Sunday, April 17, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 10


Bab 10

Hujung minggu itu Zafran meluangkan masa bersama Puan Saleha dan Jannah. Sudah lama dia tidak menziarahi wanita yang membesarkannya dan juga kakaknya. Zalila. Sejak ibu kandung Zafran pergi menghadap Ilahi, Zafran dan Zalila dijaga oleh kawan baik ibunya sementelah mereka tiada saudara-mara.

“Mak, mak…” Jannah menggelengkan kepalanya perlahan. “Bukan nak cakap barang dapur dah banyak habis,” leter Jannah yang sedang berjalan seiring dengan Puan Saleha, menuju ke pasaraya.

“Mak duduk seorang je kat rumah tu. Kamu dengan Zaf jarang balik. Buat apa mak nak beli barang banyak-banyak. Kalau mak nak guna, mak belilah kat kedai runcit depan rumah kita tu,” balas Puan Saleha, membela dirinya.

Zafran mengekori langkah kedua-dua wanita itu sambil menolak troli. Sengaja Zafran menawarkan diri untuk membawa Puan Saleha dan Jannah membeli barang dapur yang sudah kehabisan. Tidak mahu kebosanan di rumah.

Laju sahaja tangan Jannah mencapai barang-barang yang dia rasa perlu. Puan Saleha diamkan aje. Malas nak bertekak dengan anaknya. Bila Jannah minta pendapatnya, barulah dia bersuara.

Puan Saleha menghalakan pandangan ke arah troli yang sudah penuh. Kemudian, dikalihkan ke arah Zafran. “Jannah kalau dah shopping… macam nilah,” komen Puan Saleha.

Zafran kuntum senyum. “Tak apalah, Mak Leha. Bukan selalu pun.”

“Kan? Cukuplah stok mak untuk sebulan,” sampuk Jannah. “Mak ada nak beli apa-apa lagi tak?”

Laju Puan Saleha menggelengkan kepala. Semuanya yang dia perlukan sudah diambil oleh anaknya.

Jannah meneliti barang-barang di dalam troli. Gadis itu berfikir sejenak. “Hmm, rasanya dah tak apa-apa. Abang?”

Zafran tersentak. Jannah dipandang dengan wajah yang terpinga-pinga.

“Abang ada nak beli apa-apa tak?” tanya Jannah dengan lebih jelas.
“Tak ada. Dah nak bayar ke?”


Kepala Jannah dianggukkan. “Biar Jannah yang bayar.”

Tanpa sepatah kata, Zafran menolak troli ke kaunter. Barang-barang di dalam troli dikeluarkan dan kemudian dimasukkan semula ke dalam troli setelah barang-barang tersebut diimbas oleh cashier yang menjaga kaunter. Dengan cukup bersahaja, Zafran menghulurkan kad debit miliknya kepada cashier.

Jannah terus pandang Zafran. “Eh, kan Jannah cakap Jannah yang bayar.”

“Tak apalah. Abang nak belanja.”

Jannah menyimpan semula purse ke dalam beg tangan. Tidak mahu bertekak dengan Zafran di kaunter. Dia tahu lelaki itu tidak akan mengalah. “Terima kasih.”

Usai proses pembayaran selesai, Zafran kembali menolak trolinya. “Mak Leha dengan Jannah ada nak pergi mana-mana lagi ke? Atau nak terus balik?”

Jannah pamer wajah comel sambil pandang Puan Saleha dan Zafran. Tangan dilekap ke perut. “Makan.” Nada suaranya kedengaran manja.

“Jannah nak makan kat mana?” tanya Zafran.

Sedang Jannah berkira-kira untuk makan malam di mana, sepasang suami isteri menghampiri mereka bertiga.

“Zafran…”

Terus kepala mereka bertiga menoleh ke arah datangnya suara itu. Bola mata Zafran sedikit membesar. Seketika kemudian, dia mendekati seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an. Tangan dihulurkan untuk bersalam. “Apa khabar, pak cik, mak cik?” tanya Zafran. Matanya dihalakan ke arah Encik Idris dan Puan Suraya, bekas mentuanya.

“Baik. Lama tak jumpa kamu, Zafran. Dah lama kamu tak datang rumah kami,” tutur Encik Idris.

“Beli barang dapur ya?” tanya Puan Suraya sekadar berbasa-basi usai bersalaman dengan Puan Saleha dan Jannah.

Zafran menganggukkan kepala. “Bawa Mak Leha dengan Jannah beli barang dapur. Banyak yang dah habis,” balas Zafran ramah. Bekas mentuanya masih dilayan dengan baik. Sedikit pun tiada rasa marah atau benci dengan apa yang telah dilakukan oleh bekas isterinya. Dia reda. 

“Ni nak ke mana pula?” Encik Idris bertanya.

“Entahlah. Tadi Jannah ajak makan. Tak tahulah dia nak makan kat mana.”

Encik Idris ukir senyum. “Kami pun nak pergi makan. Jomlah makan sekali. Lama kita tak makan sama-sama. Leha dengan Jannah tak kisah kan?”

Jannah dan Puan Saleha saling berpandangan buat seketika. “Apa salahnya… dah alang-alang jumpa ni,” ucap Puan Saleha, menerima ajakan Encik Idris.

Persetujuan Puan Saleha membuatkan Zafran terpaksa mengheretkan kakinya untuk makan bersama-sama bekas mentuanya. Bukannya dia tak suka. Cuma dia rasa kekok. Mujur Puan Saleha dan Jannah ada sekali. Sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan.

Di meja makan, hanya suara Puan Suraya dan Puan Saleha sahaja yang kedengaran. Biasalah... Bila perempuan bertemu dengan kaum sejenisnya, macam-macam cerita keluar. Bercerita tentang perkara yang hanya boleh difahami oleh mereka. Yang lain-lain jadi pendengar sahajalah.

“Dia masih di Dubai ke?” Puan Suraya mengajukan soalan tentang Zalila apabila Puan Saleha membuka cerita pasal kakak Zafran.

Zafran menganggukkan kepalanya apabila Puan Suraya memusatkan pandangan ke arahnya.

“Tapi budak tu dah nak balik sini, Su. Dua minggu lagi. Suami dia dah transfer ke sini semula,” beritahu Puan Saleha.

“Oh, baguslah kalau macam tu.” Puan Suraya menghalakan pandangannya ke arah Zafran semula. “Nanti ajaklah kakak kamu ke rumah. Lama ibu tak jumpa kakak kamu. Kamu pun dah jarang singgah ke rumah.”

Puan Suraya masih membahasakan dirinya ibu walaupun Zafran memanggil wanita itu mak cik. Sudah disuruh Zafran memanggilnya ibu tetapi lelaki itu tetap memanggilnya mak cik. Malas pula Puan Suraya ingin memaksa. Biarlah lelaki itu dengan panggilannya.

“Betul tu Zaf. Dah lama kamu tak singgah ke rumah kami. Dah tak sudi ke?” tanya Encik Idris dengan nada mendatar. Keningnya terjungkit sedikit.

Zafran telan liur. “Eh, tak adalah… Zaf pun dah jarang balik Melaka. Banyak kerja. Insya-Allah, nanti kalau Zaf free, Zaf bawa along ke rumah pak cik.”

Encik Idris melepaskan keluhan kecil. “Itulah. Haris ada beritahu pak cik yang Zaf ni kuat sangat kerja. Balik pun selalu lewat. Kerja, kerja juga Zaf. Kesihatan kena jaga,” nasihat Encik Idris. Ikhlas.

“Memang kuat kerja sangat Zaf ni, Deris. Puaslah Leha bebel kat dia. Tak jalan. Kadang tu, dia skip lunch sebab nak siapkan kerja,” cerita Puan Saleha. Sempat dia menjeling Zafran.

“Eh, mana Mak Leha tahu ni?” soal Zafran pelik. “Pandai betul Mak Leha buat cerita,” ucap Zafran dengan nada bergurau.

“Apa pula buat cerita? Jannah yang beritahu Mak Leha.”

Jannah terus tayang sengih bila mata Zafran dihalakan ke arahnya. “Abang Haris yang bagitahulah,” beritahu Jannah jujur.

Zafran ketap bibir. Sejak bila pula Haris jadi reporter tak bertauliah ni? Kecoh betul mamat tu, gerutu Zafran dalam hati. 

Terhambur tawa mereka. Lucu melihat riak wajah Zafran yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati pada Haris.

“Ayah suka orang yang rajin bekerja ni. Sebab tu ayah suka Zaf. Dari dulu lagi, ayah tahu Zaf ni rajin. Tapi… janganlah sampai tak jaga waktu makan. Boleh memudaratkan kesihatan. Badan kita ni, bukannya kita nak guna sehari dua. Lama lagi nak guna. Sampailah ajal datang menjemput.”

Zafran hanya mampu lemparkan senyuman nipis. Haris, Haris… Suka sangat bergosip pasal aku. Padahal baru sekali dua aku skip lunch. Mulut murai juga mamat tu. Bukan setakat mulut murai, mulut tempayan sekali. Habis semua rahsia nak dijaja.


“Mak, mak…,” panggil Jannah dengan penuh berhati-hati dari biliknya sewaktu melihat Puan Saleha melintasi biliknya. Nadanya seakan berbisik. Tangan dilambai-lambaikan. Memanggil emaknya.

Puan Saleha berpaling ke arah bilik anaknya. “Hesy, budak bertuah ni. Terkejut mak. Kenapa perlahan sangat panggil mak? Mak ingatkan apalah tadi,” bebel Puan Saleha seraya mendekati Jannah. Masih lagi terkejut dengan panggilan Jannah. Minda wanita itu sudah fikir yang bukan-bukan tadi.

Jari telunjuk Jannah diletakkan di bibir. Memberi isyarat kepada emaknya supaya memperlahankan suara. Lengan Puan Saleha terus ditarik ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup lalu Puan Saleha dibawa ke katil. Terpinga-pinga Puan Saleha dengan kelakuan anaknya. Pun begitu, dia tetap labuhkan duduk di sisi Jannah.

“Jannah ada benda nak cakap dengan mak ni,” kata Jannah masih dengan nada yang sama. Berbisik.

“Kut ya pun, kenapa nak cakap perlahan sangat?”

Tangan Jannah mula terawang-awang di udara. Meminta emaknya memperlahankan suara sekali lagi. “Mak jangan cakap kuat sangat. Nanti Abang Zaf dengar. Jannah nak cakap pasal dia.”

Puan Saleha pandang anaknya dengan pandangan yang penuh makna. Wanita itu kelihatan berminat dengan cerita yang bakal disampaikan. “Abang Zaf dah ada girlfriend ke?” Kali ini nada Puan Saleha sudah bertukar perlahan. Wanita itu tampak gembira dengan telahannya.

Jannah menjegilkan matanya. “Hesy, mak ni. Meranalah Jannah kalau dia dah girlfriend. Macamlah mak tak tahu Jannah dah lama tunggu dia.”

Sebuah cubitan hinggap di paha Jannah. Geram. “Berapa kali mak nak pesan. Tak payah nak berharap dekat Zaf. Dia tak suka kamu. Dia anggap kamu macam adik dia je.”

Wajah Jannah sudah bertukar kelat. “Mak ni! Tak support anak langsung. Patutnya mak kenenkan Jannah dengan dia. Ini tak…”

Puan Saleha mencebik. “Tak kuasa mak.” Wanita itu menghelakan nafas berat. “Ha, tadi kamu kata ada benda nak bagitahu mak. Apa dia?”

“Abang Asyraf kan ada beli rumah dekat KL… Dia ada upah interior designer untuk hias rumah dia. Nak surprisekan Kak Lila. Mak jangan bocorkan rahsia tau. Nanti tak surprise pula.” Jannah memulakan ceritanya.

“Tadi kata nak cerita pasal Zaf. Apa kena mengena pula dengan Asyraf?”

“Mak ni kan…. Jannah tak habis cerita lagi. Cuba dengar dulu,” rungut Jannah dengan wajah menahan geram.

Tersengih-sengih Puan Saleha setelah menyedari kesilapannya. “Sambunglah cerita kamu.”

“Abang Asyraf ada minta Abang Zaf untuk berurusan dengan interior designer tu. Mak tahu tak siapa interior designer rumah Abang Asyraf?”

“Dah kamu tak cakap, macam mana mak nak tau,” balas Puan Saleha bersahaja.

Jannah menarik nafas dalam lalu dihela perlahan. “Dhira.” Gadis itu menuturkan nama itu dalam satu nafas.

“Dhira mana pula ni?”

Duh! Terlepas keluhan dari bibir Jannah. Dahinya ditepuk perlahan. “Mak… Dhira lah mak. Dhira. Tak kan mak tak kenal?”

Puan Saleha sudah garu kepala. Wanita itu cuba selongkar kotak memorinya. 

Jannah pandang Puan Saleha dengan pandangan ‘biar betul mak tak kenal Dhira’ apabila Puan Saleha masih tidak memberi sebarang respon. “Bekas isteri Abang Zaf lah mak,” beritahu Jannah.

“Lah…” Puan Saleha melepaskan nafas lega. Penat dia kerah otak. “Dhira, Dhira… manalah mak kenal. Mak panggil budak tu Nadhira. Bukan Dhira. Hesy kamu ni.” Puan Saleha mula merungut.

“Samalah tu mak. Nadhira dengan Dhira,” bidas Jannah.

Puan Saleha melirik pandangan ke arah anaknya. “Kamu kata Nadhira tu interior designer rumah Asyraf?”

Kepala Jannah dianggukkan.

“Budak tu ambil…”

“Mula-mula dia ambil nursing tapi kan dia tak habis belajar. Tup tup jadi interior designer pula,” beritahu Jannah sebelum emaknya menghabiskan bicara.

Kepala Puan Saleha diangguk-anggukkan. “Kiranya, Zaf bertemu baliklah dengan bekas isteri dia? Hmm, kecilnya dunia. Akhirnya, bertemu balik dia orang. Entahkan kebetulan, entahkan takdir,” tutur Puan Saleha perlahan. “Habis tu, Haris tahu tak pasal hal ni?”

“Entah. Rasanya tak tahu. Abang Zaf tak beritahu dia pun.”

Bibir Puan Saleha tersungging senyuman. Matanya memandang kosong ke satu arah. Sedang memikirkan anak lelaki kawan baiknya.

“Yang mak senyum tiba-tiba ni kenapa?” tanya Jannah pelik.

“Mak happy. Zaf dah jumpa balik isteri dia.”

“Bekas.” Segera Jannah membetulkan ayat emaknya. “Kenapa pula mak nak happy?” Muka Jannah jelas menunjukkan gadis itu tidak puas hati.

“Manalah tahu dia orang akan bersama semula ke…”

“Mak!!” Jannah hampir terjerit. Mata gadis itu membulat. “Mak dah lupa ke apa perempuan tu buat kat abang? Boleh pula mak cakap macam tu…. Perempuan tu tak suka abanglah, mak. Siap panggil abang pembunuh. Ungkit kisah lama abang pula tu.” Jannah melepaskan geram.

“Tapi Zaf cintakan Dhira dan masih cintakan Dhira,” balas Puan Saleha bersahaja.

“Mana mak tahu? Mak yakin ke?”

Puan Saleha tidak menjawab pertanyaan anaknya. Wanita itu hanya lemparkan senyuman penuh makna. Makin kelat wajah Jannah. Zafran tidak pernah memberitahu Puan Saleha apa yang tersirat dalam hati lelaki itu. Malah lelaki itu tidak pernah bangkitkan soal hati dan perasaan dengannya. Namun, selaku orang yang bertanggungjawab membesarkan Zafran selama 22 tahun, dia dapat menebak apa yang ada di dalam hati lelaki itu.

“Takkanlah Abang Zaf boleh terima perempuan tu lagi?” soal Jannah cuba menidakkan kata-kata Puan Saleha. “Hesy, entah apa yang Abang Zaf nampak kat perempuan biadap tu. Jannah yang depan mata dia, tak nampak pula.”

Puan Saleha menghamburkan tawanya. Geli hati mendengar bicara Jannah. Bahu Jannah ditepuk. “Cinta tak boleh dipaksa, Jannah sayang… Lupakanlah Zaf. Dia tak akan pilih Jannah.”

Wajah Jannah bertukar redup. Sedih dengan kata-kata Puan Saleha. Benarkah? Benarkah tiada ruang untuknya di hati Zafran?






No comments: