Thursday, April 7, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 4

Bab 4

Sudah hampir sebulan Dhira bekerja di Instyle Design Sdn. Bhd. Gadis itu sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana kerja di situ dan sudah boleh bergaul mesra dengan teman-teman sekerja yang kebanyakkannya berbangsa Cina. Tidak banyak perbezaan suasana di tempat kerja baru dengan tempat kerja lama. Semuanya hampir sama. Mungkin sebab itu Dhira boleh menyesuaikan dirinya dengan cepat.

Mata Dhira terhala ke arah skrin telefon pintar. Pesanan Whatsapp daripada Joyce yang memberikan maklumat tentang klien baru mereka, ditenung entah buat kali ke berapa. Ada sesuatu pada pesanan Whatsapp itu yang menganggu fikiran Dhira sedari tadi. Nama klien mereka.

Kepala Dhira digeleng perlahan. Menafikan andaian yang bermain di minda. Tak. Tak mungkin. Mana mungkin. Mustahil. Gadis itu segera keluar dari lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. Minda masih cuba menafikan sebarang keberangkalian.

Jam di pergelangan tangan dikerling. Oh-oh… dah lambat! Tanpa membuang masa, gadis itu terus mengatur langkah laju menuju ke rumah kliennya. Loceng rumah ditekan dan tidak lama kemudian, pintu rumah dibuka dari dalam.

“You are late by fifteen minutes.”

Terkesima Dhira sebaik sahaja melihat lelaki yang berdiri di depannya. Termati terus niatnya untuk meminta maaf atas kelewatannya. Lelaki itu turut terkejut melihat Dhira. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Masa seakan terhenti.

“Joyce?”

Bicara lelaki itu menyedarkan Dhira ke dunia nyata. Kepalanya digeleng perlahan. “Tak. I’m Dhira. Pekerja Joyce. Sorry sebab lambat.” Dia tak cam aku ke? Soal Dhira sekadar di dalam hati. Hmm, sengajalah tu. Takkanlah dia tak kenal Joyce. Joyce kata klien baru ni kawan dia, omel Dhira.

“Zafran. Jemput masuk,” pelawa lelaki itu dengan nada yang kurang mesra.

Dhira mengukirkan senyuman nipis sebelum melangkah masuk. Nafas berat dilepaskan. Buat seketika, Dhira cuba mencari kekuatan untuk berurusan dengan lelaki itu. Mata Dhira kemudian diliarkan ke sekeliling, memerhatikan ruang rumah. Puas meneliti, dia menoleh ke belakang. Memandang Zafran yang masih berada di pintu rumah. Terkedu Dhira apabila mata mereka bertentangan. Segera dia melarikan pandangan. Sungguh, dia berdebar melihat pandangan daripada lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tekak dibersihkan sebelum dia bersuara. “So…” Dhira meleretkan bicaranya. Sedang mencari ayat yang sesuai.

“Yes, you boleh proceed dengan kerja you,” ucap Zafran seolah-olah memahami apa yang ingin dibicarakan oleh Dhira. “Don’t worry. I akan biarkan pintu ni terbuka.”

Dhira mengangguk kecil. “Oh, okay…” Bibir diketap. Oh, janggalnya situasi saat ini. Gadis itu cuba menenangkan dirinya. Telefon pintar dikeluarkan dari beg galas dan dia mula mengambil beberapa keping gambar.

“Dari nursing ke interior designer.”

“Ha?” Dhira sedikit terkejut apabila mendengar suara garau Zafran dicelah kesunyian. Mata gadis itu secara automatik dikalihkan ke arah Zafran. Lelaki itu sedang bersandar di dinding sambil memeluk tubuh. Nampak santai.

Mata Zafran sedikit membesar. Terkesima. Tidak sangka apa yang diucapkan dalam hati, terlafaz di bibir. “Tak ada apa-apa.”

Dhira mengalihkan pandangannya semula. Telefon pintar disimpan semula ke dalam beg galas dan pita pengukur pula dikeluarkan. “Itu apa yang ayah I nak,” tutur Dhira perlahan, membalas komen Zafran sebentar tadi. Dia dengar apa yang diucapkan lelaki itu cuma dia sedikit terkejut tadi.

Meskipun Dhira menggunakan nada suara yang perlahan, Zafran dapat menangkap bicara gadis itu. “Dan ini apa yang you nak?”

Soalan Zafran membuatkan Dhira berfikir seketika. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Ya, ini minat dia dari kecil. Dia suka mereka hias. Cuma tiada siapa yang memahami minatnya ini. Hidupnya sudah diatur dari kecil oleh kedua-dua ibu bapanya.

“You tak ada assistant ke?”

“Hah?”

Zafran menghampiri Dhira yang terkial-kial mengambil ukuran lantai. Pita pengukur diambil dari gadis itu. “Biar I yang ukur.”

“Eh, tak apalah. I boleh buat sendiri,” kata Dhira yang terkejut dengan tindakan pantas Zafran. “Semua tengah busy. Tak ada siapa yang boleh temankan I,” jelas gadis itu.

Pita pengukur masih di tangan Zafran. “You nak ukur mana lagi?”

“Encik Zafran, I boleh buat sendiri. You are my client.”

Tanpa menghiraukan Dhira, Zafran mula mengukur sudut lain dan memberitahu Dhira bacaan ukuran. Lelaki itu cukup pantas bertindak. Dhira tidak mampu menegah lagi. Ukuran yang diberitahu oleh Zafran segera dicatat.

“Jangan salah faham. I bukan nak tolong you tapi I kejar masa.”

“Oh, maaf. I tak akan ambil banyak masa. I nak tengok bahagian dapur pula.”

Mereka berdua mengatur langkah ke arah dapur. Seperti tadi, Dhira mengambil gambar dan juga ukuran di bahagian dapur dengan bantuan oleh Zafran.

“So, bila agaknya I boleh tengok pelan daripada you?” tanya Zafran sebaik sahaja selesai mengambil ukuran. Pita pengukur diserahkan kepada Dhira semula.

“Terima kasih,” ucap Dhira perlahan sambil menyimpan semula pita pengukur tersebut. Kemudian, matanya dihalakan semula ke arah Zafran yang masih menantikan jawapan daripadanya. “Biasanya within one week. Kami akan call Encik Zafran nanti.”

Deringan telefon mematikan hasrat Zafran untuk mengajukan soalan yang seterusnya. Lelaki itu mengeluarkan telefon pintar dari poket seluar. “Sekejap. I jawab call ni dulu,” ucap Zafran sebelum menjauhkan dirinya dengan Dhira.

Dhira hanya memerhatikan bekas suaminya yang sedang menjawab panggilan telefon. Lelaki itu masih seperti dulu. Kemas. Pakaian lelaki itu tidak berkedut walaupun sudah petang. Tali leher masih terikat kemas. Rambut tersisir rapi. Sama macam dulu. Cuma… ada satu yang lain. Lelaki itu kelihatan dingin. Tidak seperti dulu. Kedinginan Zafran membuatkan dirinya cemas. Dia tidak betah berdua-duan dengan lelaki itu. Adakah kedinginan lelaki itu disebabkan peristiwa lalu? Adakah lelaki itu membencinya disebabkan peristiwa itu?

Oh, Dhira… apa yang kau merepek ni? Mestilah dia bencikan kau. Kau dah lupa ke apa yang kau dah buat? Marah gadis itu pada dirinya. Dhira menundukkan pandangan ke arah lantai. Menyesali perbuatannya yang lalu.

“Do you have my contact number?”

Soalan Zafran membuatkan Dhira sedikit tersentak. Dia tidak sedar bila lelaki itu menamatkan perbualan di telefon. Dhira memberanikan dirinya memandang Zafran. Kepalanya dianggukkan. “Joyce dah bagi I.”

“Then, boleh I dapatkan your contact? A name card, maybe.”

“Err…” Bibir diketap perlahan. “I punya name card tak siap lagi.”

“Baru kerja?” tebak Zafran.

Sekali lagi Dhira mengangguk. Itu sahaja respon yang diberikan.

“Sebelum ni kerja dekat mana?” Laju sahaja bibir Zafran melontarkan soalan.

Dhira menundukkan pandangannya. Takut untuk menentang pandangan Zafran. Lelaki itu memandangnya seolah-olah dia sudah membuat salah. Seolah-olah dia penjenayah. Di tambah pula dengan nada yang dingin, makin takut Dhira dibuatnya. Dadanya mula berdegup tidak menentu. Cemas!

“You tak payah jawab soalan I. Tak penting.” Telefon pintar dihulurkan ke arah Dhira. “Savekan phone number you.”

Perlahan-lahan, Dhira mengambil telefon pintar di tangan Zafran. “Err, locked,” ucap Dhira sambil menghulurkan semula telefon pintar kepada Zafran.

“0404.” Dengan cukup bersahaja, Zafran memberitahu kata laluan telefon pintarnya.

Kening Dhira ternaik sedikit. Kata laluan ditekan. 0404? Birthday aku 4 April. Gadis itu menyerigai. Jangan nak perasanlah Dhira. Tu favourite number dia kut. Tanpa membuang masa, Dhira menyimpan data nombor telefonnya.

 “Kalau tak ada apa-apa lagi, I minta diri dulu,” ucap Dhira sambil menyerahkan semula telefon pintar kepada Zafran.

Zafran tidak memberi sebarang respon. Wajahnya tidak beriak. Dhira senyum nipis sebelum berlalu pergi. Gadis itu melepaskan nafas lega sebaik sahaja dia melangkah keluar dari rumah itu. Tamat sudah suasana janggal yang terpaksa dia hadapi sebentar tadi.


Tiba sahaja di ofis, Dhira terus mengemaskini gambar-gambar dan ukuran yang diambilnya di rumah Zafran sebentar tadi. Gambar-gambar yang ditangkap menggunakan telefon pintar dipindahkan ke komputer dan juga iPad. Kemudian, gadis itu mengatur langkah menuju ke bilik Joyce, untuk memberikan laporannya.

Joyce menyambut kehadiran Dhira dengan sebuah senyuman. Gadis itu dipelawa masuk dan duduk di hadapannya. Tanpa membuang masa, Dhira menghulurkan iPad di tangannya kepada Joyce.
“Besar juga kondominium ni,” komen Joyce.

Dhira hanya mengangguk kecil.

“You dah ambil measurement?”

Fail berwarna biru yang dibawa bersamanya dibuka dan dia mula menjelaskan ukuran-ukuran yang diambilnya kepada Joyce.

“Good!” Puji Joyce. Fail ditutup, iPad diletakkan di atas meja dan dia mula menumpukan perhatian pada Dhira. “Sebenarnya, I tak nak ambil projek baru dalam masa terdekat ni sebab kita ada tiga projek besar to handle. I dah tak ada designer untuk handle new job. Tapi… since klien baru kita ni kawan I, I tak sampai hati nak tolak. Lagi-lagi bila dia kata dia nak surprisekan wife dia.”

Dhira terkesima. Wife? Oh, dia dah kahwin rupanya. Baguslah kalau macam tu, bicara Dhira dalam hati.

“You boleh tak design rumah ni?”

Mata Dhira membulat. Dia pandang Joyce dengan pandangan tidak percaya. Jari telunjuk dituding ke arah dirinya sendiri. “I?” tanya Dhira yang masih terkejut.

Joyce menganggukkan kepalanya. “Yes. You.”

Dhira menghela nafas perlahan. “Tapi I tak pernah design. I selalu tolong Ken dengan Fei Fei.”

“Come on, Dhira. You dah lama kerja dengan dia orang. Dah lama tolong dia orang and you dah ada degree dalam bidang ni. Why not you ambil peluang ni untuk tunjukkan bakat you. I know you can do it.”

Dhira terdiam. Mindanya berputar ligat. Memikirkan permintaan Joyce.

“I dengan Fei Fei memang dah ada plan nak suruh you handle projek sebab kami nak train you jadi designer and I think inilah masanya. I nak you start dengan residential before exposing you with commercial. You boleh buat kan?”

Dhira tayang sengih. Gadis itu masih ragu-ragu. Perasaannya berbaur. Dia gembira kerana diberikan kepercayaan untuk mengendalikan projek sendiri tetapi dalam masa yang sama dia risau.

“Don’t worry dear. We will help you. If you need help, just ask.” Joyce cuba meredakan kerisauan Dhira.

Dhira menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan. “Okay. I akan cuba.”

“Great!” Joyce tersenyum gembira. “Now, let me explain konsep yang klien mahukan and then you dah boleh proceed dengan kerja you yang seterusnya.”

Selesai sesi penerangan konsep, Dhira meminta diri untuk kembali ke mejanya. Punggung dihempaskan. Mata gadis itu terkebil-kebil. Mati! Kenapa aku setuju tadi? Dhira mula menyesali tindakannya.

Kepalanya dihantukkan ke atas meja perlahan. Itu kan rumah Zafran. Takkanlah aku nak design rumah dia. Rumah yang dia nak surprisekan wife dia pula tu. Oh come on Dhira… kenapa kau jebakkan diri kau ke dalam malapetaka ni? Argh… kenapalah projek pertama aku ialah rumah lelaki tu? Kenapa bukan rumah orang lain? Macam mana ni? Macam mana ni? Dhira mula tidak betah duduk umpama cacing kepanasan.

“Dhira… you okay tak?” soal Mandy, rakan sekubikelnya.

Dhira mengangkat mukanya lalu ditoleh ke kiri. Wajah Mandy dipandang. Kepalanya diangguk perlahan. “Okay…  I okay.”


Tubuh Zafran dan Haris sudah dibasahi peluh setelah hampir satu jam mereka berdua bermain squash. Pukulan demi pukulan. Lontaran demi lontaran. Cukup bertenaga. Seolah-olah melepaskan geram, melepaskan perasaan pada pukulan dan lontaran itu. Haris mula keletihan. Pukulannya semakin perlahan dan tidak lama kemudian, dia merebahkan tubuhnya. Lontaran bola daripada Zafran dibiarkan jatuh ke lantai. Sudah kehabisan tenaga. Dadanya turun naik.

Melihat Haris yang sudah terbaring, Zafran mendekati lelaki itu lalu duduk memeluk lutut. “Dah pancit ke?”

Kepala Haris dianggukkan. Matanya merenung siling. Fikirannya mula melayang. Mimpi semalam masih menganggu minda. Perlahan-lahan, Zafran merebahkan tubuhnya. Mindanya juga menerawang teringatkan peristiwa tengahari tadi. Suasana menjadi sepi sementelah kedua-duanya sudah hanyut dengan perasaan masing-masing.

“Zaf…,” panggil Haris perlahan.

“Hmm,” balas Zafran tanpa memandang Haris.

Haris membersihkan tekaknya. “Aku… aku mimpikan Dhira.”

Bicara Haris membuatkan Zafran terkesima. Cepat-cepat dia kawal riak wajahnya apabila Haris menoleh ke arahnya. “Kau rindukan dia kut..,” balas Zafran setelah lama mendiamkan diri. “Kau tak nak cari dia ke?”

“Rindu?” Haris melepaskan gelak. Sinis. “Hmm… tak ada makna aku nak rindu dia. Dia bukan adik aku lagi.”

Terbantut niat Zafran untuk memberitahu pertemuannya dengan Dhira setelah menerima respon negatif daripada Haris. Sudah enam tahun berlalu tetapi kawan baiknya masih belum dapat memaafkan Dhira. “Kau marahkan dia lagi ke?”

“Kau mungkin dah maafkan dia, Zaf… tapi aku dan keluarga aku, tak akan lupa apa yang dia dah buat. Tak akan!”

Zafran tenung Haris dengan pandangan yang sukar diungkapkan. “Kau tak risaukan adik kau ke? Kau tak nak tahu dia dekat mana, apa yang dia buat, dia dengan siapa, sihat ke tak?”

“Untuk apa aku tahu semua tu. Semuanya dah tak penting. Dia dah tak ada apa-apa kaitan dengan aku. Aku tak nak ambil tahu tentang dia.”

“Kalau…” Zafran berjeda seketika. “Ni aku cakap kalau… kalaulah kau terjumpa dia, terserempak dengan dia, apa yang kau akan buat?” soal Zafran ingin tahu.

“Buat bodoh jelah. Anggap je aku tak nampak dia,” jawab Haris tanpa perlu berfikir. “Aku tak tahulah kenapa aku boleh mimpikan dia. Tiba-tiba je… Selama ni tak ada pula aku nak mimpikan dia.”

“Kalau kau tak rindukan dia, mungkin dia yang rindukan kau. Dia kan rapat dengan kau.”

Haris tersenyum menyeringai. “Buat apa dia nak rindu aku. Aku ni bukan siapa-siapa pada dia. Kalau dia sayang aku, dia tak akan buat apa yang dia buat. Dia dah malukan aku. Malukan keluarga aku. Dan aku tak boleh terima apa yang di buat kat kau, Zaf. Tak boleh! Aku pelik macam mana kau boleh maafkan adik aku tu.”

Zafran bangkit dari perbaringan. Kembali duduk memeluk lutut. “Tak ada sebab aku nak marahkan dia, Ris. Kami tak ada jodoh.”

“Tapi apa yang dia buat tu… melampau sangat!” Haris ketap bibir geram. Sakit hatinya apabila mengenangkan peristiwa enam tahun lepas.

Zafran menepuk lembut bahu temannya. “Maafkanlah adik kau. Kau kena faham situasi dia masa tu,” tutur Zafran perlahan.

Haris bangkit. Tuala kecil digantungkan ke leher. “Aku tak nak cakap pasal hal ni lagi. Aku blah dulu, Zaf. Thanks temankan aku main squash.”

Kepala Zafran dianggukkan. Matanya memandang Haris yang semakin menjauh. Lelaki itu tersenyum hambar. Entah sampai bila marah Haris pada Dhira nak reda. Kesian gadis itu.

Zafran terkenang semula pertemuan dengan Dhira tengahari tadi. Sungguh, dia terkejut apabila melihat gadis itu. Tidak sangka dia akan berurusan dengan bekas isterinya. Perasaan Zafran kini berbelah bagi. Sebahagian daripada dirinya, dia gembira kerana akan bertemu lagi gadis itu dan sebahagian lagi, dia takut. Takut untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.



***********   TEASER BAB 5      ************ 


“Careful, Dhira,” tegur Ken lembut.
“Kenapa you tarik I?” tanya Dhira yang masih blur. Terkebil-kebil matanya memandang Ken. Masih lagi terkejut dengan tarikan Ken.
“Oh my dear… You hampir kena langgar dengan motor tau. Boleh tak lain kali pandang kiri kanan sebelum melintas?” marah Ken. Masih dengan nada lembut. Terserlah sifat prihatin lelaki itu.
Dhira mengukirkan senyuman manis. “Boyfriend I kan ada. I tahu you akan selalu protect I,” ucap gadis itu denga nada gurau. Sengaja dia mengusik. Ingin meredakan kemarahan Ken.
“Oh my girlfriend… I memang akan jaga you. Always. Tapi tolong balik Singapore semula. So that I boleh jaga you,” balas Ken menggunakan nada yang sama dengan Dhira. Mengikut rentak permainan gadis itu.
Dhira buat muka comel. Senyuman manis dilemparkan. Gadis itu ingin membalas bicara Ken, namun niatnya termati saat matanya bertaut dengan sepasang mata milik Zafran. Lelaki itu tidak keseorangan. Seorang gadis tinggi lampai berdiri di sebelah lelaki itu. Dhira terkesima.
Zafran melarikan pandangan ke arah lain dan melangkah pergi tanpa menghiraukannya. Dhira menundukkan pandangannya. Oh Tuhan… Kenapa terlalu banyak kebetulan? 


No comments: