Tuesday, April 12, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 9

Bab 9

Dhira menilik wajahnya di cermin sebelum melangkah keluar dari bilik. Ken dan Auntie Lin sudah pun menunggunya di meja makan. Sarapan sudah siap terhidang. Tersimpul senyuman manis melihat juadah yang terhidang. Sarapan kegemarannya. Pasti Ken yang sediakan.

“Morning!” Ucap Dhira ceria. Laju sahaja langkahnya ke meja makan. “Wah… bestnya kalau hari-hari ada orang sediakan breakfast sebelum I pergi kerja,” kata Dhira seraya menghempaskan punggungnya di sebelah Ken. Hanya mereka bertiga sahaja di rumah itu. Fei Fei sudah pun pulang ke Singapura malam semalam. Dhira dan Ken yang hantar gadis itu ke lapangan terbang.

“Thank you Ken,” tambah Dhira.

Ken tayang sengih. “Memang I selalu prepare breakfast untuk you kan? Tapi masa you duduk dengan kamilah.”

Dhira hanya senyum kecil. Sudu dan garfu dicapai sebelum dia mula menjamah omelette special Ken. Gadis itu gemar betul omelette Ken sebab bahan-bahan yang digunakan lelaki itu sangat menyelerakan. Kena dengan cita rasanya. Bawang besar, mozzarella cheese, chicken ham dan juga cendawan butang. Semuanya dipotong dadu kecuali cendawan butang yang dihiris halus. Mudah je nak buat sebenarnya tapi bila gadis itu buat mesti tak jadi macam Ken. Mungkin sebab dia tak ada skill.

“Lepas Dhira pindah, Ken dah jarang masuk dapur. Susah betul mummy nak rasa masakan dia,” adu Auntie Lin.

“Oh, you dah malas ya.”

“Tak… Bukan malas. Tapi I nak latih Fei Fei. Biar dia rajin masak. Nanti dah kahwin, senang,” bidas Ken, memberi alasan padahal sejak Dhira tiada, mood memasaknya sudah hilang. Lelaki itu mengerling jam dinding di ruang tamu. “Eh, cepatlah makan. Nanti lambat pula you masuk kerja.”

Dhira turut memandang jam. “Relaxlah. Hari ni kan I ada driver. Tak payah nak rush sangat,” kata Dhira bersahaja. “Pukul berapa you balik Singapore?”

“Meeting I tak lama pun. Tapi kami balik malam la kut. Kasi can mummy I lepas rindu pada you.”

“Oh, maknanya… you jemput I dari tempat kerja jugalah?” tanya Dhira sambil tayang wajah comel. Nak tagih simpati.

“Baiklah Cik Dhira. I relakan diri jadi driver you hari ni,” balas Ken dengan nada yang agak lucu. “Oh ya, you tak nak beli kereta ke?”

Dhira berfikir seketika. “Nanti dululah. Buat masa sekarang ni, I selesa je guna public transport. Lebih senang. Tak payah nak hadap jem, cari parking.”

“Tapi you kan selalu keluar… jumpa klien, monitor projek, cari barang. Kan senang kalau you ada kereta. Senang nak bergerak.”

“Betul tu Dhira. Kalau Dhira tak kisah, mummy boleh uruskan,” cadang Auntie Lin, bersetuju dengan pendapat anaknya.

Dhira ukir senyum nipis. Air kopi yang masih panas diteguk berhati-hati. “Terima kasih mummy. Tapi Dhira lebih selesa guna public transport sekarang ni. Nanti kalau Dhira terasa nak guna kereta, barulah Dhira beli.” 

“Hmm, ikut suka you lah Dhira. Jangan kata abang tak payung,” gurau Ken.

Dhira terkesima. Matanya terhala ke arah Ken. “Wow! Siapa ajar you ayat tu?” tanya Dhira dengan nada terkejut.

Ken melepaskan tawa. “Bakal adik ipar I lah. Rezza.”

Auntie Lin dan Dhira ikut ketawa. “Sejak bila pula you rapat dengan Rezza?” Nada suara Dhira sedikit sinis memandangkan selama ini Ken selalu memberi alasan apabila diajak bertemu Rezza.

“Sejak dia bakal jadi suami adik I. I kenalah pastikan dia betul-betul layak untuk adik I. Betul-betul sayangkan Fei Fei. Boleh jaga Fei Fei sampai tua,” jelas Ken dengan nada yang bersahaja.

Hati Dhira tersentuh mendengar bicara Ken. Jelas lelaki itu benar-benar sayangkan Fei Fei. Cemburu pula dia dengan Fei Fei.

“Jangan risau. I akan buat benda yang sama pada you.” Ken lemparkan senyuman kepada Dhira. “Jomlah. Nanti you lambat pulak.”

Dhira balas senyuman Ken. Sekali lagi dia tersentuh. Kali ini dia tersentuh kerana Ken benar-benar melayannya seperti seorang abang walaupun mereka tiada pertalian darah. Sungguh, gadis itu bersyukur kerana Allah temukan dia dengan keluarga Auntie Lin. Meskipun berlainan bangsa dan agama, dirinya dilayan dengan baik. Seperti ahli keluargan sendiri.

“Apa Ken cakap tadi?” soal Auntie Lin bersama dahi yang sedikit berkerut. “Jangan kata abang tak payung? Maksudnya apa? Mummy tak faham! Peribahasa ke tu?”

Terhambur gelak Ken dan Dhira.

“Mummy tak payah fahamlah. Peribahasa moden,” balas Dhira bersama sisa tawa.

Auntie Lin menggelengkan kepalanya. Perlahan. “Hmm, budak-budak zaman sekarang,” keluh Auntie Lin. “Macam-macam…”

Dhira mencapai sehelai tisu lalu mengelap bibirnya dengan penuh berhati-hati. “Okaylah mummy. Dhira pergi kerja dulu.” Mata Dhira dihalakan ke arah Ken. “Jom.”

“Take care mummy. Tak payah kemas rumah Dhira ni. Nanti Dhira kemas.” Sempat gadis itu berpesan kepada Auntie Lin sebelum melangkah keluar dari rumah. Gadis itu melangkah seiring dengan Ken menuju ke lif.

“Nanti Dhira kemas konon! Entah bila lah you nak kemas,” perli Ken bersama gelakkan sinis.

Sebuah jelingan dihadiakan kepada Ken. Geram. Senyuman masih lagi tersungging di bibir Ken. Lelaki itu menumpukan pandangannya ke arah Dhira sementara menunggu lif.

“Dhira…,” panggil Ken perlahan.

Dhira kalih ke sisi.

“Selendang you tak betullah,” beritahu Ken dan kemudian dengan selamba, lelaki itu membetulkan selendang Dhira.

Dhira membiarkan sahaja tindakan Ken. Sudah terbiasa dengan sikap prihatin dan perfectionist lelaki itu. Dalam waktu yang sama, pintu lif terbuka dan ada mata yang sedang menyaksikan babak lima saat mereka.

Ken dan Dhira melangkah masuk ke dalam lif yang hampir penuh. Sedikit pun tidak perasan Zafran turut berada di dalam lif tersebut. Adegan tadi menimbulkan tanda tanya di hati Zafran. Lelaki itu dihambat rasa ingin tahu tentang hubungan Dhira dan lelaki itu. Adakah lelaki itu suami Dhira? Sudah berkahwinkah gadis itu? Zafran mula dihantui rasa yang kurang enak. Cemburu barangkali. Cemburu kerana Dhira bisa menerima lelaki itu tetapi tidak dirinya.



“Dhira… klien you nak jumpa. I dah suruh dia tunggu dekat lounge,” beritahu Pei Wen sewaktu Dhira yang baru keluar dari bilik air, melalui tempat Pei Wen.

“Klien? Lelaki atau perempuan?” tanya Dhira sedikit pelik. Setahunya, dia tidak ada apa-apa janji temu dengan klien hari ini.

“Lelaki. Encik Zafran.”

Mata Dhira sedikit membesar. Zafran? Oh, lelaki itu sudah balik dari Langkawi. “Thanks Pei Wen,” ucap Dhira sebelum berlalu dari situ. Dhira segera ke tempatnya. Beberapa katalog dan sebuah fail dicapai lalu dibawa ke ruang yang disediakan khas untuk perbincangan dengan klien.

“Morning, Encik Zafran. Kenapa tak beritahu you nak datang?” tanya Dhira seraya melangkah mendekati Zafran. Nada suaranya datar sahaja. Punggung dilabuhkan di hadapan lelaki itu.

“I ganggu you ke?”

Segera Dhira menggelengkan kepalanya. “Tak adalah. Tapi kalau I tak ada kat ofis, macam mana? Sia-sia je Encik Zafran datang.” Terukir senyuman nipis di wajah Dhira.

“I ada urusan kat area ni. So, I singgah kejap,” ucap Zafran. “Hmm, macam mana progress?”

“Progress?” Gadis itu berfikir seketika. “Oh… design concept dah settle dan Encik Asyraf pun dah pilih furniture yang dia nak. Tapi dia nak Encik Zafran pilihkan fabric untuk dia.” Dhira membuka katalog-katalog yang dibawanya. “Ini sample fabric yang I ada. Tapi sebelum tu, I brief dulu perabot-perabot yang Encik Asyraf pilih.”

Dhira mula memberi penerangan dan Zafran mendengar dengan teliti. Sesekali lelaki itu mencuri pandang ke arah Dhira. Sedikit pun Dhira tidak menyedari tindakan Zafran. Terlalu fokus pada penerangannya. Selesai memberi penerangan, Zafran mula memilih fabrik yang sesuai dengan cita rasa kakaknya.

“Macam mana dengan lighting?” tanya Zafran setelah urusan memilik fabrik selesai.

“Itu pun I dah uruskan Encik Asyraf. Basically, sekarang ni pihak kami dah uruskan flooring, painting and lighting. Lepas ni I akan order furniture dan dalam masa yang sama kami akan start dengan kabinet dapur,” terang Dhira. “Insya-Allah, sebelum Encik Asyraf pulang ke Malaysia, semuanya dah selesai,” tambah gadis itu, memberi jaminan.

Kepala Zafran dianggukan perlahan. “Oh, I ada benda nak minta tolong you.”

“Tolong apa Encik Zafran?” Kening Dhira ternaik sedikit.

“I ada tempah lukisan. Lukisan wedding kakak I dengan Asyraf. I nak gantung lukisan tu dekat bilik tidur dia orang. Boleh tak you arrangekan?”

“Boleh Encik Zafran. Tak ada masalah.”

Zafran mengeluarkan walletnya lalu menarik keluar sekeping resit. “I tak ambil lagi lukisan itu. Nanti bila everything dah hampir siap and you dah mula nak finalise, you boleh collect lukisan tu,” ujar Zafran. Resit di tangan diserahkan kepada Dhira.

“I dah habis bayar. So you hanya perlu ambil sahaja. Nama pelukis tu Pak Cik Aziz. Alamat studio dia ada dekat resit tu.”

Dhira membaca sekali lalu resit di tangannya. Kemudian, resit tersebut diklip bersama-sama dokumen di dalam fail.

“Rahsiakan hal ni daripada Asyraf. I nak surprisekan dia orang.”

Kepala Dhira dianggukkan tanda faham. “Baiklah Encik Zafran. Anything else?”

“Nope,” balas Zafran bersama gelenggan. Lelaki itu membetulkan duduk. “Well, I guess lepas ni kita dah tak apa-apa urusan bersama. Any problems with the project, you boleh berhubung terus dengan Asyraf. Thanks for your patience.”

Dhira sedikit tersentak. Patience? Apa maksud Zafran? Gadis itu membersihkan tekaknya. “Hmm, I don’t think so. I still kena pulangkan kunci pada Encik Zafran selepas semuanya selesai.”

“Oh… don’t bother about that. You boleh suruh sesiapa hantar kunci tu pada receptionist I,” balas Zafran bersahaja.

Wajah Dhira sedikit berubah. Cepat-cepat ditundukkan wajahnya itu. Tidak mahu disedari oleh Zafran. Entah kenapa ada rasa kecewa apabila Zafran seperti tidak mahu bertemu dengannya lagi. Dhira cuba mengawal perasaannya. Matanya dihalakan semula ke arah Zafran. “Okay then. Thanks for your patience too,” balas Dhira bersama senyuman yang penuh kepura-puraan.



Berkepul-kepul asap keluar dari mulut kedua-dua orang lelaki yang sedang menghisap rokok di satu kawasan yang terbuka. Masing-masing baru sahaja makan di restoran yang tidak jauh dari situ. Zafran menghembuskan asap rokok ke udara. Matanya mengerling ke arah Haris yang diam tidak bersuara.

“Bukan kau dah stop smoking ke? Kenapa tiba-tiba ajak aku merokok?” tanya Zafran bersahaja.

“Mengamuklah bini kau kalau tahu kau merokok balik,” tambah Zafran apabila tidak menerima sebarang respon daripada Haris.

Haris senyum segaris. “Kau janganlah bagitahu dia. Aku sorok-sorok daripada dia.”

Zafran tergelak kecil. Puntung rokok dicampakkan ke dalam tong sampah yang berhampiran.

“Relaxlah dulu bro. Awal lagi ni,” tegah Haris apabila Zafran sudah berura-ura nak masuk ke dalam firma.

“Kau kenapa? Gaduh dengan Liza ke?” Zafran menebak.

Pandangan Haris dihalakan ke arah Zafran. Rokok yang tinggal separuh dihisap dalam lalu dihembus perlahan. “Aku bawa famili aku pergi PD Sabtu lepas.” Haris memulakan ceritanya.
Zafran mendiamkan diri. Menanti bicara yang seterusnya.

“Aku jumpa Dhira dengan seorang lelaki.”

Zafran sedikit terpempan. Tidak semena-mena dia teringatkan lelaki pagi tadi. Lelaki yang dia nampak bersama-sama dengan Dhira di pintu lif. Menyedari mata Haris dihalakan ke arahnya, Zafran cepat-cepat kawal riak muka.

“Dia panggil aku. Dia masih panggil aku abang long.” Haris berjeda. “Tapi aku cakap kat dia aku bukan abang dia. Aku tak ada adik perempuan.”

“Sampai bila kau nak marahkan dia, Ris?” tanya Zafran bersama helaan nafas yang berat.

Haris diam. Puntung rokok dicampak ke tong sampah.

“Ayah dengan ibu kau pun masih marahkan dia ke?”

Haris jungkit bahu. Tanda tidak tahu. “Aku masih tak boleh maafkan dia, Zaf.”

“Kenapa?”

Haris pandang Zafran. Lengan lelaki itu ditarik lalu lengan baju lelaki itu ditarik sehingga ke siku. “Sebab ni. Aku masih tak boleh lupa apa yang dia dah buat kat kau. Aku tak sangka dia tergamak buat kau macam ni, Zaf. Aku betul-betul tak sangka.”

Zafran segera menarik lengannya dari pegangan Haris. Lengan bajunya diturunkan semula. “Aku minta maaf. Sebab aku, keluarga kau berpecah belah.”

“Tak… kau tak perlu minta maaf. Kau tak salah pun. Kami yang patut minta maaf dengan kau, Zaf. Aku rasa ayah aku pun tak boleh nak lupa apa yang perempuan tu buat kat kau.”

 “Cubalah kau faham situasi dia. Dia tak ada niat pun nak cederakan aku malam tu.” Zafran menyandarkan tubuhnya ke belakang. “Lagipun, salah aku juga. Aku tahu dia tak cintakan aku. Tapi aku tetap nak teruskan perkahwinan tu. Then, boyfriend dia accident masa nak pergi wedding kami. Bukan mudah dia nak hadap semua tu dalam usia yang muda, Ris. Sudahlah terpaksa kahwin dengan aku. Kadang aku rasa bersalah sebab teruskan perkahwinan tu. Kalaulah aku dengar rayuan Dhira masa tu…”

Sentuhan di bahu Zafran mematikan bicara lelaki itu. “Kau setuju kahwin dengan adik aku, bukan sebab ayah aku yang suruh kan? Kau sukakan dia kan?”

Zafran terdiam. Wajah Haris tidak dipandang. “Kenapa ayah kau tak suka Anas?” Zafran mengajukan soalan yang sudah lama bermain di mindanya. Soalan Haris dibiarkan sepi.

“Sebab dia budak motor kut… yang merayau malam-malam buta tanpa hala tuju,” jawab Haris tidak pasti. “Entahlah. Aku pun tak tahu. Tapi aku pun tak suka budak tu. Aku lebih suka Dhira dengan kau.”

“Kenapa?”

Haris senyum nipis. Bahunya dijungkitkan. “Mungkin sebab aku suka kau.”

“Zaf…,” panggil Haris perlahan. Pandangannya dihalakan ke arah Zafran. “Dah alang-alang kita cakap pasal hal ni kan… aku nak tanya something.”

“Tanya apa?”

“Kenapa kau tak kahwin lagi? Kau masih tak boleh lupakan Dhira ke?” Haris bertanya selamba.

Rambut Zafran disebak ke belakang. Bibirnya menguntum senyum. “Aku tak jumpa jodoh lagi lah. Aku tak jumpa perempuan yang boleh buat aku rasa she’s the one,” balas Zafran dengan nada lucu. Ingin menutup perasaannya yang sebenar.

Terlepas gelakan kecil dari bibir Haris. “She’s the one, yeah… Hmm, Jannah tu tak boleh dikategorikan dalam she’s the one ke?” usik Haris siap dengan gaya tangan. “Aku rasa Jannah tu ada hati dengan kau.”

Zafran gelak santai. “Merepeklah kau ni. Aku anggap dia macam adik aku jelah wei. Mak dia pun aku dah anggap macam mak aku.” Zafran bangkit dari duduknya. “Sudahlah bro. Lunch hour pun dah habis. Aku masuk ofis dulu.”

Tanpa menghiraukan Haris, Zafran mengatur langkah perlahan menuju ke firmanya. Zafran terkenangkan pertemuannya dengan Dhira di ofis gadis itu dan juga lelaki bersama Dhira pagi tadi. Sudahlah Zaf. Lupakanlah dia. Dia dah ada hidup dia sendiri. Dia pun nampak happy bila kau cakap kau dah tak ada apa-apa urusan dengan dia lepas ni. Lelaki itu cuba menenangkan gelora di hatinya. Hati yang pedih cuba dirawat sendiri. Sedar siapa dirinya di mata gadis itu.

Sudah banyak kali dia nasihatkan diri sendiri untuk lupakan Dhira. Sudah banyak kali dia paksa diri untuk buang rasa cintanya pada gadis itu. Namun, entah kenapa, sukar untuk dia berbuat demikian. Akhirnya, Zafran memilih untuk serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Tuhan yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya, DIA lebih tahu sesuatu sedangkan dia tidak.



Nota daripada Cik Penulis:

1.      Ini merupakan bab terakhir yang akan saya post kat blog. Ya, pada awalnya saya plan nak post sampai bab 10 tapi saya rasa bab 9 lebih perfect. Kononnya nak relate dgn tajuk novel 1 Pengakuan 9 Luahan. Tapi… tengokla. Kalau Cik Penulis baik hati, Cik Penulis akan up lagi dua bab bonus. Fefeeling drama DOTS yg ada 3 ep bonus tu. Tapi Cik Penulis tak boleh la bagi 3 bab bonus. Hehe. Doakanlah Cik Penulis ni rajin nak bagi bab bonus yer.

Kejap? Adakah saya kejam? Ampun! Hehe.

2.      Novel 1 Pengakuan 9 Luahan merupakan terbitan istimewa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan diadakan di MAEPS Serdang pada 29 April – 9 May 2016. Awak semua tak akan jumpa di bookstore atau oder secara on9 dengan Karyaseni. Kena tunggu beberapa bulan lagi untuk beli di bookstore atau oder on9 dgn KS.

TAPI… jangan risau. Saya akan amek order. Dan opkos ada TT sy yg x berapa nak kreatif dan cantik itu. Buat masa ni, sy tak tahu harga novel sy lagi. So sy x ley nak amek pre-order. Dan… sy bgtau awal2. Saya akan pos selepas pesta buku tamat. Bagi sy masa utk amek stok. Hehe.

3.      Terima kasih kepada semua pembaca 1 Pengakuan 9 Luahan, kepada commenters, kepada silent readers, kepada pembaca setia karya saya. I love u so much. Sangat sangat hargai anda semua.

4.      Saya kurang aktif d blog tetapi tersangat aktif di IG dan FB. Follow ig sy @azura_rasiddin. IG shop sy @sheskinz_kl.zuera. Saya jual Sheskinz. FB sy dah limit. Hehe. 





No comments: