Friday, April 8, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 5

Bab 5

Suasana di ofis sedikit sunyi pagi itu sementelah ramai yang keluar untuk bertemu dengan klien masing-masing. Di satu ruang kubikel, seorang gadis kelihatan berkhayal sambil bermain-main dengan pensel di tangan. Matanya terhala di skrin komputer tetapi minda sudah melayang entah ke mana. Ada sesuatu yang menggangu fikirannya.

Deringan telefon mematikan khayalan gadis itu. Segera dia menjawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggil. Suara seorang lelaki di hujung talian membuatkan gadis itu terdiam seketika. Entah kenapa, dia diburu rasa cemas.

“Hello, Cik Dhira… you dengar tak?” tanya si pemanggil apabila tidak menerima sebarang respon daripada Dhira.

“Ya, Encik Zafran. Ada apa-apa yang boleh I bantu?” balas Dhira perlahan. Bibir diketap. Kepalanya ditundukkan sedikit.

“Dah nak dekat seminggu… tapi I tak ada dengar berita daripada you pasal pelan rumah. Bila I boleh tengok design tu?” Nada suara Zafran mendatar. Namun, terselit ketegasan.

Dhira menelan liur, membasahkan tekak yang terasa kering. “I’m working on it, Encik Zafran. By this week…”

“Esok you boleh tunjuk dekat I?” potong Zafran sebelum sempat Dhira menghabiskan ayatnya.

Esok? Mati! Dhira bertambah cemas. Apa yang perlu dia jawab? Matanya sudah melilau ke kiri dan kanan, cuba mencari jawapan.

“Lusa I pergi conference dekat Langkawi for a week. So I rasa esok saja masa yang you ada untuk tunjukkan pada I design you, Cik Dhira.”

Hah? Masalah! Nafas ditarik dan dihela perlahan. “Pukul berapa?”

“10 pagi dekat ofis I. I akan text you alamat.”

10 pagi? Awalnya… “Okay then. 10 pagi dekat ofis you.” Dalam keterpaksaan, Dhira memberikan persetujuan.

Terlepas keluhan berat dari bibir Dhira sebaik sahaja dia mematikan talian. Kepalanya terus dihantukkan perlahan-lahan ke atas meja. Dhira, kau dah menempah maut. Pukul 10 pagi. Apa yang kau nak tunjuk kat dia?

Dhira berhenti menghantukkan kepalanya. Tangan mula melekap di dada. Kenapa aku cemas bila dengar suara dia? Tiba-tiba soalan itu muncul di minda gadis itu. Sekali lagi dia mengeluh. Satu ketika dahulu, dia selalu bertemu dengan Zafran. Lelaki itu merupakan kawan baik abangnya. Walau dingin macam mana sekalipun, dia tetap boleh senyum dan ketawa apabila dengan Zafran. Dia masih boleh berbual dengan selesa dengan lelaki itu dan lelaki itu juga melayannya dengan baik. Kedinginan lelaki itu tidak langsung memberi kesan kepada dirinya. Namun, sekarang…. Kenapa dia rasa cemas apabila berhadapan dengan lelaki itu? Kenapa dia tidak ada kekuatan untuk bertemu lelaki itu?

Senyuman sinis terukir di bibir gadis itu setelah dia dapat jawapan pada persoalan yang bermain di mindanya. Guilty! Itu jawapannya. Perasaan bersalah pada lelaki itu. Dia sedar apa yang telah dia lakukan enam tahun yang lepas bukan perkara yang remeh, yang boleh dilupakan dengan sekelip mata. Dia sedar peristiwa itu meninggalkan kesan yang paling dalam di hati lelaki itu. Dia gelar lelaki itu pembunuh. Dia salahkan lelaki itu. Dia maki lelaki itu. Dia hamburkan segala-galanya pada lelaki itu. Dia tahu lelaki itu tidak salah tetapi dia lepaskan segala-galanya pada lelaki itu.

Pun begitu, dia tidak menyalahkan dirinya. Dia hilang kewarasan ketika itu. Tidak dapat berfikir dengan bijak. Tekanan demi tekanan dia terima. Dan pemergian orang yang dia sayang membuatkan dia hilang pertimbangan. Hilang kewarasan gadis itu apabila Anas kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke majlis perkahwinannya dengan Zafran. Dia rasa bersalah pada Anas kerana dia tidak pernah memberitahu lelaki itu tentang perkahwinannya. Dia telah menganiaya lelaki itu.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan dia meja mengejutkan Dhira. Terbang segala khayalan yang berlegar di minda. Matanya segera dihalakan ke arah seorang lelaki yang sedang duduk bertenggek di atas mejanya. Riak wajah Dhira terus berubah. Terkejut melihat kehadiran lelaki itu. Bibir Dhira mula menguntumkan senyum, membalas senyuman yang dihadiahkan kepadanya.

“What are you doing here?” tanya Dhira yang tidak menjangkakan kehadiran Ken di ofisnya. “Joyce tak masuk ofis tau hari ni.”

“I tahu. I bukan nak jumpa dia. I cuma nak spy my ex-staff. Tak tahu pula my ex-staff yang selama ni I rasa a very hardworking, suka curi tulang.”

“Hey, bila masa I curi tulang?” marah Dhira.

“You ingat I tak nampak apa yang you buat. Dah lebih daripada setengah jam you termenung tau. I nak report pada Joyce lah. Selamat I dah buang you. Kalau tak, rugi I ada staff macam you.”

Tubuh Dhira disandarkan ke belakang. Bibirnya dicemikkan. Sedikit pun tidak terasa dengan kata-kata Ken. “Says the person who begging me not to transfer,” perli Dhira bersama senyuman sinis.

Terhambur tawa Ken setelah menerima sindiran daripada Dhira. “I gurau jelah. Kenapa dengan you? Kenapa termenung? Tak best ke kerja dekat sini? Kalau you tak suka kerja sini, you memang dialu-alukan untuk kerja dengan I balik.”

“I sedih…” Riak wajah Dhira bertukar mendung. Menggambarkan kesedihannya.

“Kenapa?”

“Dah sebulan boyfriend I merajuk dengan I. I call tak jawab. I mesej tak reply. Tiba-tiba dia muncul depan I dan buat macam tak ada apa-apa berlaku,” adu Dhira tanpa memandang Ken. Bibirnya terjuih.

Ken gelak kecil. “I rasa boyfriend you tu, tunggu you pujuk dia. Tapi you buat tak tahu je.”

“Tolong sikit… naik berbuih mulut I pujuk dia tau. Eh salah... naik lenguh tangan I mesej dia tau. Tahulah dia busy dengan awek baru.”

Senyuman meniti di bibir Ken. Lengan Dhira yang diletakkan di atas meja terus dijentik perlahan. “Sorrylah… kan I dah jumpa you ni. I rindukan you sebab tu I jumpa you. Eh, macam mana you tahu I ada awek baru?” Mata Ken dikecilkan. “Hmm, ni mesti Fei Fei yang beritahu. Kecohlah adik I tu.”

Giliran Dhira pula menghamburkan tawa.

“I dengar Joyce suruh you buat design. So, macam mana? Dah siap?”

Dhira memuncungkan mulutnya. Kepala digeleng perlahan.

“Pelik!” Komen Ken. “Well, I tahu you tak pernah design sendiri. Selalunya you tolong je tapi… you kan selalu sumbangkan idea yang brilliant pada kami. Kenapa tiba-tiba you macam hilang arah? You tak ada idea ke?”

“I tak tahu. I stuck. I tak boleh fikir apa-apa,” jawab Dhira sambil memandang rekaannya yang terbengkalai di skrin komputer. “Klien nak tengok design I esok. Matilah I.”

Ken lemparkan senyuman sebelum mengerling jam di pergelengan tangannya. “Dah masuk lunch time. Jom teman I makan. Lepas lunch, kita bincang pasal projek ni.”

Jam di komputer dikerling. Ya. Sudah masuk waktu makan tengahari. Sungguh, dia tidak sedar sudah tengahari. “You nak tolong I?”

“Why not… Dulu you tolong I. Sekarang I tolong you. That’s how it works, right?”

Wajah Dhira mula ceria. Terasa hilang satu beban apabila Ken ingin menghulurkan bantuan. “Thank you boyfriend. Love you,” ucap Dhira manja. Gadis itu memang selesa bermanja dengan Ken. Dia sudah anggap lelaki itu umpama abangnya. Dulu Haris tempat dia bermanja tetapi setelah Haris membuang dirinya, dia sudah hilang tempat untuk bermanja sehinggalah dia bertemu Ken. Menumpang kasih abang kawan baiknya.

“Love you too,” balas Ken bersama kenyitan mata. “Pukul berapa klien nak tengok design you?”

“10 pagi.”

Ken terus berdiri. “So, don’t waste time. Jom makan and then kita boleh discuss.”

Dhira segera menutup perisian di komputernya. Meja yang bersepah dikemas ala kadar sebelum dia mencapai beg tangannya dan mengekori langkah Ken.

“Nak makan kat mana?” soal Ken sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam kereta.

Dhira jungkit bahu.

“Any suggestion?”

Geleng.

“Aiyo, you nie… You sepatutnya bagi suggestion kedai mana yang sedap. I ni pelancong tau dan you tu tuan rumah,” bebel Ken. Lelaki itu memandu keretanya keluar dari petak parkir.

“I baru lagi kat sini. Mana I tahu kedai mana yang sedap. Nanti I ajak you pergi kedai yang selalu I makan, baru you tahu,” balas Dhira.

“Kenapa?”

“You tak makan kat tempat macam tu.”

Ken menoleh sekilas ke arah Dhira bersama wajah yang jelek. “You still makan kat tempat macam tu? Kotorlah Dhira… You tak kena keracunan makanan ke?”

“Okay je. You tu cerewet sangat.” Dhira cebik bibir. “I nak makan kat mana lagi, Ken… Situ murah tau. Five ringgit per day. Okaylah kan? Itu pun sebab I tak order air.”

“Hari ni I belanja you makan sedap sikit. Western or local food?”

“Local. I tak rasa nak makan western.” Laju je Dhira jawab.

Sepanjang menjamu selera di sebuah restoran yang menyediakan masakan tempatan, Ken dan Dhira berbincang mengenai rekaan rumah. Konsep dan segala spesifikasi yang dikehendaki oleh klien sudah diberitahu kepada Ken. Perbualan mereka kadang kala diselangi dengan gurauan yang mengundang gelak tawa. Hilang stress Dhira setelah bertemu dengan Ken.

“Kenapa muka macam tak puas hati je tu?” soal Ken sewaktu mereka berdua melangkah keluar dari restoran.

“Mahal! Dah lah tak sedap. Masakan Mak Cik Biah lagi sedap,” rungut Dhira, masih dengan wajah tak puas hati.

“The food is not that bad and I tak suruh pun you bayar. By the way, siapa Mak Cik Biah tu?”

“Tukang masak kat kedai yang selalu I makan. I should bring you there. Banyak sangat makanan kat sana sampai you tak tahu nak pilih dan semuanya sedap dan murah.”

Ken buat muka lagi. “No!! I tak akan makan kat tempat tu.”

“Yes! I akan bawa you makan dekat sana. Satu hari nanti,” ucap Dhira kedengaran tegas.

Gadis itu selamba sahaja berjalan tanpa menyedari sebuah motor yang sedang menghala ke arahnya. Ken yang sedar akan perkara itu segera menarik lengan Dhira. Tubuh Dhira bagaikan melayang dek kerana tarikan yang kuat itu. Hampir sahaja tubuhnya tersungkur. Mujur Ken cepat bertindak.

“Careful, Dhira,” tegur Ken lembut.

“Kenapa you tarik I?” tanya Dhira yang masih blur. Terkebil-kebil matanya memandang Ken. Masih lagi terkejut dengan tarikan Ken.

“Oh my dear… You hampir kena langgar dengan motor tau. Boleh tak lain kali pandang kiri kanan sebelum melintas?” marah Ken. Masih dengan nada lembut. Terserlah sifat prihatin lelaki itu.

Dhira mengukirkan senyuman manis. “Boyfriend I kan ada. I tahu you akan selalu protect I,” ucap gadis itu denga nada gurau. Sengaja dia mengusik. Ingin meredakan kemarahan Ken.

“Oh my girlfriend… I memang akan jaga you. Always. Tapi tolong balik Singapore semula. So that I boleh jaga you,” balas Ken menggunakan nada yang sama dengan Dhira. Mengikut rentak permainan gadis itu.

Dhira buat muka comel. Senyuman manis dilemparkan. Gadis itu ingin membalas bicara Ken, namun niatnya termati saat matanya bertaut dengan sepasang mata milik Zafran. Lelaki itu tidak keseorangan. Seorang gadis tinggi lampai berdiri di sebelah lelaki itu. Dhira terkesima.

Zafran melarikan pandangan ke arah lain dan melangkah pergi tanpa menghiraukannya. Dhira menundukkan pandangannya. Oh Tuhan… Kenapa terlalu banyak kebetulan?

“Sudahlah tu. Jomlah balik,” ajak Ken yang tidak menyedari perubahan di wajah Dhira.

Lambat-lambat Dhira mengekori langkah Ken menuju ke kereta. Sepi. Tiada bicara. Masing-masing mendiamkan diri. Di dalam kereta, Dhira terkenangkan pertemuan tadi. Dia kenal gadis tinggi lampai di sebelah Zafran tadi. Jannah… gadis yang pernah menyerangnya kerana kejadian enam tahun lepas. Jangan-jangan Jannah itu isteri Zafran. Hmm, tak sangka gadis itu berjaya memiliki Zafran. Pasti Zafran bahagia dengan perkahwinan keduanya kerana Jannah benar-benar mencintai Zafran. Tidak sepertinya.

Dalam masa yang sama, suasana di dalam kereta Zafran sunyi sepi. Jannah mengerling ke arah Zafran yang fokus pada pemanduannya. Lelaki itu kelihatan tenang. Minda gadis itu mula menerawang teringatkan kejadian di luar restoran tadi. Dhira. Dia yakin itu Dhira, adik Haris. Tidak mungkin dia silap. Sekali lagi, Jannah memandang Zafran.

“Abang…,” panggil Jannah lembut.

“Hmm…,” sahut Zafran tanpa menoleh ke arah Jannah.

“Tadi tu… adik Abang Haris kan?”

Zafran mendiamkan diri buat seketika sebelum menganggukkan kepalanya perlahan.

“Dah lama Jannah tak nampak dia. Nak bagitahu Abang Haris ke yang kita jumpa dia?” tanya Jannah masih merenung Zafran. Gadis itu cuba membaca apa yang bermain di minda Zafran ketika itu.

“Terpulang pada Jannah,” balas Zafran bersahaja.

Jannah membuang pandang. Matanya dipejam rapat. Sekejap cuma. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan. Riak wajah Zafran ketika itu sedikit membimbangkan Jannah. Dia tidak tahu apa yang bermain di minda lelaki itu. Adakah peristiwa tadi tidak memberi kesan langsung dalam diri Zafran? Mustahil! Bibir Jannah diketap perlahan.  Abang… Jannah takut abang akan pergi jumpa Dhira tadi. Tapi bila abang ignore dia, Jannah lagi rasa tak sedap hati. Betul ke abang dah lupakan dia? Dah maafkan dia? Atau dia masih bertakhta dalam hati abang? Detik hati Jannah. Entah kenapa, dia mula tidak sedap hati.


“Assalamualaikum bro… Busy ke?” soal satu suara yang agak kuat. Zafran yang sedang tekun meneliti Due Diligence Planning Memorandum tersentak. Wajahnya dikalihkan ke arah muka pintu.

“Waalaikummusalam. Kau buat apa kat sini?” tanya Zafran yang masih terkejut dengan kehadiran Wafi.

Wafi melirik senyuman panjang. Fail di tangan diawang-awangkan. “Nak surprisekan kau pasal hasil penemuan aku tentang Dhi…”

“Shhhh…” Cepat-cepat Zafran mematikan bicara Wafi. “Woi, slow sikitlah. Kau lupa ke Haris pun ada kat ofis ni. Tutut pintu tu,” arah Zafran dengan nada seperlahan yang mungkin.

“Opps… sorry, sorry,” ucap Wafi sambil menutup pintu bilik Zafran. Nada suaranya bertukar perlahan. Kemudian, dia mengatur langkah mendekati Zafran. Dengan selamba, dia duduk di hadapan lelaki itu. Fail diletakkan di atas meja.

“Fail apa tu?” tanya Zafran.

Wafi buat muka. “Dah tahu, pura-pura tanya pulak,” omel Wafi. “Fail pasal bini kau la. Aku dah berjaya cari maklumat pasal dia.”

Zafran tidak beriak. Fail di atas meja diambil dan disimpan di dalam laci yang berkunci. Wafi kerut dahi melihat tindakan kawannya itu.

“Macam tu je? Kau tak curious nak tahu pasal dia ke?” tanya Wafi pelik. “Atau sebenarnya kau control macho depan aku?” usik Wafi. Nakal. Lelaki itu tergelak kecil.

“Tak ada maknanya aku nak control macho depan kau. Aku sebenarnya nak suruh kau stop siasat pasal dia. Tapi kau tu pantas sangat buat kerja.”

“Hah? Kenapa nak suruh aku stop?”

“Suka hati aku lah. Sibuk je nak tau,” bebel Zafran. “Nanti kau buat kira-kira berapa kau nak charge aku. And then whatsapp aku. Aku nak settlekan payment.”

Wafi melepaskan keluhan kecil. “Okay… dah kalau itu yang kau nak. Sia-sia je aku siasat pasal bini kau tu.” Sempat Wafi merungut. “Eh tapi aku rasa… usaha aku tak akan sia-sia kut sebab…” Wafi melemparkan senyum penuh makna. “Akan ada satu hari di mana kau akan curious dan kau akan baca information yang aku bagi tu. FYI as in for your information, information yang aku bagi tu since dia kena halau dengan bapak dia sampai sekarang tau. Enam tahun punya info, bro. Lengkap! Padu! Tiptop! Kalau kau nak tahu apa-apa pasal bini kau tu, baca je maklumat yang aku bagi. Semua jawapan ada kat situ.”

Wafi menghela nafas berat. Lelaki itu sengaja pamer wajah sedih. “Kesian bini kau wei. Kalau kau nak tahu hidup bini kau lepas kena buang keluarga sangatlah worst. Horrible. Terrible. Sampailah dia jumpa someone...” Bicara Wafi dileretkan. Ingin memancing rasa ingin tahu Zafran.

Namun, wajah Zafran sedikit pun tidak berubah. Kosong. Tidak beriak. Seolah-olah tidak terkesan dengan kata-kata Wafi. “Ada apa-apa lagi?” soal Zafran tanpa nada.

Wafi menggumam. Sedikit hampa dengan respon Zafran. “Tak ada. Aku blah dululah. Ada banyak lagi kerja aku nak setel.” Wafi angkat punggung dan mula melangkah pergi.

“Dua tahun dia hidup susah, bro.” Sempat Wafi memancing lagi sebelum meninggalkan bilik Zafran.

Zafran menyandarkan tubuhnya ke belakang setelah bayang Wafi hilang dari pandangan. Sampailah dia jumpa someone. Kata-kata Wafi kembali terngiang di telinga. Zafran tersenyum nipis. Pasti lelaki di restoran tadi, teka Zafran dalam hati. Selepas menyaksikan kemesraan Dhira dan seorang lelaki tengahari tadi, Zafran mula berkira-kira untuk berhenti menyiasat pasal Dhira. Gadis itu kelihatan bahagia. Tiada apa yang perlu dibimbangkan lagi. Dia tidak mahu lukakan hatinya sendiri dengan melihat kebahagiaan gadis itu. Tidak bermakna dia tidak gembira melihat gadis yang dicintainya bahagia tetapi dia tidak dapat menahan dirinya daripada perasaan sedih dan kecewa. Sedih kerana gadis itu bukan miliknya. Kecewa dengan dirinya yang masih tidak mampu membuang rasa cinta pada gadis itu.


***********   TEASER BAB 6      ************ 

“Naik,” arah Zafran tanpa riak dari dalam kereta.
Dhira tidak bergerak walau seinci. Matanya masih memandang Zafran. Barangkali masih terkejut.
“You nak tunggu teksi sampai pukul berapa?” tanya Zafran dengan nada mendatar.
Bibir diketap. Matanya diliarkan, ingin melihat jika ada teksi yang lalu ketika itu. Keluhan kecil terlepas dari bibirnya. Lambat-lambat, dia menghampiri kereta Zafran. Pintu kereta dibuka sebelum dia meloloskan dirinya ke dalam kereta. “Sorry, I susahkan Encik Zafran,” ucap Dhira perlahan tanpa memandang Zafran.
“Seatbelt.”
“Hah?” Gadis itu terpinga-pinga. Tidak dengar apa yang diucapkan oleh Zafran.
Zafran tidak menjawab dengan kata-kata. Sebaliknya, dia mendekatkan tubuhnya dengan Dhira lalu memakaikan tali pinggang keledar untuk gadis itu. Tindakan spontan Zafran membuatkan jantung Dhira seakan berhenti berdegup. Terkebil-kebil matanya memandang Zafran.
“Kat mana?”
Sebaik sahaja Dhira memberikan jawapan, Zafran mula memandu keretanya. Sepi sahaja suasana di dalam kereta ketika itu. Tiada bicara yang keluar dari bibir masing-masing. Radio pun tidak dipasang. Dhira membuang pandang ke luar tingkap.
 “Kenapa?” tanya Zafran cukup perlahan tetapi bisa didengari oleh Dhira.
Dhira menoleh ke sisi. “Kenapa apa?”
Zafran membalas pandangan Dhira seketika. Kemudian, dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya. Kepala digeleng perlahan. Dhira kembali membuang pandang ke luar. Dalam hati, dia tertanya-tanya apa yang ingin disampaikan oleh Zafran.
Zafran menelan liurnya. Dhira dikerling. Kenapa you happy bila dengan lelaki lain? Kenapa you boleh senyum, boleh gelak bila dengan lelaki lain? Kenapa you tak senyum bila jumpa I? Kenapa you tak gelak bila jumpa I? Satu keluhan kecil terlepas dari bibir Zafran. 






1 comment:

Azure said...

Menanti sambungan seterusnya...Tq until n3 ini