Thursday, November 24, 2016

Date Me - Bab 3 (versi manuskrip)


Kaysa Adara menyelak langsir biliknya. Sedikit cuma. Matanya dihalakan ke luar. Subhanallah! Terpukau Kaysa Adara memandang Gunung Kinabalu yang sudah tidak dikaburi awan tebal seperti semalam. Gunung Kinabalu itu betul-betul di depan matanya.

“Beb... Gunung Kinabalu dah bangun. Cantik!”

Dek rasa teruja, Kaysa Adara terus memanggil kawan-kawannya. Langsir diselak lebih besar. Sengaja dia guna istilah ‘Gunung Kinabalu dah bangun’ sebab semalam orang kat sini kata ‘Gunung Kinabalu dah tidur’ memandangkan awan tebal menutupi gunung itu.

Syaz dengan Yara terus membuka mata. Memadang ke luar tingkap. Terus hilang rasa mengantuk bila tengok Gunung Kinabalu di depan mata mereka. Semalam mereka tidak dapat menyaksikan gunung itu.

“Dah pukul berapa ni? Aku tak solat lagi.”

Yara mula kalut bila tengok suasana di luar sudah terang.

“5.50 pagi. Syuruk 6.11 pagi. Pergilah solat.”

“Kau dah solat?”

Kaysa Adara mengangguk.

“Kenapa tak kejut?”

“Aku dah kejut banyak kali. Kau yang lima minit, lima minit lagi,” gumam Kaysa Adara.

Yara tarik sengih. Terus dia turun dari katil dan menuju ke bilik air.

Syaz yang tidak boleh solat turut bangkit dari perbaringan. Rambutnya yang panjang diikat. Cermin mata dicapai. Begitu juga telefon pintar. Dia mula melangkah ke arah Kaysa Adara sambil memakai cermin matanya.

“Cantiknya…” Syaz meluahkan rasa kagumnya dengan pemandangan yang cukup indah di depan mata.

“Subhanallah,” ucap Syaz lagi.

Gadis itu mula menangkap beberapa keping gambar menggunakan telefon pintarnya.  Kaysa Adara tersenyum nipis. Dia juga kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan. Matanya ralit memandang luar.

Pandangan Kaysa Adara terhenti di satu arah. Sebatang tubuh yang sedang duduk memeluk lutut di atas bukit menarik perhatiannya. Matanya dikecilkan. Cuma mengamati figura tersebut.

Oh, lelaki semalam…

Tidak semena-mena, Kaysa Adara teringat sesuatu. Terus dia geledah beg galas, mengambil sesuatu lalu disimpan ke dalam poket seluar. Selendang dicapai dan disarungkan ke kepala.

“Aku keluar kejap,” beritahu Kaysa Adara kepada Syaz yang masih ralit menangkap gambar dari tingkap bilik.

“Kau nak pergi mana? Jangan pergi jauh-jauh,” pesan Syaz. Serik dengan peristiwa semalam.

“Aku kat area sini je.”

Kaysa Adara terus menghilangkan diri. Langkah dihayun ke arah lelaki semalam yang sudah terbaring di atas rumput. Terukir senyuman nipis di bibir gadis itu.

Tidak mahu kehadirannya disedari, Kaysa Adara mula memperlahankan langkah. Berhati-hati dia merapati lelaki itu.

Kaysa Adara berdiri betul-betul di depan kepala Ed. Pandangan mata dihalakan ke wajah Ed. Memerhati wajah lelaki itu yang ditutupi separuh dengan lengan.

Entah kuasa apa yang mendorongnya, dia duduk mencangkung. Kepalanya ditundukkan, memandang Ed. Merenung wajah lelaki itu yang seolah-olah sedang memendam sesuatu. Hati Kaysa Adara dilambung tanda-tanya.

Apabila Ed membuka matanya, Kaysa Adara kaget. Terkesima. Matanya membesar. Sama seperti lelaki itu.

Buat beberapa saat, mereka berkeadaan sebegitu. Terkaku. Tiba-tiba, lagu Always yang dinyanyikan oleh Yoon Mi Rae bergema di telinga. Sama seperti semalam.

Ed menelan liur. Masih terkejut. Spontan dia bangun. Nak jauhkan diri daripada gadis itu. Namun, tanpa sedar, dahinya terhantuk dengan dahi Kaysa Adara. Masing-masing mengaduh kesakitan.

Kaysa Adara sudah jatuh terduduk dek hantukan tadi. Tangan melekap ke dahi. Menahan sakit.

Dahi Ed juga berdenyut-denyut tetapi dibiarkan aje. Dia duduk melutut. Matanya mencerlung memandang Kaysa Adara.

Pandangan tajam Ed membuatkan Kaysa Adara terkaku seketika. Kemudian, dia tayang sengih. Sedar dia yang salah.

“Sorry. I tak ada niat nak buat you terkejut,” tutur gadis itu.

Dua hari berturut-turut Kaysa Adara meminta maaf pada lelaki itu. Semalam, tak ada niat nak Ed terbabas. Hari ni, tak ada niat nak buat Ed terkejut. Semuanya tak ada niat. Tapi memang betul pun. Memang dia tak ada niat. Apa? Ingat dia sengaja ke?

Ed membuang pandang. Matanya dihalakan ke arah Gunung Kinabalu.

Kaysa Adara bangun dan duduk di sebelah kiri Ed. Plaster luka dikeluarkan dari poket seluar dan dia mula meneliti siku kiri Ed. Tidak silap Kaysa Adara, semalam dia ada nampak luka di siku Ed selepas Ed menanggalkan jaket kulit.

“Apa yang you cuba buat ni?” tanya Ed apabila tangan Kaysa Adara menghampiri sikunya. Spontan, dia tarik sikunya jauh daripada Kaysa Adara.

Kaysa Adara memandang Ed. Plaster luka ditayangkan ke arah lelaki itu.

“I nak tampal ni. Tangan you luka,” jelas Kaysa Adara.

“Tak payah.”

Kaysa Adara mencebik. Dengan selamba, dia tampal plaster pada luka di siku Ed. Kasar. Ed hanya mampu mendengus.

“Sama-sama,” ucap Kaysa Adara dengan nada sarkastik.

Memerli.

Ed buat bodoh. Tidak terasa dengan perlian itu. Dia tak suruh pun. Luka di sikunya tidaklah teruk mana. Melecet aje. Barangkali bergesel dengan jalan masa jatuh motosikal semalam.

“Mencari diri ke?” soal Kaysa Adara.

Ed menoleh ke sisi. Keningnya ternaik sedikit. Tak faham.

Kaysa Adara mengukirkan senyuman nipis.

“I ada baca satu quote. Quote tu lebih kurang macam ni… travel seorang diri bila nak cari diri sendiri, travel dengan kawan-kawan bila nak create memory. So… you tengah cari diri sendiri ke?”

Kaysa Adara mengulang soalannya selepas memberikan penjelasan.

Ed menggelengkan kepala. Adakah dia sedang mencari diri sendiri? Hatinya bertanya. Tidak! Dia ke sini setelah berbulan-bulan menghadap manuskrip untuk novel terbarunya. Ingin menenangkan fikiran. Ingin mengambil angin. Ingin memanjakan diri.

“You?”

Kaysa Adara terpinga-pinga bila Ed tiba-tiba tanya macam tu selepas mendiamkan diri dengan agak lama.

“So, you nak create memory dengan kawan-kawan you ke?” tanya Ed dengan lebih jelas.

Oh…

Kaysa Adara tersenyum. Kepalanya dianggukkan perlahan.

“Lebih kurang macam tulah. Kita orang tertarik dengan satu artikel yang viral dekat FB. So… here we are. You datang sini sebab artikel tu juga ke?”

“Artikel yang mana?”

“Kononnya tempat ni hampir sama dengan New Zealand.”

Ed menggeleng. Menidakkan.

“I tak baca pun artikel tu. So, you rasa tempat ni macam New Zealand?”

Bahu Kaysa Adara dijungkitkan.

“Entah. I tak pernah pergi New Zealand. Tapi tempat ni best. Tenang. Sejuk. Damai. Hilang stress I.”

Kaysa Adara menoleh ke arah Ed. Memandang lelaki itu. Dia mula selesa berbual dengan lelaki itu. Dia sendiri tak tahu macam mana dia orang boleh berbual seolah-olah sudah lama kenal.

“I lupa nak introduce diri I,” ucap Kaysa Adara bersama senyuman di wajah.

“Kaysa Adara. Kaysa bermaksud berani. Adara bermaksud cantik. So basically, maksud nama I berani dan cantik. Well… memang I berani dan cantik pun.”

“Berani ke?” Ed tanya bersama kening yang ternaik.

“Kalau berani, kenapa lari bila nampak anjing?” Ed tanya lagi.

Erk!

Hesy, mamat ni… perli aku pasal semalam pula. Gadis itu menggumam sendiri.

“Exclude anjing, semua benda I berani,” bidas Kaysa Adara. Selamba. Padahal ada je benda lain yang dia takut selain anjing.

“You boleh panggil I Kaysa macam kawan-kawan I panggil. Famili I pun panggil I Kaysa. Atau you boleh panggil Dara ssi… macam orang Korea panggil Sandara Park tu. Dia orang panggil, Dara ssi, Dara ssi... Oh, kalau you tak kenal siapa Sandara Park, dia tu idol Korea. Ahli kumpulan 2NE1. Orangnya cantik dan comel. Sama macam I.”

Mata Ed mula mengecil, memandang Kaysa Adara yang sedang buat muka comel. Siap buat peace. Lelaki itu mula merenung Kaysa Adara. Gadis yang pernah menjadi kawan sepermainanya satu ketika dahulu. Gadis itu masih comel dan nakal seperti dulu.

Ed bagaikan tersedar. Kenangan lalu terus diusir jauh. Tidak mahu terhanyut jauh.

“You ni perasan kan?”

“I tak perasan. Tapi ini hakikat. Cuba you tengok muka I ni. Cantik dan comel,” balas Kaysa Adara. Matanya dikelip-kelipkan.

Ed tersenyum senget.

“So… you? Apa nama you?”

Kau tak ingat aku?

Ed tersenyum dalam hati. Mengejek diri sendiri. Dia sendiri tak boleh cam Kaysa Adara, inikan pula gadis itu. Lagipun, dia orang bukannya rapat masa kecil dulu.

“Ed.”

“Hah?”

“Nama I Ed.”

Tiba-tiba Kaysa Adara tergelak. Entah apa yang melucukan gadis itu pun Ed tidak tahu. Pelik sangat ke nama dia?

“Kenapa you gelak?”

Kaysa Adara memaksa dirinya berhenti gelak. Tangan menutup mulut. Setelah berjaya mengawal diri, Kaysa Adara bersuara.

“Sorry… I teringat Ed dalam cerita Conjuring tu. Ed dengan Lorraine. I baru je lepas tengok Conjuring 2 dengan kawan-kawan I last week.”

Dahi Ed berkerut.

“Apa yang kelakar? Conjuring tu kan cerita seram? Bukan komedi.”

“Err… forget it! Anggap je I suka gelak. So, nama you memang Ed jelah? What’s your real name?”

“Redza.”

“Oh… tapi panggil Ed?”

Ed mengangguk.

“Kaysa….”

Kaysa Adara menoleh ke belakang apabila namanya dipanggil.

“Jom breakfast. Ajak sekali member kau tu,” laung Syaz yang sedang meletakkan plastik berisi makanan di atas meja berwarna putih. Tidak jauh dari mereka.

Kaysa Adara kembali memandang Ed. Memberi isyarat mata. Mengajak lelaki itu sarapan bersama.

Ed menggeleng. Menolak pelawaan Kaysa Adara dan teman-temannya.

“Jomlah…”                                                  

Geleng.

“Jom… tanda terima kasih sebab tolong I semalam.”

Ed akhirnya mengalah.

Serentak, mereka mengangkat punggung dan mendekati Syaz dan Yara di meja putih. Ed memerhati ketiga-tiga orang gadis yang mengenakan baju dan seluar yang sama. Baju berwarna biru lembut dan seluar palazzo yang bercorak berwarna hitam. Hanya corak pada seluar itu sahaja yang berbeza.

Kaysa Adara menyelitkan diri di tengah-tengah, di antara Syaz dan Yara. Timbul rasa pelik di hati Ed apabila mereka bertiga berdiri sebaris. Pandangan matanya dihalakan ke arah tiga orang gadis di hadapannya.

“Hi. We are SKY.”

Syaz, Kaysa Adara dan Yara berkata serentak sambil menunujukkan huruf di belah kiri hujung baju masing-masing.

“I’m Syaz.”

“I’m Kaysa.”

“And I’m Yara.”

Senyuman terhias di wajah mereka bertiga.

Ed mengecilkan matanya. Terkejut dengan cara ketiga-tiga gadis itu memperkenalkan diri. Bersemangat sungguh! Terkesima Ed dibuatnya.

Riak wajah Ed yang memandang pelik ke arah mereka bertiga mematikan senyuman Kaysa Adara. Dia menoleh ke arah Syaz dan kemudian ke arah Yara. Hambar ke? Selalunya orang beri respons yang positif bila dia orang perkenalkan diri macam ni. Unik kan? Siap dia orang tunjuk baju yang dia orang buat khas untuk percutian kali ini lagi. Ada initial nama masing-masing di hujung baju.

Kaysa Adara kembali merenung Ed.

Tiba-tiba tawa Ed pecah. Kuat! Beria-ia lelaki itu ketawa. Tawa Ed membuatkan Kaysa Adara dan kawan-kawannya turut melepaskan gelak.

“Wait!”

Kaysa Adara berhenti gelak.

“Apa yang kelakar?”

Gadis itu menyoal Ed.

Ed masih lagi ketawa. Ketawa sampai pegang perut. Apa yang geli hati sangat?

“Oh… you guys baru 25 tahun kan? No wonderlah…”

“Macam mana you tahu umur kita orang?”

Tawa Ed terhenti. Dia telan liur.

“Err… tadi you ada cakap,” balas Ed, cuba beriak biasa.

“Ya ke? I tak ingat pun yang I ada beritahu umur pada you.”

“Ada… masa you introduce diri you. You lupa kut.”

Kaysa Adara merenung Ed. Ed mula gelabah. Dia tahu umur gadis itu melalui maklumat yang dia terima daripada Wafi.

“Oh… mungkinlah.”

Lega.

“Tapi apa yang ‘patutlah…’?” soal Kaysa Adara dengan mimik muka.

“Nothing.”

Yara menjeling Ed. Tangan disilang ke dada.

“You nak cakap kita orang tak matang eh? Masih kebudak-budakkan. Macam tu?”

Ed tayang senyum.

“Oh, by the way I’m Ed. Thanks for the energetic introduction… SKY.”

“Kuat memerli juga you ni,” komen Syaz.

“Jomlah breakfast. Roti dengan tuna aje.”

Syaz bersuara lagi. Dia sudah mengambil tempat di meja putih. Yara sudah duduk di sebelah Syaz. Kaysa Adara terpaksa duduk berhadapan dengan Syaz dan Ed di sebelahnya.

“Sorrylah kalau you rasa kita orang ni lame. Kita orang dah terbiasa kenalkan diri macam ni sejak foundation,” ucap Syaz. Tidak terasa pun dengan perlian Ed.

“Oh… kawan satu U ke?”

Yara mengangguk, menjawab pertanyaan Ed.

Kaysa Adara menoleh ke arah Ed dengan wajah tidak puas hati. Tidak puas hati bila Ed gelakkan mereka sebegitu.

“Sebenarnya you gelak sebab I gelakkan you masa you beritahu nama you kan?”

“Tak! I gelak sebab it’s funny.”

Kaysa Adara ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu sebelum dia mula menjamu selera.

Ed mengukirkan senyuman nipis. Hatinya terhibur dengan gelagat Syaz, Kaysa Adara dan Yara pagi itu. Mereka bertiga menceriakan harinya. Hilang terus rasa serabut yang menganggunya sejak semalam. 



No comments: