Sunday, April 17, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 11



Bab 11

Segenap ruang rumah yang sudah dipenuhi dengan perabot diperhatikan. Rasa-rasanya semua sudah lengkap. Perabot yang dipilih Encik Asyraf disusun elok. Pemaidani, lampu, hiasan… semuanya sudah diletakkan di tempat yang sepatutnya. Mengikut design concept yang dipersetujui oleh Encik Asyraf. Namun, entah kenapa hati Dhira merasakan ada sesuatu yang kurang. Sesuatu yang belum disempurnakan.

“Kak… Min dah check. Semua dah settle. Projek kat rumah ni dah selesai,” ucap Yasmin yang baru keluar dari bilik tidur. Gadis itu merupakan pembantu Dhira untuk projek ini.

Bibir Dhira diketap perlahan. “Akak pun rasa dah settle. Tapi…” Bicara Dhira dileretkan. Mindanya sedang ligat berfikir. “Akak rasa ada satu benda yang akak tak buat lagi.”

“Firasat akak je tu kut. Min faham. Inikan projek pertama akak. Mestilah ada perasaan nervous,” tutur Yasmin. “Akak jangan risaulah. Kerja kita dah selesai.” Gadis itu cuba menenangkan hati Dhira.

“Hah!” Mata Dhira membulat besar. Kepalanya ditoleh ke arah Yasmin. “Akak dah ingat!”

“Apa dia?” soal Yasmin ingin tahu.

Dhira menghelakan nafas lega. “Encik Zafran ada suruh akak pergi ambil satu lukisan ni. Dia nak akak gantung lukisan tu kat bilik Encik Asyraf. Hmm… macam manalah akak boleh lupa. Selamat dah ingat balik. Kalau tak… mesti kena marah dengan Encik Zafran.”

Yasmin menggumam. Matanya dilirik ke arah fail yang berada di tangan. “Hmm, lain kali letak note kat sini,” pesan Yasmin.

Dhira tayang sengih. “Tulah… akak lupa nak letak note masa tu. Hmm, jomlah kita pergi ambil lukisan tu. Resit lukisan ada dalam fail tu kan?”

Fail dibelek sekali lagi. Mencari resit. “Ada,” balas Yasmin bersama anggukkan. “Tak jauh sangat studio ni. Min rasa Min tahu kat mana. Area rumah kawan Min.”

“Baguslah kalau macam tu.”

Tanpa membuang masa, mereka berdua segera keluar dari rumah dan menuju ke alamat yang tentera di resit. Yasmin memandu keretanya. Lebih kurang dua puluh minit kemudian, mereka tiba di studio. Dhira menunjukkan resit kepada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Cik Aziz.

“Kak… muka perempuan ni, macam muka akaklah,” ucap Yasmin yang sedang memerhatikan lukisan-lukisan yang ada di studio kecil Pak Cik Aziz. Lukisan seorang perempuan yang sedang mengambil angin di tepi pantai menarik perhatiannya.

Dhira menoleh ke arah lukisan yang dimaksudkan Yasmin. Kakinya mula melangkah mendekati lukisan tersebut. Pandangannya seakan terpaku di situ.

Pak Cik Aziz yang sedang membungkuskan lukisan untuk Dhira turut memandang ke arah yang sama setelah mendengar bicara Yasmin. Mata lelaki itu mula meneliti wajah Dhira dan wajah yang dilukisnya. Bibir diketap perlahan. Kemudian, lelaki itu mula menyelongkar laci meja. Mencari sesuatu.

“Gambar ni, gambar kamu kan?” tanya Pak Cik Aziz sambil menunjukkan sekeping gambar kepada Dhira.

Pandangan Dhira dihalakan ke arah sekeping gambar di tangan Pak Cik Aziz. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala. Perempuan di dalam gambar itu memang dirinya tetapi dia tidak tahu bila gambar itu diambil. Yang pasti, gambar itu sudah lama ditangkap kerana dia masih belum berhijab. “Macam mana gambar ni boleh ada dengan pak cik?” tanya Dhira dengan nada yang bergetar. Masih terkejut.

“Dah lama pak cik simpan gambar ni. Zafran yang suruh pak cik lukis. Dia dah bayar pun lukisan tu tapi dia tak nak pula. Dia suruh pak cik simpan je. Itu yang pak cik gantung dekat sini,” jelas Pak Cik Aziz.

Dhira menelan liur. Sekali lagi dia terkejut. Persoalan demi persoalan menerjah ruang mindanya.

“Akak dah lama kenal Encik Zafran ke?” tanya Yasmin yang sedari tadi menjadi pemerhati.

Dhira mendiamkan diri. Soalan Yasmin dibiarkan sepi.


Projek mereka hias di rumah Asyraf sudah selesai. Lukisan yang ditempah Zafran sudah pun digantung di dalam bilik tidur Asyraf. Dari rumah Asyraf, Dhira meminta Yasmin menurunkannya di sebuah kafe sementelah dia ada janji temu dengan seseorang. Gadis itu memilih meja yang agak tersorok. Dia inginkan privasi. Secangkir kopi yang masih panas terletak elok di atas meja.

Pandangan mata Dhira terpaku ke arah lukisan di sisinya. Lukisan yang diberikan oleh Pak Cik Aziz sebelum Dhira meninggalkan studio lelaki itu. Kata Pak Cik Aziz, lukisan itu sudah bertemu dengan tuannya. Dalam keadaan teragak-agak, Dhira membawa pulang lukisan itu. Dan kini dia tak tahu nak buat apa dengan lukisan tersebut. Memang dirinya yang dipotret tetapi lukisan itu bukan miliknya. Milik Zafran. Perlukah dia serahkan lukisan itu kepada Zafran?

Kenapa? Kenapa Zafran ada gambarnya? Bila masa gambar itu ditangkap? Kenapa Zafran upah Pak Cik Aziz untuk lukis gambar tu? Dan kenapa pula Zafran tidak mahu lukisan itu? Terlalu banyak persoalan bermain di mindanya dan semuanya belum terjawab. Tidak semena-mena, gadis itu teringatkan Zafran. Sejak lelaki itu bertemu dengannya di ofis, mereka tidak lagi bertemu. Berhubung pun tidak.

Dehaman seseorang menerbangkan segala lamunan Dhira. Kepalanya ditoleh ke arah dehaman itu.

“Hai! Boleh saya duduk?” tanya seorang gadis bersama senyuman.

Kepala Dhira dianggukan perlahan. Kehadiran gadis itu membuatkan Dhira sedikit tersentak.

“Seorang je ke?” soal gadis itu setelah melabuhkan duduk di hadapan Dhira.

“Tengah tunggu kawan.”

“Oh, sorry kalau saya ganggu Dhira. Kebetulan terjumpa Dhira dekat sini. Hari tu tak sempat nak borak panjang.” Lembut sahaja nada gadis di hadapannya.

Bibir Dhira terkatup rapat. Tak tahu apa yang perlu diucapkan. Hubungan mereka tidaklah rapat mana. Malah gadis itu pernah menyerangnya satu ketika dahulu.

“Masih kenal saya?”

“Jannah,” balas Dhira bersama anggukan di kepala.

Jannah kuntum senyum nipis. Gadis itu kelihatan tenang. Tidak seperti pertemuan mereka enam tahun lalu. “Saya nak cakap pasal Abang Zaf.”

Namun, sebab pertemuan mereka masih lagi sama. Sama seperti enam tahun yang lepas. Zafran. Jannah bertemunya untuk berbicara tentang lelaki itu. Dhira menelan liur. Sedikit berdebar untuk mendengar bicara Jannah yang seterusnya.

“Stay away from him,” pinta Jannah. Masih dengan nada yang lembut.

Wajah Dhira sedikit berubah. Sekali lagi, gadis itu memintanya untuk menjuhkan diri daripada Zafran.

“Saya tahu awak interior designer untuk rumah Abang Asyraf. Saya tahu pertemuan awak dengan Abang Zaf tu satu kebetulan. Tapi saya harap, awak dapat jauhkan diri awak daripada Abang Zaf,” kata Jannah apabila Dhira hanya mendiamkan diri.

Dhira menarik nafas dalam lalu dihela perlahan. Duduknya dibetulkan. “Jangan risau. Urusan kami dah selesai. Saya dah tak jumpa dia lagi. Dan rumah kakak Zafran pun dah siap. Rasanya, tiada sebab untuk kami berurusan lagi lepas ni.”

“Dhira, sorry lambat… and you are…?” Ken yang baru tiba menghalakan pandangannya ke arah gadis di hadapan Dhira.

Jannah bangkit. Mata terhala ke arah Ken. “Jannah.” Dia memperkenalkan dirinya. Kemudian, dia menoleh ke arah Dhira. “Okaylah. Kawan awak dah sampai. Saya pergi dulu.”

 “Oh, by the way, terima kasih,” tambah Jannah sebelum berlalu pergi.

Ken mengambil duduk di depan Dhira. Mengambil alih tempat yang diduduki oleh Jannah. “Klien ke?”

“Bukan,” jawab Dhira kedengaran malas.

“Apa tu?” Bibir Ken dimuncungkan ke arah lukisan di sisi Dhira.

“Barang klien I. Kenapa lambat? Lapar tahu tak.” Gadis itu segera menukar topik. Tidak mahu Ken bertanya lebih lanjut tentang lukisan itu.

Ken tayang sengih. “Sorrylah. Meeting I habis lambat. Jomlah oder. Perut I pun dah berbunyi.”


Bersama briefcase dan kot di tangan, Zafran mengatur langkah menuju ke firmanya. Lelaki itu baru sahaja menghadiri mesyuarat di AOA Industries Berhad. Matahari yang memancar terik membuatkan Zafran mempercepatkan langkah. Panas! Sesekali dia membetulkan kot yang disangkutkan di lengan. Mata Zafran menangkap kelibat Dhira yang baru sahaja keluar dari bangunan firmanya. Terus mata lelaki itu mengekori langkah Dhira dan sekali lagi dia menyaksikan Dhira bersama lelaki yang sama. Perasaan ingin tahunya kembali menguasai diri.

Fikiran Zafran dipenuhi dengan wajah Dhira dan lelaki tadi sepanjang perjalanannya ke firma. Sukar untuk dia abaikan sahaja apa yang dia saksikan tadi. Pintu bilik dibuka dan lelaki itu mula melangkah masuk ke dalam bilik. Mata Zafran terus terhala ke arah meja kerjanya. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya di situ.

Segugus kunci dan juga satu bungkusan yang agak besar. Tanpa membuang masa, lelaki itu terus membuka bungkusan tersebut. Zafran boleh meneka siapa yang mengirimkan bungkusan itu kepadanya.

Zafran terkesima sejurus sahaja melihat isi kandungan bungkusan tersebut. Lelaki itu terduduk di kerusinya. Lama dia terdiam sambil merenung lukisan di depannya. Kaku. Tergamam.

Interkom ditekan. Menghubungi Anna, si penyambut tetamu. “Anna, ada sesiapa datang cari saya ke tadi?” tanya Zafran ingin kepastian.

“Ada Encik Zafran. Cik Dhira. Dia kata nak pulangkan barang Encik Zafran. Saya dah letak atas meja Encik Zafran,” beritahu Anna.

“Okay. Terima kasih.”

Zafran menyandarkan tubuhnya. Lemah. Dia tidak menjangkakan hal itu akan berlaku. Sunguh, dia sudah lupa tentang lukisan itu. Lupa dia pernah menyuruh Pak Cik Aziz melukiskan gambar yang ditangkap secara curi-curi sebelum perkahwinannya dengan Dhira. Lelaki itu meraup wajahnya. Tidak dapat dia bayangkan reaksi Dhira apabila melihat lukisan itu. Entah apa yang gadis itu fikirkan tentang dirinya.

Hati Zafran tidak tenang. Gelisah. Resah. Pun begitu, dia cuba kawal gelora di hatinya. Tidak mahu melarat. Zafran meletakkan lukisan di satu sudut yang tersembunyi. Lukisan itu akan dibawa pulang ke rumah. Tidak mahu lukisan itu dilihat oleh sesiapa terutama sekali Haris.

Laci dibuka. Ingin menyimpan kunci rumah abang iparnya. Sebuah fail di dalam laci mencuri perhatian Zafran. Matanya terpaku ke arah fail itu. Tidak semena-mena dia teringatkan kata-kata Wafi.

“Kalau kau nak tahu apa-apa pasal bini kau tu, baca je maklumat yang aku bagi. Semua jawapan ada kat situ.”

Kunci diletakkan ke dalam laci dan fail pemberian Wafi dibawa keluar. Laci ditutup semula. Zafran kelihatan teragak-agak untuk membuka fail di tangannya. Lama fail itu ditenung. Zafran sedang berdebat dalam hati.

Dalam keadaan yang teragak-agak, Zafran menyelak fail itu dan dia mula membaca maklumat yang terpapar di situ. Helaian demi helaian diselak. Dia mula menyelami kehidupan bekas isterinya setelah mereka bercerai. Perasaannya berbaur. Sukar untuk diungkapkan. Ya, benar kata Wafi. Hidup bekas isterinya selepas mereka bercerai sangat susah.

Pandangan Zafran terhenti lama pada sekeping gambar. Maklumat di sebelah gambar tersebut terus dibaca. Sekelip mata, semua tanda tanya yang sudah lama bersarang di minda terjawab. Fahamlah dia kini hubungan Dhira dan lelaki yang sentiasa bersamanya. Namun, perasaan cemburu tetap ada. Cemburu dengan hubungan rapat mereka.

“Busy ke bro?” tanya Haris yang tiba-tiba muncul di pintu bilik Zafran.

Cepat-cepat Zafran menutup fail di tangannya. “Tak,” jawab Zafran sedikit gugup. “Kenapa?” Lelaki itu cuba mengawal dirinya. Tidak mahu Haris syak apa-apa.

“Aku nak discuss dengan kau pasal ICPS (Irredeemable Convertible Preference Shares) syarikat Indah Berhad,” beritahu Haris seraya melangkah masuk.

Zafran menyimpan semula fail ke dalam laci. Duduknya dibetulkan. Bersedia untuk berbincang dengan Haris. Fail yang dihulurkan Haris dicapai dan dia mula meneliti fail tersebut. Perbincangan dimulakan dan Zafran mula tenggelam dalam lautan kerja yang tidak pernah selesai. Hilang terus bayangan Dhira di mindanya.

Nota daripada Cik Penulis:

1.      Nah!! Hadiah untuk semua. Saya post dua bab sekali gus. Selamat membaca. Ini betul-betul bab terakhir yang saya akan post. No more additional bab ok. Hehe. Nantikan kemunculan novel ini.

2.      Novel 1 Pengakuan 9 Luahan merupakan terbitan istimewa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan diadakan di MAEPS Serdang pada 29 April – 9 May 2016. Awak semua tak akan jumpa di bookstore atau oder secara on9 dengan Karyaseni. Kena tunggu beberapa bulan lagi untuk beli di bookstore atau oder on9 dgn KS.

3.      TAPI… jangan risau. Saya akan amek order. Dan opkos ada TT sy yg x berapa nak kreatif dan cantik itu. Buat masa ni, sy tak tahu harga novel sy lagi. So sy x ley nak amek pre-order. Dan… sy bgtau awal2. Saya akan pos selepas pesta buku tamat. Bagi sy masa utk amek stok. Hehe.

4.      Kalau nak jumpa saya, meh datang pada 8 May. Saya ada kat sana pukul 10 – 12 pm.

5.      Terima kasih kepada semua pembaca 1 Pengakuan 9 Luahan, kepada commenters, kepada silent readers, kepada pembaca setia karya saya. I love u so much. Sangat sangat hargai anda semua.

6.      Saya kurang aktif d blog tetapi tersangat aktif di IG dan FB. Follow ig sy @azura_rasiddin. IG shop sy @sheskinz_kl.zuera. Saya jual Sheskinz. FB sy dah limit. Hehe. 

6 comments:

Kim said...

Thank you. ❤❤❤👍👍👍

AMEERAH ANEEZ said...

Assalamualaikum. first of all congrats kena berjaya menghasilkan novel yang lain dari yang lain. semua novel awak memang best. novel yg ada di pasaran kini lebih kepada kahwin paksa yg dah x da umpphh. so pls continue to create more novels. best of luck from me. Ameerah

Zuera said...

Waalaikummusalam. Terima kasih byk2. hehe :)

amyzaty said...

Sy nk order crita ni. Blh lg x? Lme xbukak blog ni. Best sgt cite. Bpe rm? Camne nk order? Please reply. Email sy amy_zaty13@yahoo.com

amyzaty said...

Sy nk order crita ni. Blh lg x? Lme xbukak blog ni. Best sgt cite. Bpe rm? Camne nk order? Please reply. Email sy amy_zaty13@yahoo.com

Emilia Gubin said...

Macam mna nak order ni? Harga? Plas reply. .email sy dhiaemilia@gmail.com