Monday, April 4, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 1

Bab 1

“Boarding pass?”

“Check!”

“Passport?”

“Check!”

“IC?”

“Check!”

“Kunci rumah?”

Mata Dhira membulat besar sambil memandang ke arah Fei Fei, gadis mualaf yang merupakan kawan baiknya. Kemudian, dia menayang sengih. “I lupa nak minta daripada you,” ucap Dhira dengan mimik muka comel. Eh, silap. Bukan comel tapi bajet comel.

Fei Fei buat muka. Kunci rumah ditayangkan di hadapan Dhira. “Nak duduk rumah I, tapi tak minta kunci. Pandai sangat!” Bicara gadis itu penuh dengan nada sarkastik.

Dhira ketawa mengkekek. “Lupalah girlfriend. Sorrylah… Selamat you tanya.”

“Memanglah! I ni kan penyelamat you. Nah!”

Segugus kunci bertukar tangan. Dhira menyimpan kunci tersebut di dalam beg galas. “Thank you Fei Fei. I akan jaga kondo you baik-baik. Don’t worry.”

“You buatlah kondo tu macam rumah you sendiri. I tak kisah.”

Dhira ukir senyum seraya menjeling jam di pergelangan tangan. Matanya mula melilau memerhatikan sekeliling. Hampa. “Girlfriend…. Boyfriend tak datang ke? Dia tak nak hantar I?”

“Boyfriend merajuk you tinggalkan dia. Sebab tu tak datang. Tak rela nak tengok you pergi,” balas Fei Fei cukup bersahaja.

“I akan rindukan dia, my sweet proctective caring boyfriend.”

“Amboi! Dia je ke?”

Dhira tayang sengih. “Hisy, taklah… mestilah I akan rindukan my pretty loving girlfriend and my lovely mummy juga.”

Fei Fei mengepit nakal hidung Dhira. Saja nak usik kawannya itu. “You jangan risaulah, I kenal abang I. Tak sampai sebulan, dia akan cari you kat sana. Percayalah cakap I.”

 “I text dia semalam. Suruh dia hantar I ke airport tapi dia tak reply. Dia tak nak I pergi. Tapi… I tetap kena pergi. Dah lama sangat I merantau. Dah tiba masa I balik ke negara sendiri.”

Fei Fei melepaskan tawa. “Cara you cakap ni, macamlah negara you tu jauh sangat. Tak naik flight pun, you still boleh balik negara you tau. Macamlah Singapore dengan Malaysia ni jauh.”

“Ayat kenalah exaggerate,” ucap Dhira bersama gelakan. “Okaylah Fei Fei… I masuk dulu. Terlepas flight, naya je.”

Fei Fei mendepakan tangannya. Menantikan pelukan daripada Dhira. Dhira tayang muka sedih lalu memeluk kawan baiknya. Buat seketika, mereka berpelukan.

“We will miss you too. Take care ya girlfriend. Jangan balik lewat macam kat sini. You bukannya biasa dekat sana. Sorry tak dapat temankan you. Lepas habis projek commercial I, I akan temankan you dekat sana.”

“Jangan risau. I tahu jaga diri I. Nanti bila senang, lawatlah I. Bawa Auntie Lin sekali.”

Fei Fei menganggukkan kepalanya perlahan. “Call I bila dah sampai,” ucap Fei Fei bersama isyarat tangan.

“Okay, nanti I call you. Bye, girlfriend!”



Sunyi sahaja suasana di dalam kabin pesawat yang membawa penumpang dari Kuching ke Kuala Lumpur ketika itu. Seorang lelaki yang memakai sut hitam lengkap menghalakan pandangan ke luar tingkap. Memerhatikan keindahan ciptaan Tuhan. Tenang sahaja wajahnya. Namun, hati lelaki itu tidak setenang wajahnya. Kiriman gambar melalui applikasi Whatsapp dan juga panggilan yang diterima sebelum dia menaiki kapal terbang menganggu fikirannya.

“Zaf… Aku ada berita baik untuk kau. Setelah hampir setengah tahun mencari, aku berjaya jumpa dia. Dia ada dekat Singapore rupanya. Patutlah tak jumpa-jumpa dekat sini. Tak sangka pula dia berhijrah ke negara seberang.” Kata-kata Wafi terngiang-ngiang di telinga.

Zafran menyandarkan kepalanya ke kerusi. Wafi dah jumpa dia. Apa yang perlu aku buat sekarang? Bersemuka? Oh tidak! Itu bukan tujuan aku cari dia. Dia tak nak jumpa aku lagi. Atau bolehkah aku melihat dia dari jauh?

Telefon pintar yang sudah ditukar ke ‘flight mode’ dikeluarkan dari poket bahagian dalam kot. Jari telunjuk menyentuh skrin telefon lalu menekan ikon galeri. Gambar kiriman Wafi dibuka dan dalam sekelip mata, wajah seorang gadis yang sedang menunggu MRT (Mass Rapid Transit) terpapar di skrin. Lama gambar itu ditenungnya. Perasaan Zafran berbaur.

Gadis itu sudah banyak berubah. Sehelai selendang terlilit elok di kepala gadis itu, menutup rambut yang dahulunya dibiarkan terdedah. Pakaian gadis itu kelihatan lebih feminin. Dan wajah gadis itu tampak lebih matang. Hakikatnya, enam tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Sudah tentu banyak perubahan yang berlaku. Cuma… dia sahaja yang tidak berubah. Dia masih seperti dahulu. Dan perasaannya terhadap gadis itu masih sama.

Zafran menyimpan semula telefon pintarnya sebaik sahaja pesawat yang dinaiki mendarat dengan sempurna. Sempat juga dia menukar mode telefon pintarnya itu. Wajah gadis itu cuba dilupakan buat seketika. Ingin kembali fokus sementelah dia ada mesyuarat penting yang harus dihadiri sebentar sahaja lagi. Bersama briefcase yang dijinjing kemas, Zafran mengatur langkah, menuju keluar dari balai ketibaan.

Pada waktu yang sama, seorang gadis melangkah keluar dari balai ketibaan antarabangsa sambil menarik beg rodanya yang bersaiz besar berwarna putih. Wajah gadis itu kelihatan ceria. Barangkali gembira pulang ke tanah air.

“Okaylah, kak. Saya balik dulu. Tu famili saya.”

Dhira menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh gadis muda yang baru dikenali sewaktu dalam pesawat. Senyuman dilemparkan. “Bye… take care.”

Gadis muda itu membalas senyuman Dhira sebelum berlari mendapatkan ahli keluarganya. Mata Dhira mengekori langkah gadis itu. Senyuman masih terukir di bibir. Alangkah indahnya jika keluarga aku pun sambut kepulangan aku, detik hati Dhira. Dhira menggelengkan kepalanya bersama senyuman sinis. Mengejek dirinya sendiri yang impikan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku. Jangan nak mimpilah, Dhira.



“Welcome back to Malaysia!” Jerit Joyce sebaik sahaja Dhira melangkah masuk ke dalam bilik ofisnya. Teruja melihat kehadiran gadis itu. “After years you balik jugak… hmm, Malaysia dengan Singapore ni, teramatlah jauh macam kutub utara kutub selatan, kan,” perli Joyce dengan nada bergurau. Sengaja ingin mengusik gadis itu.

“Have a seat,” tambah Joyce bersama senyuman manis.

Dhira melepaskan tawa kecil. Kerusi di hadapan Joyce ditarik sedikit sebelum dia melabuhkan punggungnya. “Thank you, boss. Tulah… jauh sangatlah bos, Malaysia dengan Singapore ni. I terpaksa naik belon tau nak balik sini.”

Joyce turut melepaskan tawa. “Belonlah sangat. Jalan darat pun boleh sampailah. Eh, sejak bila pula you panggil I bos ni?”

“Since you jadi bos I,” balas Dhira selamba.

“Hisy, mengada-ngadanya. Panggil je macam dulu. You tak panggil Ken dengan Fei Fei bos kan?”

Dhira menggelengkan kepala bersama sengihan.

“Ha, then… jangan nak mengada-ngada panggil I bos.”

“Okay! Noted!”

Joyce lempar senyum. “I tak expect you akan datang sini. You nak mula kerja hari ni ke?”

“Eh taklah. Next week I baru mula kerja. Saja je I datang sini. Nak biasakan diri dengan environment kat sini, nak jumpa you. Rindu. You dah lama tak datang Singapore.”

“You dengan Ken sama je. Tiba-tiba muncul dekat ofis I, lepas tu cakap rindu,” komen Joyce dengan mimik muka.

Mimik muka Joyce yang lucu membuatkan Dhira tertawa kecil.

“You duduk rumah Fei Fei, ya?”

“I menyewa dengan dia,” balas Dhira bersama anggukkan di kepala.

“Baguslah. Rumah Fei Fei dengan ofis ni tak jauh pun. Public transport pun banyak.”

Dhira senyum nipis. “Cantik ofis ni, Joyce. I terkejut masa masuk tadi. I ingat I salah masuk ofis. Konsep ofis ni tak sama dengan kat sana. Ofis ni macam more to nature. Semua furniture berasaskan kayu. Nice! I betul-betul suka,” puji Dhira ikhlas.

Lebar senyuman di wajah Joyce. Gembira mendengar pujian daripada Dhira. “Memang kami sengaja buat konsep yang berbeza,” terang Joyce sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang. “Walaupun company yang sama, tak semestinya konsep kena sama kan?”

“Yeah… tapi sebenarnya I ingat konsep ofis ni sama dekat sana. Well, I salah,” balas Dhira bersama sengihan.

“Biarlah ada kelainan. By the way, I dah tengok portfolio you. Not bad. Banyak juga projek yang you handle.”

“Mana ada I handle. I tak pernah handle mana-mana projek pun. Cuma tolong sikit-sikit je projek Ken dengan Fei Fei. I baru je grad dalam bidang ni. Banyak yang perlu I belajar.”

Joyce senyum nipis. “I tahu you ada potensi dalam bidang ni.”

“Thank you. I take it as a compliment.”

 “Hmm, jomlah I bawa you ronda ofis ni, kenalkan you pada staff yang lain,” tutur Joyce sambil mengangkat punggungnya.

Dhira mengangguk setuju. Dia turut berdiri dan kemudian mengekori langkah Joyce. Mata Dhira meliar memerhatikan suasana ofis barunya. Senyuman menghiasi wajah Dhira sewaktu Joyce memperkenalkan dirinya kepada rakan sekerja. Setelah puas meronda dan beramah mesra, Dhira meminta diri untuk pulang.

Hujan turun renyai-renyai membasahi bumi sewaktu gadis itu keluar dari ofis barunya. Bertemankan sekaki payung yang diberikan oleh Joyce, Dhira mengatur langkah menuju ke sebuah kafe. Ingin merehatkan diri sementara menunggu hujan reda.

Payung yang berwarna hitam ditutup dan diletakkan di tempat yang disediakan di luar kafe. Selendangnya dibetulkan sebelum melangkah masuk. Matanya ralit memerhatikan seni hias kafe itu yang agak unik dan menarik minatnya.

Pandangan gadis itu terhenti ke satu arah. Begitu juga dengan langkahnya. Sedikit pun dia tidak mengalihkan pandangannya. Masih memandang seorang lelaki yang berdiri menghadap kaunter, membelakangkannya. Liur ditelan. Oh Tuhan, dugaan apakah ini? Tidak sampai satu hari dia menjejakkan kaki ke Malaysia, dia sudah bertemu dengan lelaki itu. Lelaki yang menjadi punca dia meninggalkan Malaysia bertahun-tahun lamanya.

Dada mula berdegup laju apabila lelaki itu mula memusingkan tubuh dan mula mengorak langkah menuju ke arahnya. Mata Dhira tidak berkelip memandang lelaki itu. Terkejut! Lelaki itu merupakan orang terakhir yang ingin dia jumpa sebaik sahaja pulang ke Malaysia tetapi kenapa lelaki itu yang ditemuinya pada hari pertama dia di sini?

Sedang Dhira berdebat dengan dirinya, sepasang mata milik lelaki itu sudah pun bertaut dengan pandangan matanya dan sekaligus mematikan langkah lelaki itu. Dunia seakan berhenti berputar. Peluh halus mula merenik di dahi meskipun kafe itu berpenghawa dingin. Dhira ingin melarikan pandangannya namun dia tidak mampu. Pandangannya seolah-olah sudah terkunci. Kaki ingin melangkah pergi tetapi kakinya terasa berat. Tidak mampu melangkah. Akhirnya, dia hanya berdiri kaku di situ.

Lelaki itu mula melarikan pandangan dan kembali mengorak langkah menuju ke pintu kafe yang berada di belakang Dhira. Liur ditelan apabila lelaki itu berjalan melepasinya tanpa sebarang bicara. Dhira menundukkan pandangannya ke lantai sebaik sahaja lelaki itu hilang daripada pandangan.



1 comment:

Syaza Raihanah said...

Ish, semakin membuak-buak perasaan nak tahu apa yang jadi. Nice one, kak Zuera :)