Sunday, April 10, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 7

Bab 7

Keluar sahaja dari perut komuter, Dhira terus mengorak langkah laju menuju ke ofisnya. Gadis itu kelihatan kelam-kabut. Mana taknya… dia sudah terlewat hampir satu jam. Salah sendiri. Konon tak boleh solat, dia lajaklah tidur. Sekali terlajak sampai jam lapan setengah.

Tiba sahaja di ofis, gadis itu terus menuju ke tempatnya. Beg galas dicampakkan ke atas meja sebelum dia menghempaskan punggungnya ke kerusi. Dadanya turun naik dek kerana keletihan. Laju sangat berjalan. Nafas gadis itu tidak teratur.

“You ni baru lepas berlari ke?” tanya Mandy. “Tulah… siapa suruh lambat.”

“Terlambat bangunlah. Joyce dah masuk tak?”

Gelengan Mandy melegakan Dhira. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan-lahan. Peluh di dahi dilap dengan tisu muka.

“Dhira… Encik Zafran, line two,” jerit Pei Wen dari tempatnya yang tidak jauh dari Dhira.
Zafran? Buat apa dia call aku pagi-pagi ni? Gadis itu cemas tiba-tiba. Lambat-lambat, dia menjawab panggilan daripada lelaki itu.

“Morning, Encik Zafran,” ucap Dhira lembut.

“Morning. I call your phone tapi you tak jawab,” beritahu Zafran dengan nada mendatar.

Dhira ketap bibir perlahan. “Oh… sorry. I tak perasan kut.” Mana nak perasan kalau dia tengah kalut tadi.  “Ada apa Encik Zafran call I?”

“I dah tunjuk design you pada abang ipar I and dia ada bagi komen sikit. You boleh jumpa I tak hari ni? Flight I pukul 5 petang.”

Dhira berfikir seketika. Mengatur jadualnya hari ini.

“Lagipun I nak bagi you kunci rumah abang ipar I before I ke Langkawi. You free tak?” Zafran menyoal lagi.

“Pukul berapa tu Encik Zafran?”

“Terpulang pada you. I ada kat ofis je hari ni. Tak keluar pergi mana-mana,” balas Zafran. Masih dengan nada yang sama. “Oh, kalau you tak nak terserempak dengan Haris, you boleh datang before lunch. Sebab Haris masuk ofis after lunch.”

Dhira sedikit tersentak apabila Zafran tiba-tiba sebut nama abangnya. Dia tak ada cakap apa-apa pun pasal Haris. Namun, mujur juga Zafran memberitahunya. Sekurang-kurangnya, dia tak akan terserempak dengan Haris. Gadis itu tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku jika dia bertemu dengan Haris di ofis lelaki itu. Adakah Haris akan memarahinya seperti dahulu atau sebaliknya? Adakah abangnya akan gembira dengan pertemuan itu?

Dhira menghelakan nafas berat. “Okay, Encik Zafran. Nanti I singgah ofis you.”

Tubuh disandarkan ke belakang sebaik sahaja menamatkan perbualan dengan Zafran. Matanya terus dihalakan ke arah jam di pergelangan tangan. “Mandy… I nak keluar kejap. Jumpa klien,” beritahu Dhira. Beg galas yang masih berada di atas meja dicapai.

Mandy menoleh ke arah Dhira. “Kesiannya. Tak sampai lima minit masuk ofis, dah nak keluar,” komen Mandy, ingin mengusik Dhira.

“Tulah… selamat ofis klien I tu dekat tau.”

Mandy hanya tertawa kecil.

Tanpa membuang masa, Dhira mengatur langkah menuju ke stesen komuter semula. Kali ini langkahnya lebih santai. Tidak tergesa-gesa. Telefon pintar dikeluarkan dari beg galas. Ingin memeriksa telefon pintarnya. Tiga missed calls daripada Zafran. Timbul rasa kesal di hati Dhira. Kalaulah dia jawab panggilan telefon Zafran, sudah tentu dia akan terus ke ofis lelaki itu. Tidak perlu tergesa-gesa masuk ofis. Sekurang-kurangnya, dia ada alasan kerana masuk lewat. Kenapalah dia tak dengar lelaki itu menghubunginya tadi?

Dhira menjejakkan kaki ke firma guaman Zafran. Kali ini kehadirannya disambut oleh seorang gadis muda yang duduk di meja peyambut tetamu. Senyuman diberikan kepada gadis itu.

“Saya nak jumpa Encik Zafran,” beritahu Dhira dengan nada yang lembut.

“Boleh saya tahu nama cik?” balas gadis muda itu seraya membalas senyuman Dhira.

“Dhira, interior designer.”

Gadis muda itu mengangguk kecil. “Encik Zafran ada teleconference meeting sekarang ni tapi dia suruh cik tunggu dia kat dalam.”

“Oh… dah lama?”

“Baru jugaklah. Mari Cik Dhira… Saya tunjukkan bilik Encik Zafran.”

“Tak apalah, saya tunggu kat sini je.”

Segera gadis muda itu menggelengkan kepalanya. “Encik Zafran suruh cik tunggu kat dalam. Nanti dia marah saya pulak.”

Kenapa nak aku tunggu kat dalam pulak? Timbul rasa tidak puas hati. Pun begitu, kakinya tetap melangkah mengekori gadis muda tadi. Mata Dhira meliar memandang sekeliling. Langkahnya terhenti apabila matanya terpandangkan nama yang tentera di pintu bilik kaca.

Muhammad Haris bin Idris. Legal Associates.

Dhira tersenyum dalam hati. Bak kata orang dulu-dulu, tak nampak tuan, nampak bumbung rumah pun jadilah. Dalam kes Dhira pula, nampak bilik pun jadilah. Bilik yang gelap tidak berlampu, menandakan ketiadaaan tuannya. Terselit rasa bangga dalam diri Dhira dengan pencapaian abang longnya. Masih segar di ingatan Dhira keluhan demi keluhan yang diluahkan Haris kepadanya tentang masalah pelajaran lelaki itu. Tak sangka abang long yang banyak kali ulang peperiksaan sudah berjaya tamatkan pembelajarannya. Tahniah, abang long.

Dhira kembali melangkah ke bilik Zafran. Tiba di bilik lelaki itu, Dhira mengucapkan terima kasih kepada gadis muda yang membawanya ke situ. Sempat mereka berbalas senyuman.  Pintu bilik Zafran diketuk perlahan.

Zafran yang sedang tekun menghadap skrin komputer, menoleh ke arah Dhira lalu mengarahkan Dhira masuk melalui isyarat tangan. Sebaik sahaja Dhira melangkah masuk ke dalam, dia terdengar suara orang sedang berbincang sementelah Zafran memasang pembesar suara. Gadis itu mula kekok. Terasa dirinya telah menganggu Zafran yang sedang bermesyuarat melalui talian telefon. Dia masih lagi berdiri walaupun Zafran sudah mempelawanya duduk.

“I tunggu you kat luar,” ucap Dhira tanpa suara sewaktu sepasang mata Zafran bertemu dengannya. Hanya bibir dan tangan yang bergerak.

Kepala Zafran digelengkan. Sekali lagi dia menyuruh Dhira duduk di depannya. Namun, Dhira masih tidak berganjak. Masih tegak berdiri. Gadis itu kelihatan teragak-agak. Kekok pula nak duduk depan Zafran. Menghadap lelaki itu.

Zafran bangkit dari duduknya apabila Dhira masih lagi berdiri. Kerusi di hadapannya ditarik lalu dia mengarahkan Dhira untuk duduk. Riak wajah Zafran yang kelihatan serius membuatkan Dhira mengalah. Gadis itu melabuhkan punggungnya.

“Zafran, are you listening?”

“Yes, Mr. Nakatani,” balas Zafran, kembali ke kerusinya.

“Our secretary enquired, whether to delete or to retain the highlighted area in Article 68 Clause 3.”

Zafran membetulkan duduk sebelum membelek kertas di atas mejanya. “Since this line is in the current JVA (Joint Venture Agreement) and not amended by the supplemental JVA, we opine to retain this line. The clause is still in force, Mr. Nakatani.”

Mata Dhira melilau ke kiri dan ke kanan. Memerhatikan keadaan bilik Zafran. Janggal. Tak tahu nak buat apa. Takkanlah dia nak dengar perbualan Zafran yang sedikit pun dia tidak faham. Gadis itu mengeluh dalam hati. Entah bila perbincangan itu akan tamat.

Masa terus berlalu dan perbincangan Zafran masih belum tamat. Dhira mula rasa bosan. Sudah puas matanya memerhati segenap ruang bilik Zafran. Pandangan matanya dihalakan ke arah Zafran yang sedang mencatat sesuatu. Lelaki itu kelihatan tekun dengan kerjanya. Membuatkan Dhira terleka memerhati. Sesekali lelaki itu membelek fail dan sesekali juga lelaki itu menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Dhira tersentak apabila mata Zafran bertemu dengan matanya. Alamak, kantoi! Cepat-cepat Dhira melarikan pandangan ke arah lain. Jantung mula berdegup tidak menentu. Cemas tiba-tiba apabila perbuatan curi-curinya disedari oleh Zafran.

Hisy, yang dia tenung aku, kenapa? Buatlah kerja. Beleklah fail tu. Tulislah apa yang patut, rungut Dhira dalam hati apabila Zafran masih merenungnya. Ha, padan muka kau Dhira. Tadi, bukan main lagi kau tenung dia. Sekarang, giliran dia pula.

Perbincangan Zafran tamat tidak lama kemudian. Dhira mula berasa lega. Dia memberanikan diri memandang Zafran. “Sorry, ganggu Encik Zafran. Kalau I tahu Encik Zafran ada meeting, I datang lambat sikit,” ucap Dhira walaupun dia tahu bukan salah dia.

Sepi. Pandangan Zafran masih terhala ke arahnya tetapi tiada bicara yang keluar dari bibir lelaki itu.

Dhira kembali rasa tidak selesa. Renungan Zafran membuatkan gadis itu berdebar.

“Kenapa Encik Zafran pandang I macam tu?” soal Dhira, berani.

Zafran tidak beriak. Lama kemudian, dia bersuara. “Kenapa you pandang I tadi?”

Soalan berbalas soalan. Soalan Dhira sebentar tadi menjerat dirinya semula. Gatal sangat mulut tu bertanya, kan dah kena balik. Dhira cuba berlagak tenang. “Dah I tak tahu nak buat apa, I pandang jelah. Salah ke?” Selamba sahaja gadis itu membidas padahal dalam hati hanya Tuhan yang tahu.

Bicara Dhira membuatkan Zafran mengukirkan senyuman tetapi lelaki itu cepat-cepat sembunyikan senyumannya apabila pandangan Dhira terhala ke arahnya. Tak salah, jawab Zafran dalam hati.

 “I minta maaf. I tak expect pun meeting tu. Klien tiba-tiba invite I untuk join meeting tu sebab dia orang perlukan khidmat I.” Zafran membetulkan duduk agar lebih selesa. “Give me five minutes. I nak reply email sekejap.”

Dhira menganggukkan kepalanya. Zafran menghalakan padangan ke arah komputer. Kemudian, laju sahaja tangannya menekan papan kekunci, membalas emel yang diterimanya.

“Okay, done!” ucap Zafran sebaik sahaja menekan butang ‘Send’. Tumpuannya dihalakan semula ke arah Dhira. “Ini kunci rumah Asyraf. You boleh proceed dengan flooring and painting since Asyraf setuju dengan idea you. I trust you. Jaga rumah elok-elok.”

Dhira mengambil kunci rumah yang dihulurkan oleh Zafran. “Thank you. Insya-Allah I akan jaga rumah kakak Encik Zafran dengan baik.”

“Dan pasal design you, basically Asyraf okay dengan design you cuma dia nak you ubah bahagian dapur. Dapur tu umpama syurga bagi kakak I. She loves cooking, baking… So, bahagian dapur tu memang penting. Kalau boleh abang ipar I nak ada island.”

Dhira mengangguk faham. “Okay, I akan ubah suai bahagian dapur. Konsep masih sama macam dulu? Atau nak tukar?”

“Masih sama macam dulu. Lepas you amend, you boleh berurusan terus dengan Asyraf. I akan text you email adresss and contact number dia. I harap lepas I balik dari Langkawi, design concept ni dah settle dan kita boleh discuss pasal furniture and fabric pula.”

Dhira menganggukkan kepalanya. “Baiklah Encik Zafran. Anything else?”

Kepala Zafran digelengkan.

“I minta diri dulu. Have a safe trip,” tutur Dhira seraya melemparkan senyuman kepada Zafran.

Zafran membalas senyuman Dhira. Mereka berdua mula rasa selesa berurusan. Mungkin kerana masing-masing berlagak seperti tiada apa yang pernah berlaku antara mereka. Langsung tidak bangkitkan kisah lama.

Dhira bangun dari duduknya dan mula melangkah pergi. Sekali lagi Dhira melewati bilik abangnya. Gadis itu hanya memandang kosong ke arah bilik yang masih gelap itu.

“Dhira…”

Dhira sedikit tersentak apabila namanya dipanggil seseorang. Langkahnya terhenti. Terus wajahnya ditoleh ke arah suara yang memanggilnya. Liur ditelan. Masing-masing terkejut.



Tengahari itu, Zafran membawa Jannah ke sebuah restoran yang berdekatan firmanya untuk menjamu selera. Jannah mengelap bibirnya dengan tisu sebelum menyedut minuman berperisa Green Tea. Pinggannya sudah pun licin. Tubuhnya disandarkan ke belakang. Zafran ditenung dengan perasaan yang berbaur.

“Jannah terserempak dengan Dhira dekat ofis abang tadi,” tutur Jannah perlahan. Sekaligus memecahkan tembok kesunyian. Mata gadis itu masih terlekat pada wajah Zafran yang kelihatan tenang menghabiskan makanannya.

“Dia buat apa kat sana?” soal Jannah sementelah tiada respon yang diberikan oleh Zafran.

Zafran menyuap potongan ikan yang terakhir ke dalam mulutnya. “Jumpa abang,” balas Zafran tanpa nada.

Sepi. Minda Jannah mula diserang pelbagai persoalan.

Zafran menghalakan pandangan ke arah Jannah. Bibir dilap. Kemudian, dia menyambung bicaranya. “Asyraf upah designer untuk hias rumah dia.”

“Dan Dhira designer rumah Abang Asyraf?” tanya Jannah dengan nada tidak percaya. “Bukan ke dia ambil nursing dulu?”

Bahu Zafran dijungkitkan sedikit. “Dah tukar profession.”

“Kak Lila tahu pasal hal ni?”

Zafran menggelengkan kepalanya sebelum menyedut Iced Cappuccino yang dipesannya.

“Kak Lila tak kisah ke?”

“Entah. Dia tak tahu pun Asyraf upah orang untuk hias rumah dia orang. Asyraf nak surprisekan Kak Lila.”

“Abang Haris tahu pasal hal ni?”

Zafran menggeleng lagi.

Jannah membuang pandang. Gadis itu merenung ke luar tingkap dengan perasaan yang tidak enak. Bimbang. Risau.

“Mak sihat?” Zafran menyoal. Tidak mahu Jannah mengajukan soalan berkaitan Dhira lagi.

“Mak sihat. Cuma dia ada tanya pasal abang. Dah lama abang tak jenguk dia. Bila abang nak balik Melaka?”

“Dah lama jugak abang tak balik sana. Mungkin lepas abang balik dari Langkawi, abang akan balik. Jannah nak ikut sekali ke?” pelawa Zafran. Lelaki itu sudah biasa pulang ke Melaka bersama Jannah.

Laju Jannah menganggukkan kepalanya. Pelawaan Zafran menghilangkan sedikit kerunsingan di hatinya. Lelaki itu masih tidak melupakan dirinya.





2 comments:

Mas said...

Best 3x

Azure said...

Tqvm Zuera. Jannah tu gfbaru Zafran?
Hope Dira & Zafran will tie a knot again