satu lagi. Sofa berkembar.

“Dah bangun pun. Ingatkan masih membuta,” komen Syaz.

Yara tarik sengih.

“Letih,” tutur Yara sebelum menoleh ke arah Kaysa Adara.

“Aku dah agak kau ada hati dekat mamat tu. Aku perhati je masa kau berbual dengan mamat tu tau,” kata Yara lagi.

“Aku nampak juga Kaysa berbual dengan mamat tu tapi aku tak syak apa-apa. Kaysa kan memang friendly,” beritahu Syaz.

“Tapi… cara Kaysa pandang Ed tu lain daripada yang lain,” bidas Yara.

Kaysa Adara mengerutkan dahi.

“Apa yang lain?”

“Entah si Yara ni. Aku tengok sama je.”

“Whatever! Malas aku nak explain.”

Syaz tarik sengih. Kemudian, dia kembali bersuara.

“Kalau kau jumpa dia balik, macam mana? Apa yang kau akan buat?”

“I don’t know,” balas Kaysa Adara bersahaja. Bahunya dijungkitkan.

“Okeylah. Aku nak bersiap. Nak balik rumah aku. Bising pula mama aku kalau aku sampai lambat.”


Kekoknya makan malam bersama keluarga. Itu yang Kaysa Adara rasa ketika ini. Suasana di meja makan sunyi sepi. Tak ceria langsung. Berbeza sungguh dengan suasana bila Kaysa Adara makan malam bersama kawan-kawannya. Tiba-tiba Kaysa Adara terasa rindu nak makan bersama Syaz dengan Yara padahal hampir setiap hari mereka bertiga makan bersama-sama.

Kaysa Adara melirikkan pandangan mata ke arah mamanya di sebelah, kemudian abangnya yang duduk berhadapan dengan Puan Saafia. Berselera sungguh mereka berdua menjamu selera. Kenapa dia seorang sahaja yang tak berselera padahal dia sangat rindu masakan di Semenanjung?

Ceh! Gaya macam bercuti ke luar negara aje. Padahal bercuti ke Sabah. Masih lagi dalam negara.

Nak buat macam mana… masakan di setiap negeri itu berbeza. Tekak sudah terbiasa dengan masakan di negeri sendiri.

“Tak sedap ke lauk yang mama masak?” tanya Puan Saafia sekaligus meruntuhkan tembok kesepian di meja makan.

Kaysa Adara terkesima. Dia menelan liur.

“Sorrylah. Mama masak lauk kegemaran along pula. Dah berhari-hari along cakap nak makan ayam masak kurma. Kaysa makan juga kan lauk ni?”

“Kaysa makan je ma. Sejak bila pula Kaysa tak makan ayam masak kurma…”

Ayat penyata yang datar diberikan.

“Dah tu, kenapa tak makan? Kuis-kuis pula nasi tu?”

Kaysa Adara mendiamkan diri. Dia menyuap nasi ke dalam mulutnya. Memaksa diri untuk menelan.

“Dah tak ada selera nak makan dengan kita semua ke? Makan dengan kawan-kawan mesti lebih seronok, kan?”

Erk…

Sentap!

Ayat Encik Khairul benar-benar makan dalam. Terdiam seribu bahasa Kaysa Adara dibuatnya. Mana mungkin dia menafikan sementelah baru sahaja tadi dia membuat perbandingan.

“Macam mana Sabah? Seronok?”

Encik Khairul melontarkan soalan sekali lagi.

Perlahan-lahan Kaysa Adara menganggukkan kepala.

Okey, Kaysa…. bersedialah. Bom akan meletup tak lama lagi. Telinganya bakal ditembak dengan berdas-das sindiran daripada papanya.

“Dah tak pandai minta izin dari papa dengan mama ya? Mana nak pergi, pergi aje. Buat diri tu dah macam tak ada mak dengan ayah.”

Isu yang sama dengan mama. Soal minta izin. Padahal sebelum membeli tiket penerbangan beberapa bulan yang lepas, dia sudah meminta izin daripada kedua-dua ibu bapanya dan mereka juga tak ada cakap apa-apa. Tak ada bantahan. Kenapa sekarang nak naikkan isu izin?

Kaysa Adara hanya mampu menggumam dalam hati. Dia malas nak melawan dengan ayah sendiri. Biarlah… biarlah dia kena marah, biarlah dia kena leter, biarlah dia dianggap anak yang tak berguna. Dia sudah biasa. Sudah lali.

“Anak lelaki papa pun boleh minta izin, boleh beritahu papa dengan mama sebelum pergi mana-mana walaupun business trip, takkan anak perempuan papa tak boleh buat macam tu? Kenapa? Anggap diri tu dah besar sangat?”

Kaysa Adara menjeling abangnya yang tidak beriak! Menyampah! Papa asyik nak banding dia dengan along sahaja. Yang baik semua along. Yang buruk semua dia.

“Sekali lagi Kaysa buat hal macam ni, papa nak Kaysa pindah semula ke sini dan kerja dengan papa. Buat apa kerja dekat firm kecil tu… gaji bukannya banyak mana. Kalau Kaysa kerja dengan papa, Kaysa mampu bayar kereta sendiri.”

“Papa nak cakap yang Kaysa tak mampu nak bayar kereta sendiri ke?”

Kaysa Adara mula bersuara. Tidak mampu menahan diri daripada mempertikaikan ayat Encik Khairul.

“Selama ni, Kaysa atau mama yang bayar kereta tu?”

Kaysa Adara terdiam. Lama. Kepedihan di hati hanya Tuhan yang tahu tika itu. Bicara Encik Khairul umpama pisau yang menoreh hatinya. Dia menoleh ke arah Puan Saafia dan kemudian ke arah Encik Khairul.

“Okey. Lepas ni, Kaysa bayar sendiri. Itu yang papa nak kan? Kaysa ingat itu hadiah konvo daripada mama. Along pun dapat kereta masa konvo…”

Gelakan sinis terbit dari bibir gadis itu.

“Lupa pula yang Kaysa tak sama macam along. Apa yang along dapat, tak semestinya Kaysa dapat. Bodohnya Kaysa tak bertanya masa tu. Maafkan Kaysa. Kaysa akan bayar sendiri lepas ni. Yang sebelum-sebelum ni, Kaysa akan cuba bayar ansur-ansur pada mama.”

Kaysa Adara bangkit dari duduk. Tidak betah berlama di situ. Hatinya tidak mampu dikeraskan lagi. Sungguh, dia terasa. Air mata bakal tumpah bila-bila saja. Kenapa berbeza sungguh layanan papa dengan mama pada along dengan dia? Apa bezanya mereka? Kenapa along selalu dapat lebih daripada dia?

Kaysa Adara boleh bertahan bila Encik Khairul selalu banding-bandingkan dia dengan abangnya tetapi bila papa dengan mama memberi layanan istimewa kepada Khalil Asyraf, dia tidak boleh terima. Hatinya pedih. Bukankah dia juga anak mereka? Kenapa layanan yang diberikan berbeza?

Puan Saafia sendiri beritahu Kaysa Adara yang kereta Myvi itu merupakan hadiah buatnya sempena tamat pengajian ijazah sarjana muda dua tahun yang lepas. Adakah dia tersalah dengar? Masa tu, sedikit pun Kaysa Adara tidak merungut walaupun Khalil Asyraf dapat kereta lebih mewah daripadanya. Malah dia bersyukur. Bersyukur kerana mama menghadiahkannya sebuah kereta walaupun bukan Ford Fiesta seperti abangnya.

“Duduk Kaysa,” kata Encik Khairul, lebih kepada arahan.

“That’s was not my point.”

“Then, what?” tanya Kaysa Adara yang masih berdiri dengan wajah masamnya.

Encik Khairul diam.

Puan Saafia memegang lengan anak perempuannya, diusap perlahan dan dengan bahasa tubuh, dia menyuruh Kaysa Adara duduk semula.

“Kaysa tak perlu bayar apa-apa. Itu hadiah dari mama untuk Kaysa,” ucap Puan Saafia.

“Oh… ingatkan Kaysa salah dengar. Kalau hadiah, kenapa cakap Kaysa tak mampu bayar?”

Semua orang diam termasuk Encik Khairul. Suasana di meja makan tiba-tiba jadi tegang.

“Kaysa tahu gaji Kaysa tak besar mana tapi Kaysa tak pernah susahkan papa dengan mama. Kalau Kaysa ada tersusahkan papa dengan mama, Kaysa minta maaf.”

Nada suara Kaysa Adara mula mengendur.

“Kaysa dah habis makan. Kaysa naik bilik dulu,” ucap gadis itu sebelum berlalu meninggalkan meja makan.


Khalil Asyraf mengetuk pintu bilik adiknya beberapa kali sebelum membuka pintu. Matanya dihalakan ke arah Kaysa Adara yang sedang duduk di meja studi, menonton drama di komputer riba. Langkah diatur ke dalam bilik adiknya. Punggung dihempaskan ke atas tilam, menghadap tubuh belakang Kaysa Adara.

Lelaki itu tidak menuturkan sebarang bicara. Hanya memerhati adiknya yang masih memberikan tumpuan kepada drama Korea.

Lama mereka berkeadaan sebegitu. Kaysa Adara mula tidak selesa. Terus dia klik butang ‘pause’. Kerusi rodanya dipusingkan ke belakang, memandang abangnya yang sedang termenung jauh.

“Kau datang sini sebab nak termenung je ke?” soal Kaysa Adara dengan nada yang bersahaja.

Khalil Asyraf tersentak. Terbang segala yang bermain di mindanya. Pandangan mata dihalakan ke arah Kaysa Adara.

“Kau marah papa ke?”

“Kalau kau datang sini sebab nak cakap pasal hal tadi, lupakan jelah. Sila keluar, anak kesayangan papa,” kata Kaysa Adara penuh sarkastik.

“Oh, sebelum tu, nah!”

Sebuah kotak kecil dilemparkan kepada Khalil Asyraf.

“Hadiah untuk bakal bini kau.”

“Thanks,” ucap Khalil Asyraf bersama senyuman nipis. Kotak kecil yang sudah berada di tangan, dibuka. Matanya merenung lama gelang tangan berwarna hitam di dalam kotak tersebut.

Kaysa Adara memerhati sahaja abangnya yang seolah-olah ada masalah. Walaupun dia tidak begitu rapat dengan abangnya, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena, yang cuba lelaki itu sembunyikan daripada dia.

Keluhan berat dilepaskan.

“Kau tahu tak… belum terlambat untuk kau batalkan semuanya. Tak perlu kau nak acah-acah baik, ikut je apa papa cakap. Ini masa depan kau. Kau yang kena berdepan dengan masa depan kau. Bukannya papa. Bukannya mama. Bukannya aku.”

Khalil Asyraf kembali memandang Kaysa Adara.

“Apa yang kau cakap ni? Batalkan apa?” tanya Khalil Asyraf. Blur.

“Wedding kau lah. Tak terlambat pun nak batalkan. Sempat lagi. Kau tak nak kahwin dengan pilihan papa dengan mama kan? Sebab tu kau serabut.”

Selamba sahaja Kaysa Adara buat andaian. Khalil Asyraf melepaskan tawa kecil.

“Kau ni… suka betul fikir yang bukan-bukan pasal papa dengan mama. Bakal bini aku tu memang anak kawan dia orang tapi dia orang tak pernah paksa aku pun. Aku yang suruh dia orang pinangkan anak Auntie Mawar untuk aku.”

“Oh…”

Kaysa Adara terdiam seketika. Tak tahu pula yang abangnya yang suruh masuk meminang anak Auntie Mawar.

“Kau sukakan dia ke?”

Tanpa perlu berfikir, Khalil Asyraf menganggukkan kepala. Yakin dengan jawapannya itu.

“Habis tu, kenapa kau macam serabut? Kau ada masalah ke?”

“Kind of,” balas Khalil Asyraf datar.

“Tak nak share dengan aku ke masalah kau tu?”

Khalil Asyraf menguak rambut ke belakang sebelum merenung adik perempuannya.

“Perlu ke aku share dengan kau?”

Bahu Kaysa Adara dijungkitkan.

“Terpulang. Kalau kau anggap aku ni adik kau dan kau tak kisah nak share dengan aku, aku akan cuba jadi adik yang baik… dengar masalah kau.”

“Apa maksud kau? Selama ni, kau ingat aku tak anggap kau adik aku?”

Kening Khalil Asyraf sudah ternaik sedikit. Kemudian, dia lepaskan gelak sinis. Pandangannya dibuang ke arah lain.

Kaysa Adara diam aje. Tidak memberikan respons. Bila Khalil Asyraf mendiamkan diri terlalu lama, Kaysa Adara kembali memusingkan kerusi rodanya, menghadap laptop.

“Kalau kau tak ada apa-apa nak cakap, kau boleh keluar da…”

“Dia tak suka aku.”

Khalil Asyraf memotong bicara Kaysa Adara. Meluahkan apa yang terpendam di hati.

“Kejap. Ayat aku salah. Dia suka aku. Tapi dia tak cintakan aku. Dia cintakan lelaki lain.”

Kaysa Adara kembali menghadap abangnya. Wajah gadis itu tampak serius.

“Dah tu, kenapa dia terima kau? Dia kena paksa dengan Auntie Mawar ke?”

Khalil Asyraf menggelengkan kepala.

“Tak ada paksaan pun dalam hubungan aku dengan dia. Auntie Mawar memang suka aku tapi dia tak paksa pun anak dia terima aku.”

“So, ini memang keputusan dia? Kenapa dia terima kalau dia cintakan lelaki lain?”

Diam. Khalil Asyraf tiada jawapan untuk soalan Kaysa Adara.

“Lelaki tu tak nak dia ke? One sided love?” tebak Kaysa Adara.

Lambat-lambat Khalil Asyraf menganggukkan kepala.

“Aku baru je tahu pasal lelaki tu. Dia baru cerita kat aku. Aku tak tahu macam mana nak react masa tu. Aku ingatkan dia terima aku sebab dia pun suka aku. Sebab masa kita orang bertunang, masa kita orang jumpa, dia nampak happy je.”

“So, sekarang ni macam mana?”

“Entah. Aku tak tahu.”

Kaysa Adara membisu seketika. Otaknya ligat berfikir. Cuba mencari jalan penyelesaian untuk membantu abangnya.

“Macam yang aku cakap tadi… belum terlambat kalau kau nak batalkan perkahwinan kau dengan dia.”

“Dan biarkan papa dengan mama menanggung malu?”

“Ini hidup kau. Kau yang kena lalui semua ni. Bukan papa dengan mama.”

“Kau ni memang tak pernah fikir pasal papa dengan mama kan? Selalu pentingkan diri sendiri.”

Kaysa Adara tersandar ke belakang. Pulak! Dia yang kena. Padahal dia nak tolong. Panas pula hati Kaysa Adara apabila dikatakan pentingkan diri sendiri. Benarkah?

“Okey, kita tolak tepi soal papa dengan mama. Macam mana dengan keluarga Auntie Mawar kalau aku batalkan perkahwinan kita orang? Macam mana dengan bakal isteri aku? Mestilah dia orang malu.”

“Boleh tak kau jangan fikir pasal orang lain?”

Kaysa Adara duduk tegak semula. Rambutnya yang terjuntai disebak ke belakang.

“Aku bukan nak ajar kau untuk jadi selfish. Tapi kadang-kadang kita kena selfish. Lebih-lebih lagi bila melibatkan hidup kita. Kau dah tahu dia tak cintakan kau, kenapa kau nak serahkan diri kau pada perempuan yang tak cintakan kau? Macam mana kau nak jalani hidup kau? Kau sanggup bila isteri kau teringatkan lelaki lain bila dengan kau? Jangan hanya sebab nak jaga air muka semua orang, kau yang terseksa.”

“Kau buat aku takutlah, dik.”

“Aku tak main-main tau. Aku serius. Dan apa yang aku cakap ni, bukan aku nak hasut kau untuk papa marah pada kau.”

“Tapi dia cakap dia akan cuba lupakan laki tu dan cuba terima aku.”

“Kau rasa dia boleh ke?”

Sepi.

Lama.

Bunyi kipas siling yang berpusing sahaja kedengaran.

“Suka hati kau lah, long. Hidup kau. Kau tentukanlah sendiri. Kalau kau yakin dengan keputusan kau, teruskan jelah perkahwinan kau dengan dia. The least I can do as your sister is to pray for your happiness.”

Khalil Asyraf mengukirkan senyuman.

“Thank you little sister,” tutur Khalil Asyraf bersama senyuman yang belum hilang.

Lelaki itu bangkit dari duduk.

“Okeylah. Aku balik bilik dulu. Tak nak kacau kau. Thanks untuk gelang ni. Oh, how Sabah? Seronok tak?”

Kaysa Adara menganggukkan kepalanya.

“Sangat. You should go there. Kalau kau nak cari ketenangan, kau boleh stay dekat Hounun Ridge Farmstay. Cantik sangat tempat tu. Serius!”

“Thanks for your suggestion.”

Khalil Asyraf melangkah keluar dari bilik adik perempuannya. Tiba di depan pintu, dia menghentikan langkah dan menoleh ke arah Kaysa Adara semula.

“Kaysa… kau patut tahu yang papa tak ada niat nak ungkit pasal kereta tu. That was not his point,” ucap Khalil Asyraf sebelum melangkah pergi. Meninggalkan Kaysa Adara terpinga-pinga.

Kaysa Adara memandang pintu biliknya yang sudah bertutup.

Habis tu, apa yang papa cuba sampaikan? Kenapa semua orang tak nak jelaskan pada dia? Kenapa semua orang nak salahkan dia? Selama ni, asyik dia sahaja yang dipersalahkan. Asyik dia aje disuruh mengalah. Sebab tu, bila papa sindir dia macam-macam, dia memilih untuk diam. Kalau dulu, memang dia melawan, sampai jadi perang besar antara dia dengan papa. Pernah jugalah papa hampir naik tangan tetapi sempat ditahan oleh mama.

Adakah dia yang bersalah? Adakah dia yang terlalu degil? Terlalu suka melawan kata?

Okey, pasal tak minta izin ke Sabah tu mungkin salah dia sebab masa nak beli tiket penerbangan tu, dia hanya hantar WhatsApp dalam group famili. Memberitahu yang dia akan pergi bercuti. Itu sahaja. Dia tak tanya pun sama ada dia boleh pergi atau tak, dia tak tunggu pun respons daripada keluarganya. Dia terus beli. Dan masa dia nak berlepas ke Kota Kinabalu pun, dia tak ada hubungi keluarganya walaupun mama. Memang dia buat hal sendiri. Ya, memang dia salah. Dia mengaku.

Tapi macam mana dengan isu-isu sebelum ni?

Argh… malaslah Kaysa Adara nak fikir. Buat serabut otak. Baik dia sambung layan drama Korea.



No comments: