Wednesday, November 23, 2016

Date Me - Bab 2 (versi manuskrip)


Pemandangan di Hounun Ridge Farmstay yang terletak di Ranau, Sabah memukau pandangan mata Kaysa Adara. Cuaca di situ pun nyaman. Nyaman dan tenang. Berbaloi Kaysa Adara dan dua orang kawan rapatnya merempuh jalan yang penuh berliku untuk tiba di situ.

Ini merupakan percutian geng SKY. Syaz, Kaysa Adara dan Yara. Sudah lama mereka tidak bercuti bersama. Masing-masing sibuk dengan kerja. Setelah hampir setahun tidak bercuti bersama, mereka memutuskan untuk bercuti ke Sabah. Itu pun gara-gara artikel yang viral di media sosial. Kononnya suasana di Hounun Ridge Farmstay hampir sama dengan New Zealand.

Kaysa Adara menjengahkan kepala ke dalam bilik. Syaz dengan Yara masih melelapkan mata. Memang rugi kalau terperap dalam bilik penginapan semasa bercuti. Tidak dinafikan. Namun, mengenangkan Syaz yang memandu dari Kota Kinabalu ke sini dan Yara yang pening kepala, Kaysa Adara tidak sampai hati nak kejutkan mereka berdua. Sudahlah mereka bangun awal hari ini. Pukul 4.30 pagi mereka sudah berada di lapangan terbang. 

Sebuah nota ditinggalkan sebelum Kaysa Adara mula menggembara bersendirian. Gadis itu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pemandangan yang indah di situ. Telefon pintar sentiasa berada di tangannya. Beberapa keping gambar ditangkap menggunakan telefon pintarnya. Sesekali dia berselfie.

Perempuan dan selfie memang tak dapat dipisahkan. Eh, tapi sekarang ni lelaki pun suka berselfie.

Panggilan daripada Puan Saafia mematikan langkah Kaysa Adara. Agak terkesima apabila melihat nama ‘Mama’ tertera di skrin telefon pintar. Lambat-lambat dia jawab panggilan daripada wanita itu. Telefon dilekapkan ke telinga dan kaki kembali melangkah. Melangkah tanpa hala tuju yang pasti. Mata masih lagi menikmati keindahan ciptaan Tuhan sementara telinga menantikan bicara di hujung talian.

“Kaysa kat Sabah ke? Kenapa tak beritahu nak ke sana?” tanya Puan Saafia setelah memberi salam.

“Kan Kaysa ada beritahu mama...”

“Itu tiga bulan yang lepas. Kenapa tak beritahu sebelum pergi? Terkejut mama bila tengok gambar Kaysa kat sana. Mama tak ingat Kaysa nak ke sana. Along dah nak kahwin, Kaysa boleh pula pergi bercuti,” bebel Puan Saafia, meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

“Along yang nak kahwin. Bukan Kaysa,” balas Kaysa Adara. Selamba.

“Memang bukan majlis Kaysa. Tapi kan majlis abang Kaysa. Patutnya masa macam ni Kaysa tolong mama. Tolong apa-apa yang patut. Hesy, Kaysa ni… Bila mama minta tolong, Kaysa cakap busy. Tapi boleh pula Kaysa pergi bercuti dengan kawan-kawan.”

Kaysa Adara menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kaysa dah plan dengan kawan…”

“Kenapa plan time macam ni? Macamlah Kaysa tak tahu yang along nak kahwin dua minggu lagi.”

“Terlepas pandang la ma.”

Gadis itu memberi alasan.

Puan Saafia melepaskan keluhan.

“Mama cakap lebih-lebih pun dah tak ada guna. Kaysa dah ada kat sana pun. Berapa lama Kaysa kat sana?”

“Empat hari. Khamis petang Kaysa balik sana. Mama ada nak pesan apa-apa tak?” soal Kaysa Adara.

“Kaysa belilah apa-apa yang patut. Mama tak kisah pun. Minggu ni balik rumah. Kaysa dah lama tak balik. Papa dah bising.”

Baru Kaysa Adara nak balas, telefon pintarnya termati sendiri. Skrin telefon sudah gelap.

“Lah… bateri habis pula,” ucap Kaysa Adara perlahan kepada dirinya sendiri.

Nafas dihela sedikit kuat. Kaysa Adara kembali memandang sekeliling. Dahinya mula berkerut. Tidak tahu dia berada di mana. Sungguh dia tidak sedar dia sudah berjalan jauh dari tempat penginapan. Terlalu leka menikmati pemandangan dan berbual dengan Puan Saafia barangkali.

Suasana yang semakin gelap membuatkan Kaysa Adara melihat jam tangannya. Awal lagi. Tapi kenapa sudah gelap? Hati gadis itu bertanya.

Oh lupa… kat sini kan gelap lebih awal.

Gadis itu mengetap bibirnya. Telefon pintar disimpan ke dalam poket seluar. Langkah mula diatur, menuju ke tempat penginapan yang sudah jauh dia tinggalkan. Rasa sejuk yang mencengkam membuatkan dia memeluk tubuh lebih erat.

Matanya melilau pandang kiri dan kanan. Kesunyian dan kepekatan malam membuatkan hati berani Kaysa Adara disapa rasa takut. Namun, dia cuba berlagak biasa. Pura-pura berani. Dalam hati, dia berdoa agar dia cepat sampai ke tempat penginapan. Mulalah dia rasa menyesal sebab jalan jauh sangat.

Tiba-tiba langkah Kaysa Adara terhenti. Matanya tepat memandang depan. Bibir tenganga sedikit. Tubuh mula mengeras. Liur ditelan beberapa kali.

Oh Tuhan… kenapa dia muncul pula?

Tangan yang sudah berpeluh digenggam. Gadis itu buntu. Tak tahu nak buat apa. Bebola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan, sedang mencari idea bagaimana ingin melarikan diri daripada…

Kaysa Adara mula mengira.

Satu.

Dua.

Tiga.

Oh Tuhan… bukan satu tapi tiga? Dugaan apakah ini? Kenapa sampai tiga?

Peluh mula merecik di dahi. Peluh disebabkan rasa takut. Takut dengan tiga ekor anjing yang sedang merenungnya. Anjing-anjing yang muncul entah dari mana memandangnya dengan satu pandangan yang cukup menakutkan. Seolah-olah ingin menerkam Kaysa Adara.

Degupan jantung Kaysa Adara bertambah laju. Tidak mampu berfikir panjang, gadis itu terus memusingkan tubuhnya dan berlari selaju yang mungkin.

Lariannya semakin laju apabila ketiga-tiga ekor anjing tadi menyalak dan mengejarnya. Sumpah, gadis itu takut! Lebih-lebih lagi apabila mendengar salakan anjing yang kuat. Tak tentu arah dia berlari. Macam tak cukup tanah.

Silauan cahaya lampu dan deruman motor dari arah depan mengejutkan Kaysa Adara. Dia terpempan. Matanya membulat. Terkejut. Motor besar itu betul-betul dekat dengannya. Serta-merta larian Kaysa Adara terhenti. Gadis itu terus duduk mencangkung sambil menutup kepalanya. Tindakan spontan. Kaysa Adara tidak mampu membayangkan apa yang akan berlaku. Tubuhnya menggigil ketakutan. Matanya dipejam rapat.

Dumm!!!

Hampir putus nafas Kaysa Adara apabila mendengar dentuman yang begitu hampir dengannya. Perlahan-lahan Kaysa Adara membuka matanya dan memerhati sekeliling.

Motor besar yang dia lihat sebentar tadi sudah terbaring di tepi jalan, menghempap si penunggang motor berpakaian serba hitam. Buru-buru Kaysa Adara mendekati penunggang motor tersebut. Rasa bersalah menguasai jiwa.

“Encik… Encik tak apa-apa ke?” soal Kaysa Adara kerisauan. Lupa terus dia pada anjing-anjing yang mengejarnya.

Tiada respons.

Ed menahan sakit. Tangan Kaysa Adara yang ingin membantunya untuk bangun ditepis. Tidak mahu menerima bantuan gadis itu. Dia bangun sendiri lalu mendirikan motor. Helmet full face ditanggalkan. Tanpa memandang Kaysa Adara, Ed mula memerhati kondisi motor Aprilla SL 750 yang dia sewa daripada seorang kenalannya. Risau akan keadaan motor tersebut.

“I’m sorry. I’m really sorry,” ucap Kaysa Adara penuh rasa bersalah.

Pucat wajah gadis itu. Seolah-olah tidak berdarah.

“You okey tak ni? Ada luka kat mana-mana?” tanya gadis itu bila Ed masih lagi diam. Risau.

Ed menoleh ke arah Kaysa Adara. Wajahnya tidak beriak. Tiada tanda-tanda dia akan marah pada gadis yang telah membuatkan dia terbabas.

“Kenapa you lari?” soal Ed. Datar.

“Err…”

Kaysa Adara gigit bibir dan ketika itu baru dia teringat pasal anjing-anjing yang mengejarnya. Terus Kaysa Adara menoleh ke belakang. Seekor anjing yang sedang menghampiri mereka membuatkan Kaysa Adara berlari ke belakang tubuh Ed. Tanpa sedar, dia memegang lengan Ed. Seolah-olah menjadikan lelaki itu pelindungnya.

Ed terkejut. Lengannya ditarik dan dia segera menjauhkan diri daripada Kaysa Adara. Tidak selesa berada begitu hampir dengan seorang gadis yang tidak dia kenali. Mana-mana gadis pun Ed tidak selesa sebenarnya. Dia tidak pernah berada serapat itu dengan perempuan.

“Takut anjing?” tebak Ed.

Laju Kaysa Adara menganggukkan kepalanya. Dia mendekatkan dirinya dengan Ed semula. Kembali berlindung di belakang lelaki itu. Tetapi kali ini dia tidak memaut lengan Ed. Mungkin sudah sedar keterlanjurannya tadi.

“Anjing tu tak akan kejar you kalau you tak lari.”

Kaysa Adara diam. Pandangan mata tidak beralih daripada memandang anjing tersebut. Risau jika anjing itu menerkam mereka.

“Tengok tu… dia lalu je kan?”      

Ed menjeling ke arah Kaysa Adara. Melihat gadis itu menggigil, Ed menanggalkan jaket kulitnya dan disarungkan ke tubuh Kaysa Adara. Risau melihat wajah pucat gadis itu.

Tindakan bersahaja Ed membuatkan Kaysa Adara tergamam. Terkejut! Tidak berkelip matanya memandang lelaki di hadapannya. Lelaki itu tampak cukup bersahaja membetulkan jaket kulit yang sudah tersarung di tubuhnya.

Sekejap! Kenapa tiba-tiba Kaysa Adara terdengar lagu Always yang dinyanyikan oleh Yoon Mi Rae untuk Original Sound Track Descendants of the Sun? Ada sesiapa tengah pasang lagu ni ke?

Tak mungkin. Hanya Kaysa Adara dengan lelaki itu sahaja di situ. Dah tu, kenapa lagu Always berlegar-legar di minda dia?

Ed menjarakkan dirinya semula. Kepalanya menggeleng perlahan apabila ternampak ikatan tali kasut Kaysa Adara yang terbuka. Tanpa sebarang bicara, dia merendahkan tubuhnya seakan melutut. Membetulkan ikatan tali kasut gadis itu.

Kaysa Adara terdiam seribu bahasa. Hanya mampu memerhati tindakan Ed yang cukup bersahaja. Masih terkesima. Jantungnya sudah berdegup tidak menentu. Pertama kali, dia rasa berdebar sebegini. Air liur ditelan berkali-kali.

“You seorang je ke?” tanya Ed yang sudah kembali berdiri menghadap Kaysa Adara.

Dari cara percakapan, Ed tahu Kaysa Adara bukan orang tempatan. Barangkali, gadis itu pun sedang bercuti sepertinya.

Kaysa Adara memberanikan diri menentang pandangan mata lelaki di hadapannya.

“Err… I datang dengan kawan.”

“I tak nampak pun kawan you. Dia orang tinggalkan you ke?”

Laju Kaysa Adara geleng.

“Dia orang kat bilik. I nak ambil angin. So I…”

“So, you jalan seorang diri?” potong Ed.

Kaysa Adara menganggukkan kepalanya bersama dahi yang berkerut. Pelik ke jalan seorang diri?

“This is not your place. You tak kenal pun orang dekat sini. And it’s dark here. Ingat sikit yang you tu perempuan. Jangan nak tunjuk berani sangat.”

“So what kalau I perempuan?” tanya Kaysa Adara dengan nada tidak puas hati.

Dia tidak suka bila orang cakap macam tu. Tak suka dipandang rendah. Tak suka jantinanya dijadikan isu.

“Oh… so you tak takut?”

“Nak takut apa?” balas Kaysa Adara. Berani dan cukup bersahaja.

Ed tergelak kecil. Sinis.

“Yang you lari sampai tak cukup nafas tadi, sampai nak langgar I tu, apa? Bukan takut namanya?”

Terus Kaysa Adara terdiam. Tak ada idea nak membidas bicara Ed.

“You tahu apa yang you buat tadi tu bahaya? Kalau I tak perasan you dan terlanggar you macam mana?”

Kaysa Adara melepaskan keluhan perlahan.

“Okey, I minta maaf. Thanks sebab elak I. I terkejut bila anjing-anjing tu pandang I macam nak telan. Bukan seekor tau. Tapi tiga ekor. Dah lah I seorang je masa tu.”

“Itu yang I cuba cakapkan. Siapa suruh you jalan seorang diri?”

Tapi tadi you kaitkan isu jantina I, gumam Kaysa Adara dalam hati. Malas nak bertekak dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Lebih-lebih lagi lelaki itu sudah menyelamatkannya. Menyelamatkan dia daripada kena langgar dan juga dari kena kejar dengan anjing-anjing tadi. Siap bagi jaket dekat dia dan betulkan tali kasut lagi. Macam tahu-tahu aje yang dia kesejukan tahap maksima.

Masa Kaysa Adara keluar tadi, cuaca tak adalah sejuk sangat. Itu yang dia tak capai sweater. Dibiarkan aje sweater dalam bagasi.

“You stay kat mana? Hounun?”

Kepala Kaysa Adara dianggukkan.

Ed mencapai helmet full facenya lalu dipakaikan ke kepala Kaysa Adara. Kaysa Adara termanggu-manggu dengan tindakan Ed. Sekali lagi tindakan bersahaja lelaki itu menggetarkan jiwanya.

“Naik,” arah Ed.

Kaysa Adara memandang Ed yang sudah duduk di motor. Visor helmet dinaikkan.

“You nak I naik motor ni?” tanya Kaysa Adara dengan kening yang terangkat.

“Habis tu?”

“You nak hantar I ke Hounun ke?”

“Kalau you nak balik sendiri pun boleh.”

“Eh, tak tak. I naik dengan you.”

Cepat-cepat Kaysa Adara naik motor, duduk belakang Ed. Tak nak kena tinggal. Sudahlah dia rasa dia sudah sesat. Tak tahu dia ada kat mana sekarang.

Ed menoleh ke belakang, memandang Kaysa Adara dan kemudian memandang depan semula.

“Kalau nak pegang, pegang hujung baju I. Jangan peluk I,” pesan Ed sebelum memandu motornya.

Kaysa Adara mencebik. Siapa nak peluk dia? Kaysa Adara cuba mengimbangi diri. Tidak mahu memegang Ed langsung kononnya. Namun, di satu selekoh, Kaysa Adara terpaksa juga pegang baju Ed. Takut!

Pertama kali Kaysa Adara bonceng motor besar macam ni. Motor biasa tu dah selalu dia bonceng tapi motor besar belum pernah lagi. Mula-mula memang Kaysa Adara rasa kekok tapi lama kelamaan dia rasa seronok pula. Dapat juga dia merasa naik motor besar. Jakun lima saat.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di Hounun Ridge Farmstay. Dengan penuh hati-hati, Kaysa Adara turun dari motor. Helmet ditanggalkan dan diserahkan kepada Ed. Kemudian, dia tanggalkan pula jaket di tubuhnya. Diserahkan kepada Ed juga.

“Terima kasih.”

Ed hanya mengangguk kecil.

“You stay kat sini juga ke?” tanya Kaysa Adara. Sekadar meneka. Setahu dia, hanya ada satu tempat penginapan sahaja di Kampung Himbaan itu.

Ed mengangguk lagi. Dia mula mengatur langkah. Kaysa Adara mengekori dari belakang.

“Mana satu bilik you?”

Ed menuding jarinya ke arah sebuah bilik yang berberanda. Mata Kaysa Adara membesar. Sedikit terkejut.

“Oh… bilik I sebelah you aje. Kita berjiranlah ni.”

“Kaysa!!”

Terdengar jeritan seseorang yang memanggil Kaysa Adara. Serentak, Kaysa Adara dan Ed berpaling ke arah datangnya jeritan itu. Kaysa Adara menayang sengih saat melihat Syaz dan Yara berlari anak ke arahnya dengan wajah yang risau. Oh, tentu mereka risau bila dia masih belum pulang walaupun hari sudah gelap.

“Kau pergi mana?” tanya Yara setelah berada di hadapan Kaysa Adara.

“Siapa mamat ni?” Syaz pula bertanya. Soalan yang ditujukan kepada Ed.

Sudahlah Kaysa Adara tidak boleh dihubungi. Asyik masuk peti suara aje. Lepas tu, balik pula dengan seorang lelaki yang Syaz dan Yara tak kenal.

Tanpa sebarang bicara, Ed terus mengorak langkah, menuju ke biliknya.

Kaysa Adara memandang Syaz dan Yara. Senyuman nipis diukirkan.

“Kau orang mesti risaukan aku, kan? Tapi sebelum kau orang tanya apa-apa, jom masuk bilik dulu. Sejuklah kat luar ni.”

“Hmm, jomlah… Aku pun rasa sejuk,” ucap Yara.


Di bilik, mereka bertiga duduk dalam bentuk bulatan di atas tilam bersaiz queen. Dua pasang mata terhala ke arah Kaysa Adara, menantikan penjelasan daripada gadis itu.

Kaysa Adara menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan.

“Sorry buat kau orang risau.”

Kaysa Adara memulakan bicara. Sengaja dia pamer wajah sedih. Bibirnya dijuihkan sedikit. Berharap dengan ekspresi muka begitu dapat mengurangkan marah Syaz dan Yara. Syaz dengan Yara tak marah pun sebenarnya. Dia orang risau.

“Tapi aku dah tinggalkan note kan?”

Syaz mula cekak pinggang.

“Haah. Memang kau ada tinggalkan note. Tapi itu bukan masalahnya. Masalah sekarang ni, kenapa kau berani sangat merayau seorang diri? Kau lupa ke kita kat tempat orang? Kalau apa-apa jadi kat kau, apa yang aku nak jawab dekat mama kau? Dekat keluarga kau?”

Kaysa Adara menggaru kepalanya yang tidak gatal apabila kena bebel dengan Syaz. Kenapa macam pernah dengar dialog ni?

Gadis itu berfikir seketika. Oh… lelaki tadi pun cakap benda yang sama. ‘Dekat tempat orang.’

“Sorry. Aku tahu aku salah. Lepas ni, aku janji tak buat lagi. Aku akan pergi mana-mana dengan kau orang aje.”

“Mana phone kau?” tanya Yara.

“Dah banyak kali kita orang call tapi masuk voicemail je.”

“Bateri habis.”

“Mamat tadi tu pula siapa? Macam mana kau boleh balik dengan dia?” Syaz pula menyoal.

“Oh… tadi masa aku nak balik, aku ternampak tiga ekor anjing. Aku cuaklah. Anjing-anjing tu pandang aku. Terus aku lari macam tak cukup tanah. Then, aku hampir terlanggar mamat tadi. Sebab nak elak aku, mamat tu terbabas. Tapi aku tengok dia macam okey je. Dia pun hantarkan aku balik lepas aku kena leter juga dengan dia. Just because I’m a girl.”

“Padan muka. Memang kau patut kena leter pun,” ucap Syaz selamba.

“Nasib baik mamat tu baik hati tau. Siap hantar kau sampai ke sini. Kalau kau kena balik sendiri tadi, aku tak tahulah apa yang akan jadi. Entah selamat sampai ke tidak. Itu baru anjing kau nampak. Aku dengan Syaz nampak oink oink tau.”

Mulut Kaysa Adara sedikit terlopong.

“Serius?”

Syaz dan Yara mengangguk serentak.

“Itu yang kita orang risau sangat dengan kau,” tutur Yara.

“Tapi kan…” Syaz meleretkan bicaranya. Tersenyum simpul.

“Apa dia?” soal Kaysa Adara. Mata dihalakan ke arah Syaz, menanti bicara daripada gadis itu.

Syaz masih tersenyum-senyum.

“Handsome juga mamat tu. Macam maskulin. Orang Cina kata hen man gitu. Orang Melayu kata macho. Orang India kata…. err… tak tahu.”

Kaysa Adara tergelak kecil. Takkan Syaz dah jatuh hati pada mamat tadi? Hmm, tak mungkin. Setahu Kaysa Adara, Syaz masih belum boleh lupakan kekasih hatinya yang telah pergi dijemput Ilahi awal tahun lepas.

“Bilik dia kat sebelah kita je…,” beritahu Kaysa Adara.

“Serius?” tanya Syaz seolah tidak percaya.

Kaysa Adara menganggukkan kepalanya.

“Tak nampak ke dia masuk bilik sebelah tadi?”

Syaz geleng. Yara pun geleng. Masing-masing tak perasan. Yelah, tengah risaukan Kaysa Adara. Mana nak perasan semua tu.

“Okeylah… Aku nak charge phone.”

Kaysa Adara terus turun dari katil. Beg galas digeledah. Mencari pengecas telefon. Berderu-deru notifikasi masuk bila Kaysa Adara menghidupkan semula telefon pintarnya. Ada berpuluh missed calls daripada mama dan juga WhatsApp.

Takkan sebut nama papa, terus letak phone.

Dah mula benci papa?

Kenapa tak jawab?

Jangan jadi anak derhaka, Kaysa.

Ha, tengok! Mama call pun tak nak jawab.

Mama tak tahu nak cakap apa.

Makin menjadi-jadi pula perangai Kaysa.

Jangan sampai mama suruh Kaysa pindah balik rumah kita.

Kaysa Adara melepaskan keluhan kecil. Rambutnya diusap kasar. Mama ni… suka fikir bukan-bukan. Rungut gadis itu dalam hati.

Kaysa Adara mula menekan-nekan papan kekunci. Ingin membalas WhatsApp daripada Puan Saafia. Malas dia nak menelefon wanita itu. Makin panjang pula ceritanya nanti.

Phone Kaysa habis bateri la ma...

Mama janganlah fikir yang bukan-bukan.

Kaysa minta maaf kalau Kaysa ada sakitkan hati mama.

Jumaat nanti Kaysa balik rumah.

Take care.

Love you.


Baru Ed nak lelapkan mata, telefon pintarnya berbunyi. Mula-mula dia ingatkan Yusri tetapi bila nampak nama lain yang tertera pada skrin, segera Ed jawab panggilan tersebut. 

“Hello,” sapa Ed datar.

“Hello, Mr. Red…,” sapa suara di hujung talian dengan nada yang ceria.

“Panggil aku Ed sudahlah. Tak payah nak Mr. Red sangat.”

Si pemanggil tergelak besar.

“Mana boleh. Kau tu client aku. Dan aku kenal kau as Mr. Red, penulis yang terkenal tu… yang penuh misteri.”

“Jangan merepeklah, Wafi. Kau kenal aku dulu, baru kau tahu pasal kerja aku.”

Wafi mengekek ketawa. Masa mula-mula dia tahu Red, si penulis kegemaran Dhira tu merupakan kliennya, dia sudah tergelak besar. Tergelak gembira. Tidak sangka akan kebetulan itu dan kebetulan itu memudahkan dia untuk mendapatkan maklumat tentang Red, termasuklah pas masuk ke majlis lelaki itu.

Dengan ini, terjawablah misteri bagaimana Wafi dengan mudahnya mendapatkan pas masuk itu. Namun, hal ini dirahsiakan. Sedikit pun Wafi tidak buka mulut pada Dhira mahupun Zafran. Bila Dhira bercerita tentang Red, bercerita tentang kekaguman gadis itu terhadap karya-karya Red, Wafi hanya mampu tersenyum dalam hati. Dia cukup kenal dengan penulis misteri itu.

“Hypernya kau malam-malam ni. Aku dah nak tidur dah.”

“Tidur? Awal lagi ni. Baru pukul 8 malam. Kau biar betul Ed?”

“Aku letihlah. Lagipun aku kat Kundasang ni. Pukul 8 kat sini dah macam pukul 10 dah.”

“Oh… bercuti ke? Tahulah baru launch novel baru…”

“Kenapa kau call? Any good news?” tanya Ed.

“Check email kau. Aku dah email semua maklumat yang kau nak. Pasal famili dia pun aku ada bagi.”

“Aku tak suruh pun kau siasat pasal famili dia.”

“Anggap je itu info tambahan. Mana tahu berguna untuk kau.”

“Thanks Wafi. Pantas juga kau buat kerja. Aku bagi kau gambar dan nama je. Gambar lama pula tu. Macam mana kau boleh dapatkan maklumat pasal dia?” tanya Ed, mempersoalkan kepakaran Wafi.

“Kalau identiti Mr. Red pun aku boleh bongkar, inikan pula mencari orang. Ini Wafilah. Kau jangan persoalkan kebolehan aku. Even orang atasan pun cari aku! Kes kau ni kes simple je. Tak susah mana pun.”

Ceh!

Terlepas tawa kecil dari bibir Ed.

“Aku rasa aku nak interview kau lah.”

“Nak jadikan aku watak dalam novel kau?”

“Maybe.”

“Set the date. Schedule aku penuh. Aku takut aku tak ada masa untuk kau.”

“Poyo! Okeylah. Thank you.”

Talian dimatikan. Hilang terus kantuk Ed lepas dapat panggilan daripada Wafi. Ed turun dari katil. Cermin mata dicapai dan dipakai. Jarang Ed pakai cermin mata. Dia hanya pakai sewaktu sedang menghadap komputer riba sahaja.

Komputer riba dikeluarkan dan dia mula membuka emelnya. Lelaki itu mula tenggelam dalam lautan maklumat yang diberikan kepadanya. Lama Ed menganalisis maklumat yang dia terima.

“Kaysa Adara binti Khairul Anuar,” ucap Ed perlahan, membaca nama yang tertera di bawah gambar seorang gadis.

Ed ketap bibir.

Bukan ni gadis yang dia elak tadi ke? Soal Ed dalam hati.


Maklumat yang Ed terima malam semalam membuatkan lelaki itu susah untuk lelapkan mata. Sudahnya dia berjaga hingga ke Subuh. Usai menunaikan solat, Ed mengambil angin di luar bilik. Duduk di atas bukit, menanti matahari terbit sambil menyaksikan Gunung Kinabalu yang tersergam indah di depan mata.

Namun, keindahan Gunung Kinabalu tidak dapat menenangkan gelora di jiwa Ed. Hati lelaki itu sedang berperang sesama sendiri.

Perlukah dia teruskan niatnya atau batalkan aje? Perlukah dia melawan atau membiarkan aje? Perlukah dia melupakan peristiwa hitam itu? Argh… bukan dia tidak pernah cuba melupakan tragedi itu. Sudah berkali-kali dia cuba. Namun, tragedi itu kerap menganggu tidurnya. Hadir dalam bentuk mimpi.

Sudahnya Ed mula mencari maklumat tentang lelaki yang bertanggungjawab atas tragedi tersebut. Kini, maklumat sudah berada di tangannya. Apa yang perlu dia lakukan dengan maklumat-maklumat itu? Tuntut semula hak arwah ayahnya? Balas dendam?

Oh, Ed… kau bukan seorang yang kejam. Jangan jadi kejam untuk orang macam tu. Sia-sia.

 Keluhan dilepaskan. Tubuhnya dibaringkan ke rumput. Lengan kanannya diletakkan di atas dahi. Mata dipejamkan. Fikirannya cuba dikosongkan. Mindanya sudah letih berfikir sejak malam tadi. Letih mengimbau kenangan lalu juga.

Tiba-tiba dia terasa ada orang memerhatinya. Matanya dicelikkan semula. Ed terkejut! Matanya membesar.

Bersambung....

No comments: